Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Kerjaya Jururawat Perlu Sabar dan Senyum

Kerjaya Jururawat Perlu Sabar dan Senyum


CEMERLANG...(dari kiri) Betterline, Kalaiselvi, Wu Jie Yee dan Kasthuri Subramaniam bersama anugerah pencapaian cemerlang sempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa, minggu lalu.

SABAR dan senyum bukanlah perkara mudah untuk dilakukan terutama apabila perlu berdepan dengan bermacam kerenah manusia. Sabar dan senyum juga bukanlah sekadar ayat manis atau kata semangat untuk menenangkan diri kala dilanda pelbagai cabaran yang membabitkan individu lain.

Namun, sabar dan senyum itulah yang menjadi azimat serta pemangkin diri setiap jururawat dalam menghadapi tugasan setiap hari agar pesakit yang dikendalikannya lebih selesa hingga dapat pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Benar, sabar dan senyum itu agak klise apabila dikaitkan dengan jururawat kerana mereka juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Tapi dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada jururawat, sabar dan senyum menjadi sebahagian daripada hidup mereka yang tidak hanya terhad ketika di wad hospital.

Bagi Betterline Nyorid, setiap jururawat perlu sentiasa ada sifat empati iaitu berkeupayaan menyelami serta memahami perasaan atau emosi orang lain yang mana ia menjadi aspek penting dalam skop tugasan jururawat agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.


“Sebagai jururawat, kami perlu letakkan diri sebagai pesakit. Mereka datang ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan segera bagi membolehkan mereka kembali hidup secara normal.

“Kita sendiri pun akan rasa marah apabila lambat mendapatkan rawatan atau dilayan dengan buruk, jadi jururawat perlu sentiasa letakkan situasi itu pada diri apabila berdepan pesakit yang datang dengan pelbagai kerenah.

“Sememangnya sabar memainkan peranan utama dalam kehidupan setiap jururawat, jadi senyum adalah perkara terbaik untuk menanganinya,” katanya.



Justeru, tidak hairanlah mengapa jururawat berusia 31 tahun dari Kuching, Sarawak ini dinobatkan Jururawat Paling Popular bagi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) sempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa, minggu lalu.

“Bagi saya, letakkan semua masalah peribadi atau tekanan di luar pintu wad kerana emosi negatif dalam diri akan jelas terpancar ketika mengendalikan pesakit.

“Kita sendiri tidak suka dilayan buruk oleh jururawat atau kakitangan perubatan, jadi saya berusaha kekal positif setiap kali melangkah masuk ke dalam wad.

“Selain itu, komunikasi yang baik antara jururawat dan pesakit juga memainkan peranan penting dalam proses pemulihan pesakit. Saya percaya dengan berbual bersama pesakit - walaupun cuma borak kosong - mampu tingkatkan mood mereka, sekali gus dapat memberi impak positif dalam proses pemulihan pesakit terbabit,” jelasnya yang berkhidmat di hospital itu sejak Julai 2001.

Perihal sama disuarakan penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup, Kalaiselvi Kumaresan, 43, yang menegaskan bahawa kerjaya jururawat tidak boleh dijadikan pilihan terakhir kerana ia perlu hadir daripada hati yang murni dan cekal hati sambil diiringi semangat untuk membantu orang lain.

“Pesakit datang dalam pelbagai keadaan dan situasi, kebanyakannya datang dengan emosi yang tidak stabil dan tidak biasa dengan keadaan di hospital, jadi di sinilah jururawat perlu bijak menangani mereka dengan banyak bersabar dan berusaha memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.

“Seorang jururawat yang cemerlang juga perlu setiap masa meletakkan dirinya dalam situasi pesakit lalu keikhlasan dalam melakukan tugasan itu pasti tergambar jelas ketika memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

“Saya percaya kepuasan bekerja sebagai jururawat ini hanya boleh diperoleh apabila melihat pesakit yang dirawat bertambah pulih dan gembira dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya kini bertindak sebagai pegawai jururawat bagi Unit Pendidikan Dan Kawalan Jangkitan di PHKL.

Sementara itu, usia muda dan pengalaman setahun jagung bukanlah halangan besar untuk cemerlang dalam bidang ini.

Sejak hari pertama melangkah ke wad adalah hari bermulanya pelbagai rintangan bagi Wu Jie Yee untuk menguji kemampuannya menjadi jururawat yang baik.

Penerima Anugerah Rising Star ini nekad memilih bidang kejururawatan sejak di bangku sekolah meskipun sering disogokkan dengan kisah buruk mengenai karier ini.

“Sejak dulu lagi saya bercita-cita menjadi jururawat kerana ia tanggungjawab murni yang membantu mereka yang memerlukan. Setiap hari ada bermacam cabaran, dari situ ia menguji tahap ketahanan mental dan fizikal saya sebagai kakitangan perubatan.

“Setiap pesakit datang dengan pelbagai karakter, jadi saya perlu faham setiap keperluan mereka.

“Sepanjang lapan bulan bergelar jururawat, saya juga banyak mempelajari sifat manusia dan sememangnya aspek psikologi memainkan peranan utama dalam bidang ini.

“Rasa marah itu tetap ada tapi saya berusaha tenangkan diri terlebih dulu sebelum mengendalikan pesakit.

“Daya kawalan diri dan kesabaran juga penting kerana saya tidak mahu pesakit melihat saya dalam keadaan negatif,” katanya yang kini bertugas di Unit Rawatan Koronari (CCU) sejak bulan lalu selepas tujuh bulan di Wad Surgikal.

Jelas Wu, bagi mereka yang berminat menjadi jururawat perlu bersedia bekerja dalam pasukan dan bersedia menerima kritikan berterusan selain persiapan mental yang seimbang agar tugasan dapat dilakukan dengan baik.(sumber; Harian Metro)

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .