Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Gadis takut ugutan

Gadis takut ugutan

Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com untuk rujukan dan medium pendidikan pelayar blog ini. Ia diambil dari sesi kaunseling di Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .



SAYA berumur 23 tahun dan menuntut dalam tahun akhir di institusi pengajian tinggi awam. Masalah saya membabitkan teman lelaki saya, A.

Baru-baru ini saya dapat tahu A berkahwin dan dia menunjukkan surat nikahnya di negara jiran kepada saya. Seminggu kemudian dia berjumpa saya dan memberitahu hendak ke hospital kerana isterinya ada di wad bersalin.

Saya temankan A ke hospital dan alangkah terkejut saya kerana isterinya adalah kawan lama ketika belajar dulu. Namun yang hairannya A langsung tak tunjukkan kasih sayang kepada isterinya. Biarlah dia saya namakan B.

Yang sedihnya, B terlantar seorang diri di hospital. Hanya saya dan A tahu dia masuk hospital. Selama empat hari dia di hospital, saya yang teman dan pilih baju serta uruskan keperluan untuk anaknya.

Saya yang jaga anaknya dan timbul rasa sayang kepadanya. A langsung tak pandang atau sentuh anak itu. A beritahu saya, dia tak percaya anak itu anaknya.

Segala urusan di hospital saya yang buat, termasuk berjumpa doktor dan beritahu akan jaga anak B. A langsung tidak ambil tahu. Saya buat begitu sebab fikirkan kawan dan anaknya.

Di hospital, ramai pandang serong bila melihat kemesraan saya dan A. Kepada B, A bohong dengan mengatakan saya sepupunya.

Untuk pengetahuan Dang Setia, saya banyak kali terlanjur dengan A. Selepas dia buat macam-macam pada saya dan saya tidak boleh bertahan, baru-baru ini saya minta putuskan hubungan.

A tidak dapat menerimanya dan dia ugut akan hebahkan cerita saya banyak kali tidur dengannya kepada keluarga saya. Tolonglah Dang Setia, saya takut dia akan berbuat begitu sebab saya kenal perangainya.

Yang membuatkan saya tidak tahan dengan A adalah sikap panas barannya. A tidak boleh tengok kawan lelaki tegur atau telefon saya.

Baru-baru ini ada kawan lelaki tegur saya dan A ada bersama saya. Selepas itu A terus tampar saya. Dia tidak pernah hirau walaupun banyak mata memandang. Banyak kali saya kena penampar dengannya.

Masalahnya, A orang pertama sentuh saya, tapi sampai bila saya harus bertahan dengan sikap panas barannya. A beritahu saya, dia akan berubah dan minta saya beri dia peluang.

Bolehkah saya percaya cakapnya? Saya ingin lari daripadanya, tapi risau dia akan ceritakan kepada keluarga saya yang kami dah banyak kali terlanjur!



SH



Murninya hati saudari dan buruk sekali sikap A. Itulah ringkasan yang boleh Dang Setia katakan dan malang kerana nampaknya kenaifan serta keikhlasan saudari mudah diambil kesempatan oleh A.

Untuk menyelesaikan kemelut saudari, perlu Dang Setia bawa semula saudari kepada perkara yang Dang Setia sifatkan sebagai akar kepada segala permasalahan.

Perkara yang dimaksudkan ialah keterlanjuran saudari dengan A dan rasa takut jika perkara mengaibkan itu bakal disampaikan kepada ibu bapa.

Disebabkan dua perkara ini saudari masih meneruskan hubungan dengan A biarpun sedar A bukan lelaki yang baik untuk dijadikan suami.

Betapa tidak, sudahlah dia ringan tangan, termasuk suka menampar saudari di khalayak ramai, dia juga curang apabila berkahwin dengan wanita lain ketika hangat bercinta dengan saudari.

Lebih teruk lagi, saudari melihat betapa dia langsung tidak menjalankan tanggung jawab terhadap isterinya yang baru bersalin sehingga saudari terpaksa mengambil alih peranannya.

Lelaki seperti inikah yang layak dijadikan suami? Pastinya tidak. Jadi, persoalannya sekarang, adakah berbaloi saudari menggadaikan masa depan dengan berkahwin dengannya semata-mata kerana takut ugutannya?

Bagi Dang Setia, lebih baik susah sekejap tapi senang lama daripada senang sekejap, tapi susah berpanjangan.

Maksud Dang Setia, ada baiknya saudari berterus terang mengenai apa yang berlaku kepada ibu bapa saudari.

Hanya dengan cara itu saudari dapat melepaskan diri daripada A, lelaki yang jelas tidak bertanggungjawab dan hanya bijak mengambil kesempatan daripada kelemahan wanita.

Ini kerana adakah selama-lamanya saudari perlu tunduk kepada ugutan serta perlakuan tidak bermoral A? Adakah semata-mata kerana mahu menutup aib yang lalu, saudari sanggup mencari bala dengan bersuamikan A?

Dang Setia akui, memang sukar dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila berterus terang dengan ibu bapa mengenai keterlanjuran saudari dengan A, namun bagi Dang Setia apa juga kesannya, ia tetap lebih baik berbanding jika saudari berkahwin dengan A.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .