Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Loji Biogas Kitar Semula Najis Jadi Tenaga Elektrik dan Baja

Loji Biogas Kitar Semula Najis Jadi Tenaga Elektrik dan Baja

 

 LOJI Biogas kelolaan SP Multitech Renewable Energy ini membantu ladang ayam di Pajam bebas daripada mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. 

 

 SFERA ini digunakan sebagai tangki penyimpanan biogas sama seperti fungsi tangki gas LPG NGV.

 

JIKA anda memandu di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) berdekatan Pajam, Negeri Sembilan, pandangan mata anda pasti tertancap pada sebuah binaan yang sangat besar dengan ketinggian bersamaan bangunan lima tingkat.


Berwarna putih dan berbentuk sfera, ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan Loji Biogas kelolaan SP Multitech Renewable Energy Sdn. Bhd. (SP Multitech) bertujuan mengitar semula bahan-bahan buangan di sebuah ladang ternakan ayam.


Berdiameter 15 meter, sistem storan membran biogas itu merupakan tempat penyimpanan biogas yang terhasil daripada loji biogas itu.


Ia berbeza dengan sistem penyimpanan gas asli untuk kenderaan (NGV) dan gas petroleum cecair (LPG) yang memerlukan banyak tenaga untuk dimampat bagi membolehkan penyimpanan dalam ruangan yang kecil.


 


Penyimpanan LPG pula menggunakan tenaga yang lebih banyak kerana mahu menyimpan kandungan gas dalam bentuk cecair dalam ruang kecil.


Bagaimanapun, kedua-dua tangki penyimpanan itu diperlukan kerana kegunaan dan kesesuaian pada persekitaran serta pengguna.



Sistem penyimpanan membran biogas di Pajam itu mempunyai dua lapisan yang mempunyai fungsi yang berbeza.


Lapisan pertama pada bahagian dalam bertindak sebagai ruang penyimpanan yang akan berkembang apabila mempunyai biogas, ia berkembang dan mengempis ketika tiada isipadu.


Justeru, disebabkan sistem tersebut bertindak begitu, maka tiada tenaga daripada luar digunakan dalam proses penyimpanan. Lapisan luar pula bertindak sebagai pelindungan dan sentiasa pada bentuk yang sama walau apa keadaan sekalipun.


Seiring dengan perkembangan semasa, permintaan terhadap daging dan telur ayam di negara kita semakin meningkat disebabkan ia merupakan antara sumber protein yang boleh dinikmati penduduk Malaysia yang berbeza keturunan dan agama.


Keperluan ayam


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Multitech Corporation Berhad, William Tan, 45, berkata, secara purata penduduk Malaysia menggunakan 25 hingga 28 juta biji telur sehari.


“Telur ayam dimakan secara terus iaitu boleh dilihat ciri fizikal atau tidak langsung seperti kek, mi, spageti dan kuih-muih,” terang William ketika ditemui di pejabatnya di Puchong, Selangor.


Seekor ayam telur mampu mengeluarkan lebih kurang 300 biji telur sepanjang hayat, maka beratus-ratus ribu ekor ayam diperlukan bagi memenuhi permintaan dan itu tidak termasuk ayam daging dan ternakan-ternakan lain.


Penambahan bilangan ayam juga menyebabkan najis ayam bertambah. Seekor ayam mengeluarkan kira-kira 100 gram najis setiap hari menjadikan secara purata 3,000 tan najis dihasilkan.


Kaedah tradisional yang digunakan ialah menjadikan najis ayam sebagai baja organik tetapi kuantitinya bertambah sekali gus menyebabkan bau yang kurang senang dikeluarkan.


Najis ayam mempunyai gas hidrogen sulfida (H2S) yang mengeluarkan bau, ia lebih berat sedikit berbanding udara biasa.


Aduan pernah diterima daripada penduduk sekeliling sejauh lingkungan 10 kilometer dari ladang ternakan Pajam yang telah dibawa oleh tiupan angin.


Pendedahan terhadap H2S dengan ketumpatan sehingga 10 bahagian per juta menyebabkan simptom-simptom seperti iritasi pada mata, hidung dan tekak.
Teknologi pencernaan anaerob.


SP Multitech membangunkan projek tersebut sejak tahun 2009, menggunakan teknologi pencernaan anaerob yang telah dibangunkan lebih 50 tahun di Jerman.


Teknologi tersebut merupakan proses mikroorganisma memecahkan bahan-bahan yang boleh terbiodegradasi tanpa kehadiran oksigen.


Jerman merupakan sebuah negara yang tidak mempunyai sumber asli dan kini, ia mampu menampung keperluan tenaga sendiri melalui tenaga diperbaharui seperti biogas, kincir angin dan solar.


Pencernaan anaerobik merupakan sebuah proses yang menyerupai pembentukan sumber tenaga berasaskan hidrokarbon, namun perbezaannya terletak pada durasi masa yang diambil.


Hidrokarbon mengambil masa berjuta-juta tahun tetapi teknologi pencernaan anaerobik memendekkan tempoh sekitar 20 hari.


Teknologi tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu seperti di Pajam, Nilai yang dikenali sebagai Loji Biogas Penapaian Basah (WFAD).


Najis-najis ayam melalui proses penapaian di tangki pencernaan, kemudian ia melalui Desulfurizer untuk merawat biogas yang tinggi kandungan H2S.


Kemudian, ia disimpan dalam sistem penyimpanan membran sebelum ditukar menjadi bekalan elektrik dengan menggunakan generator biogas.

Kini, ladang ayam di Pajam itu sudah dapat menjimatkan kos bekalan tenaga elektrik lebih RM200 juta setahun selepas mengaplikasi teknologi tersebut.


Aduan mengenai bau najis ayam pun sudah tidak kedengaran daripada penduduk sekeliling, malah kata William, ayam-ayam itu tinggal umpama dalam sebuah pangsapuri kerana dilengkapi dengan pendingin hawa.

 
Lebihan tenaga yang terhasil daripada najis dan tidak digunakan pula disalurkan ke grid Tenaga Nasional Berhad untuk digunakan seluruh penduduk Malaysia.
Selain bekalan tenaga elektrik yang didapati, bahan keluaran yang lain pula boleh dijadikan baja organik.


Untuk pelupusan sampah


Satu kategori lagi ialah Biogas Penapaian Kering (DFAD) tetapi ia masih belum lagi ada di Malaysia.


Pada masa hadapan, SP Multitech bakal mewujudkan Zero-Waste Park (Taman Sifar Hasil Buangan) yang mampu menggantikan kaedah konvensional, tapak pelupusan sampah.


Kata William, cara lama itu tidak mapan kerana secara purata tapak pelupusan sampah hanya boleh beroperasi dalam tempoh kira-kira 20 tahun.

Sampah menghasilkan sejenis cecair dikenali sebagai bahan larut lesap (leachate) yang masih mengalir keluar untuk tempoh sekurang-kurangnya 40 tahun walaupun kawasan pelupusan sudah berhenti beroperasi.


Zero-Waste Park itu nanti menggunakan teknologi Hibrid Penapaian Kering Pencernaan Anaerobik (Hibrid DFAD) yang menggabungkan kebolehan mencernakan bahan buangan kering dan basah.


Proses Hibrid DFAD bermula apabila sampah sarap yang dihantar akan diasing mengikut kategori organik dan bukan organik. Bagi bahan bukan organik, ia diasing berdasarkan jenis seperti kaca, plastik atau tin.


Sampah organik dimasukkan ke dalam sistem pencernaan anaerobik, manakala bukan organik akan dihantar Pusat Bahan Sukar Dikitar untuk ditukar menjadi bahan mentah pembinaan atau jalan raya.

Timbunan sampah yang dihantar ke Hibrid DFAD juga menghasilkan leachate dan ia akan turut melalui proses pencernaan sekali gus menghasilkan biogas dalam masa yang sama.


Proses tersebut menggunakan Reaktor Tangki Adukan Berterusan.
Buat masa sekarang, kata William, pihak berkuasa tempatan di Pahang dan Selangor sudah menunjukkan minat mahu membina Zero-Waste Park di negeri-negeri terbabit.

 

Sumber; Kosmo di sini





0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .