Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

MERDEKA HAYATI DAN HARGAILAH NILAI KEMERDEKAAN

MERDEKA HAYATI DAN 

HARGAILAH NILAI KEMERDEKAAN

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55


REMAJA, HAYATI DAN HARGAILAH NILAI KEMERDEKAAN

Malaysia telah banyak memperoleh kejayaan dan berada pada landasan yang tepat untuk mencipta kecemerlangan hasil kemerdekaan yang diraih sejak 1957. Kemerdekaan telah berjaya memberikan kita mutu kehidupan yang selesa dengan pelbagai peluang yang terbuka luas.

Negara kita telah mampu membina kedudukan yang kukuh dalam semua bidang, sama ada politik, ekonomi mahupun sosial agar generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memelihara dan meneruskan kesinambungan usaha -usaha yang telah dijayakan oleh generasi terdahulu.

Kesemua pihak yang mempunyai kepentingan di negara ini, daripada pemimpin, tenaga kerja kerajaan, swasta, mahupun golongan profesional, buruh, petani dan belia, mempunyai tanggungjawab penting untuk mewarnakan dan mencorakkan masa depan Malaysia hasil kemerdekaan yang dikecapi.

Golongan muda khususnya, tidak sepatutnya lupa akan pengorbanan generasi terdahulu untuk memerdekakan negara ini selepas dijajah ratusan tahun lamanya. Menghayati sejarah perjuangan bangsa menjadi satu tugas penting manakala usaha memupuk semangat cinta akan negara perlu diteruskan. Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh agar menjadi orang yang berguna hingga boleh memberi khidmat dan sumbangan kepada negara. 


Ilmu yang ditimba akan dapat dijanakan untuk membangunkan negara setanding dengan negaranegara yang maju . Kita mengimpikan hasrat agar negara ini sentiasa menjadi penanda aras kepada negara-negara lain dalam soal kemajuan hidup manusia secara menyeluruh. Komitmen ini juga perlu dizahirkan oleh para remaja dengan kesanggupan menyumbangkan tenaga kepada negara terutama pada bila-bila masa.

Penglibatan yang bersungguh-sungguh dalam berbagai-bagai aktiviti kemasyarakatan dengan memberi khidmat membantu golongan yang miskin, orang tua, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan sebagainya juga perlu menjadi agenda remaja; golongan yang amat kita harapkan menerajui negara pada masa depan. Remaja boleh memanfaatkan segala potensi yang ada dalam diri mereka untuk berusaha membangunkan masyarakat yang sihat, penyayang, dan cinta akan negara.

Setiap daripada kita, ada peranan yang perlu dilaksanakan untuk membangunkan masyarakat dan negara ini. Tugas murni yang dilaksanakan ini seharusnya digalas dengan penuh kecekapan dan berintegriti. Kesedaran dan kefahaman terhadap peranan menjayakan misi dan program pembangunan negara merupakan semangat yang perlu terus bersemarak dalam kalangan remaja walaupun negara telah mencapai kemerdekaan sekian lama.

Kepesatan pembangunan dan keutuhan perpaduan yang dicapai sejak merdeka amat membanggakan kita. Kita yakin bahawa kita mampu untuk pergi lebih jauh lagi. Sebagai warganegara, kita boleh berkongsi idea dan pandangan agar bersama-sama mencorakkan negara ini menjadi Malaysia yang kita impikan.

Kemerdekaan yang dipertahankan ini amat besar ertinya dan segala -galanya bermula dengan golongan muda yang akan terus mewarnainya. Kemerdekaan adalah lambang kebebasan, kedaulatan, kekuatan, dan kejayaan kepada setiap daripada kita , warganegara yang bernaung di bawahnya.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Menghargai Kemerdekaan, Lidah Pengarang, Utusan Malaysia, 31 Ogos 2004 ) SUMBER; DI SINI

HAYATI ERTI KEMERDEKAAN

Kemerdekaan ialah nilai terunggul dalam Islam. Malah, Islam dan kemerdekaan terlalu sinonim. Ini kerana, salah satu dari cita-cita utama agama Islam ialah memerdekakan manusia. Apabila manusia memiliki kemerdekaan, nilai-nilai ajaran Islam secara langsung terjelma dalam kehidupan.

Ramai dari kalangan masyarakat yang keliru dan beranggapan bahawa agama Islam mengongkong kehidupan. Kekeliruan ini amat menyesalkan. Ini kerana, sekiranya seseorang itu benar-benar menyelami inti ajaran Islam, dia akan mendapati bahawa Islam adalah agama pembebasan.

Ini dapat ditelusuri menerusi beberapa prinsip utama ajaran Islam. Pertama ialah ajaran kepercayaan atau aqidah yang merupakan tunjang agama. Prinsip yang menunjangi aqidah Islam dikenali sebagai Tauhid

Inti terpenting dari prinsip ini ialah tentang kesamarataan manusia di sisi Tuhan. Hanya Allah SWT sahaja yang paling tinggi dan sumber ketaatan dan pertanggungjawaban manusia. Manakala kedudukan manusia di sisi manusia yang lain adalah setara dan saksama.

Berasaskan prinsip Tauhid ini, Islam menyanjungi kemerdekaan setiap individu manusia. Memandangkan kedudukan manusia adalah setara dan pertanggunggjawaban mereka terhadap Tuhan adalah saksama, maka, seorang itu berhak menikmati nilai kemerdekaan dirinya. 

Dengan kata lain, tidak ada seorang manusia di dunia ini, walau dari bangsa atau keturunan mana sekalipun yang berhak mencabuli kemerdekaan yang dikurniakan Tuhan.
Ini kerana, ajaran Islam menolak pemikiran dan kepercayaan bahawa sesetengah individu atau kelompok manusia lebih mulia atau lebih tinggi darjat dan kehormatannya berbanding dengan yang lain. 

Sehubungan dengan kefahaman inilah, ajaran Islam menolak konsep perhambaan atau sistem kasta yang meletakkan kedudukan sosial tertentu bagi satu-satu kelompok masyarakat sehingga menyekat pergaulan dan perhubungan.

Islam sebagai agama pembebasan manusia memang cukup dihayati pengertiannya oleh masyarakat di Tanah Arab di awal perkembangannya. Oleh sebab itu, agama Islam begitu mudah sekali tersebar. Dalam suasana masyarakat pada waktu itu yang ditadbir berasaskan kemuliaan sesuatu kabilah atau puak, ia telah mengundang eksploitasi dan penindasan secara berleluasa. 

Golongan miskin dan fakir sering sahaja menjadi mangsa ketidakadilan. Keringat mereka dikerah sewenang-wenang untuk kesenangan golongan bangsawan tanpa imbuhan setimpal. Hak-hak mereka sering dirampas secara paksaan.

Kedatangan Islam seumpana satu sinar baru mengubat kesengsaraan yang telah sekian lama dialami masyarakat Arab. Islam telah menekankan tentang hak-hak dan kedudukan mereka yang setara dan saksama. Seruan kepada pembebasan manusia tambah diyakini menerusi kepimpinan Nabi Muhamad SAW yang telah tersohor dengan peribadi yang mulia lagi jujur. Seruan Nabi Muhamad SAW yang menegaskan bahawa`tiada perbedaan antara Arab atau bukan Arab’ dan `semua manusia berasal dari Adam dan Adam dijadikan dari tanah’ (maksud hadis), sering sahaja tergiang-ngiang dalam dakapan pendengaran mereka. 

Dan seruan itu memang benar apabila mereka melihat sendiri layanan dan cara kehidupan masyarakat awal Islam yang ditadbir oleh Nabi Muhamad SAW secara penuh saksama dan adil.

Penghayatan makna seruan pembebasan manusia ke arah kesaksamaan taraf dan kedudukan menjadi asas terhadap penentangan masyarakat Islam terhadap apa juga bentuk dan elemen yang membawa kepada penindasan sesama manusia.

 Kesedaran tersebut telah membangkitkan rasa benci terhadap sebarang unsur yang diistilahkan pada masa kini sebagai `penjajahan’. Memandangkan kedapatan sebahagian manusia yang rela memperoleh kesenangan diatas kesengsaraan orang lain, maka penjajahan telah digunakan sebagai saluran bagi tujuan tersebut.

 Sesungguhnya penjajahan, walau dalam apa juga bentuk sekalipun suatu amalan yang mesti ditentang.
Penjajahan-penjajahan ini mesti ditentang dan diprotes secara berterusan oleh setiap individu menerusi cara yang sesuai. Ini kerana, selagi mana ada penjajahan, selagi itu manusia tidak akan memperoleh kemerdekaan. Apabila seseorang itu terjajah, kehormatan dirinya turut tergadai. Oleh itu, memperjuangkan hak-hak dan kehormatan diri dan kaum yang dirampas merupakan satu ibadah yang besar sekali di sisi agama. Ia seumpama berjuang bagi menegakkan agama itu sendiri kerana agama diturunkan bagi memuliakan bangsa manusia.

Apabila agama Islam menyeru kepada pembebasan dan kemerdekaan manusia, ia sebenarnya menyeru kepada pemartabatan kehormatan manusia itu sendiri atau disebut dalam istilah al-Quran sebagai `karamah insaniyyah’

Dalam kata lain, manusia ialah kejadian Tuhan yang paling mulia dan kemuliaan ini adalah anugerah Tuhan yang paling agung. Tiada sesiapa juga dari kalangan manusia yang boleh merampas kemuliaan dan kehormatan ini kerana ia adalah kurniaan Tuhan. 

 Sekiranya ada manusia yang gemar dengan tabiat menindas, menzalimi dan menjatuhkan maruah manusia yang lain, maka sebenarnya, dia telah menghina anugerah dan kurniaan tertinggi Tuhan kepada manusia. 

 Allah telah berfirman dalam surah Al-Israa’ (17:70):

` Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan’. 

Dalam hubungan ini, kemerdekaan ialah salah satu dari ciri kemuliaan dan kehormatan manusia. Oleh itu, ia perlu dipertahankan dengan sepenuhnya walau sehingga terpaksa mengorbankan jiwa dan raga. 

Menerusi kemerdekaan, karamah manusia akan terus terpelihara.  Apabila karamah dapat dipelihara, maka akan tertegaklah agama. Ini kerana, tujuan agama ialah menjaga karamah manusia dari tercabul oleh kerakusan manusia yang lain.  

Karamah ini hanya akan dapat dinikmati oleh manusia apabila mereka memperoleh kemerdekaan dirinya.

SUMBER: https://razak.wordpress.com/2007/09/02/hayati-erti-kemerdekaan/

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .