Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Menanti kewujudan akta hidu gam

Menanti kewujudan akta hidu gam

SEORANG pemuda berusia 28 tahun bagaikan hilang akal apabila melibas-libas pisau selepas berang dengan tindakan ayahnya berusia 58 tahun membuang gam yang dihidunya. Dalam keadaan khayal, entah apa yang bermain di fikiran sehingga akhirnya pisau itu singgah di perut si ayah.
Si abang berusia 39 tahun yang cuba mententeramkan adiknya turut terkena libasan pisau itu di tangan kiri. Mujurlah tiada kematian kerana dua beranak itu hanya cedera dan mendapat rawatan di hospital.

Itu kisah terbaru membabitkan penangan gejala menghidu gam di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu, baru-baru ini. Terlalu banyak sebenarnya kisah berbaur sedih, marah dan benci berkaitan gejala menghidu gam dan barangkali jika dibukukan entah berapa rak diperlukan untuk menyimpannya.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, malah tahun berganti tahun ada saja kisah membabitkan gejala menghidu gam. Selain mencederakan orang lain, entah berapa ramai yang menjadi anak derhaka, melakukan jenayah, malah terpaksa dihantar ke pusat pemulihan persendirian gara-gara ketagih menghidu gam.


Menyedihkan, apabila yang terbabit kebanyakannya remaja, malah berdasarkan laporan akhbar ada kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah pandai menghidu gam.

BACA LANJUT...

Penulis sendiri pernah berpengalaman menemubual remaja berusia 21 tahun yang ketagih menghidu gam sejak usia 13 tahun. Masa depannya gelap dan entah bagaimana nasibnya kini, sama ada hidup atau sudah meninggal dunia. Tidak mendoakan, tetapi itulah realitinya kerana ketika ditemu bual dia mengakui ketagihannya kronik apabila menjadikan gam seperti makanan harian dan tidak keterlaluan dikatakan dia hanya menanti masa untuk dijemput ajal.

Bukan satu retorik jika ketagihan menghidu gam itu dikaitkan dengan kematian. Masih ingatkah lagi kisah tiga rakan karib yang ditemui mati dipercayai selepas menghidu gam secara berlebihan berhampiran kawasan semak di atas bukit di antara Flat Sri Sabah dengan Jalan Loke Yew di Cheras, Kuala Lumpur pada 10 April 2000?

Muhamad Abdul Hamid,18; Gucharan Singh Arbantha Singh atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah, 14, dan Alun Harris, 20, dipercayai mati dua jam lebih awal sebelum ditemui penduduk dalam keadaan terbaring kira-kira jam 8.40 pagi.

Turut ditemui di kawasan itu adalah empat tin gam dengan kapasiti 100 mililiter bagi setiap tin yang dipercayai digunakan untuk melepaskan gian pada waktu malam sebelum mayat mereka ditemui.

Bagi penghidu gam, barangkali mereka tahu atau buat tak tahu. Gam yang dihidu itu mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh mengganggu fungsi jantung.

Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Jika tidak mati, bersedialah untuk hilang ingatan, gila, hilang upaya deria dan lumpuh pada anggota badan tertentu.

Semua kesan itu sudah dibuktikan dengan pelbagai kisah berkaitan gejala menghidu gam yang dipaparkan di akhbar. Ia terus menjadi bahan bualan, perdebatan dan polemik yang nampaknya tiada kesudahan.

Puas sudah nama seperti Setiausaha Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Kamilia Ibrahim dan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi menguar-uarkan pentingnya diwujudkan akta hidu gam bagi membendung permasalahan berkenaan.

Entah beberapa kali juga wakil badan bukan kerajaan (NGO) lain bersuara mengatakan gejala menghidu gam sudah sampai ke tahap kronik, namun belum nampak sebarang penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Kamilia pernah menyebut Pemadam mengusulkan diwujudkan akta hidu gam sejak 2007.

Baru-baru ini Pegawai Perhubungan Awam Unit Media dan Komunikasi Korporat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Mohd Amir Khusairi, dipetik sebagai berkata, usaha menangani gejala menghidu gam dibincangkan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencari jalan penyelesaian.

Dikatakan, KDN mengusulkan kertas cadangan untuk diberikan kepada kerajaan bagi menguatkuasakan akta menghidu gam. Daripada Pemadam mencadangkan sehinggalah AADK turut serta, nampaknya belum ada sebarang kata putus berkaitan akta berkenaan.

Agaknya sampai bila boleh diwujudkan kekangan dan hukuman supaya gejala menghidu gam dapat diselesaikan? Ini kerana, tanpa akta, tiada apa yang boleh dilakukan kepada sesiapa yang menghidu gam melainkan diberi nasihat.

Memetik kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan baru-baru ini, tiada akta bagi membolehkan penghidu gam didakwa, malah polis sendiri tidak boleh menahan atau menangkap mereka dan apa yang boleh dilakukan sekadar memberi nasihat.

Lupakanlah impian melihat usaha membanteras gejala menghidu gam tercapai hanya dengan sekadar memberi nasihat. Anak muda zaman sekarang bukan jenis yang makan nasihat.

Bagi penghidu gam, bersoraklah mereka selagi tiada undang-undang yang boleh menyekat dan menghukum mereka. Pada masa sama, mungkin mereka tersenyum lebar kerana sesiapa yang terbabit dengan gejala menghidu gam tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing.

Pelbagai jenis gam yang boleh mengkhayalkan juga bebas dibeli di mana-mana kedai tanpa ada sekatan kerana tiada akta membolehkan pembelian gam itu disekat. Lalu, apa akan jadi pada generasi muda kita pada masa depan?

Diyakini kerajaan mengambil berat permasalahan berkenaan, cuma rakyat mahu segera melihat permasalahan itu diatasi, sekurang-kurangnya dengan menguatkuasakan akta berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan mampu perkenalkan akta untuk daun ketum dan melarang remaja bawah 18 tahun membeli rokok, mengapa pula tidak menguatkuasakan akta hidu gam?

Pada masa sama, alang-alang penjualan asid dicadangkan supaya tidak dijual sewenang-wenangnya bagi mengelak bahan ini disalah guna penjenayah selepas jenayah membabitkan asid mula meningkat dan membimbangkan rakyat baru-baru ini, usahakanlah juga supaya penjualan gam yang digunakan untuk berkhayal dipantau penjualannya.

 

Sumber: harian Metro, Dilaporkan Oleh Ketua Biro Harian Metro Kelantan, Azmizan Mohd Samiran.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .