Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

SKIM LATIHAN TENAGA PENGAJAR PRORAM MATRIKULASI

SKIM LATIHAN TENAGA PENGAJAR PRORAM MATRIKULASI KPM(PROGRAM LUAR NEGARA)
Syarat utama keputusan PSPM Sem. 1 PNGK 3.5 dan ke atas.
Jom mohonlah Matrikulasi. Banyak Keistimewannya kan
Lulusan perakaunan berpeluang belajar di universiti berprestij 

KEMENTERIAN Pelajaran akan menghantar 100 lagi lulusan cemerlang Program Matrikulasi melanjutkan pengajian ke universiti berprestij luar negara, tahun depan.

Penghantaran pelajar di bawah Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi (Program Luar Negara) itu meningkat sekali ganda berbanding 50 pada tahun ini, 2007 (21) dan 2006 (18).

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata peningkatan itu sejajar perancangan Kementerian Pelajaran memperluaskan pelaksanaan skim itu kepada lulusan jurusan perakaunan, Program Matrikulasi ini.


“Perancangan itu membolehkan lulusan berkenaan meneruskan pengajian peringkat ijazah pertama dalam bidang Ekonomi, Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan.

“Pelajar terpilih akan ditempatkan di beberapa universiti terkemuka termasuk di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Australia,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Ketika ini beliau berkata, pemilihan pelajar di bawah skim itu tertumpu kepada lulusan jurusan sains dan mereka kini mengikuti pengajian ijazah pertama di lima universiti terkemuka di UK.

Institusi terbabit ialah University of Birmingham, University of Nottingham, University of Surrey, University of Manchester dan King’s College.

“Pelajar berkenaan mengikuti pengajian dalam empat bidang pengkhususan iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Apabila tamat pengajian kelak mereka akan berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran sebagai guru siswazah,” katanya.

Beliau berkata, lulusan Program Matrikulasi kini diterima secara meluas di universiti luar negara dan perkembangan itu membawa kepada usaha memperluaskan skim, selain menjalin kerjasama dengan lebih banyak universiti berprestij luar negara.

Sambil menjelaskan pelaksanaan itu adalah satu daripada agenda pengantarabangsaan program matrikulasi, beliau berkata, skim itu turut membolehkan pelajarnya menerokai peluang pengajian lebih luas, sekali gus membuktikan lulusan program berkenaan diterima masuk bukan saja universiti tempatan malah luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Abidin berbangga dengan pencapaian lulusan matrikulasi dalam peperiksaan Malaysian University English Test (Muet) 2007.

Secara keseluruhan, katanya, pencapaian lulusan matrikulasi dalam Muet tahun lalu lebih baik berbanding pencapaian calon lain termasuk dari sekolah kerajaan, swasta, persendirian, diploma dan ijazah pertama.

“Sebanyak 72.46 peratus lulusan matrikulasi berjaya mencapai tahap 3 ke atas, mengatasi pencapaian 47.38 peratus calon nasional,” katanya.
Sumber: Berita Harian (16.4.2008)

PETIKAN DARI AKHBAR LAGI PADA 2007:

Berita Harian 50 lagi Llulusan Cemerlang Matrikulais Ke Luar Negara

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Pelajar dipilih ikuti ijazah di 5 universiti berprestij United Kingdom

SERAMAI 50 lulusan cemerlang Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran akan dihantar melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka luar negara menerusi Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi, tahun depan.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata bilangan itu meningkat lebih sekali ganda berbanding hanya 21 pelajar dihantar tahun ini dan 18 pada tahun lalu.
Katanya, pelaksanaan itu adalah salah satu agenda pengantarabangsaan program matrikulasi yang menjadi antara fokus utama bahagian berkenaan dalam Pelan Strategik Jangka Panjang.

Sambil menjelaskan penghantaran tahun ini sudah berlepas pada 21 September lalu, beliau berkata, pelajar terpilih itu mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang sains di lima universiti berprestij United Kingdom.

Universiti terbabit ialah University of Surrey, University of Nottingham, University of Birmingham, University of Manchester dan King's College, University of London.
"Menerusi jalinan kerjasama dimeterai sejak 2006, universiti terbabit berkeyakinan untuk memberi keistimewaan kemasukan terus kepada lulusan cemerlang Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran," katanya.

Peraturan sedia ada di United Kingdom mensyaratkan pelajar tempatan dan antarabangsa menjalani saringan ujian Perkhidmatan Kemasukan Universiti dan Kolej (UCAS) sebelum layak memasuki mana-mana universiti negara itu.

"Pihak universiti terbabit bersetuju memberi laluan kemasukan terus khas kepada lulusan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran selepas meneliti dan yakin terhadap kualiti kurikulum program ini.

"Selain itu, ia juga atas dasar kepercayaan kepada jaminan bahagian ini untuk hanya menghantar lulusan terbaik yang mampu mengikuti pengajian dengan cemerlang.

"Ternyata pelajar yang dihantar berjaya membuktikan prestasi pencapaian tinggi. Malah, tinjauan terhadap kumpulan pertama mendapati seorang daripada empat pelajar yang mengikuti pengajian bidang Fizik di University of Surrey menduduki tempat teratas dalam peperiksaan akhir semester, manakala yang lain memasuki senarai tujuh terbaik," katanya kepada Berita Harian.

Dalam konteks ini, Zainal Abidin berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM500,000 untuk setiap pelajar berkenaan yang ditaja menerusi Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC) ke universiti luar negara.

Katanya, pelajar dihantar ke United Kingdom akan mengikuti pengajian ijazah pertama selama tiga tahun dan setahun lagi menjalani latihan perguruan lepasan ijazah di sekolah negara itu.

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .