Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Program Syarahan Kebangsaan UMP - Upin Ipin

Program Syarahan Kebangsaan UMP -  Upin Ipin






 Alhmdulillah kami telah hadir program Syarahan Umum di UMP (Universiti Malaysia Pahang - Kampus Gambang) pada 18 September 2013 lalu. Kami bertolak dari sekolah pada pukul 1.40 petang dengan menaiki Bas UMP.  Program sebegini dapat mendedahkan peluang kerjaya dalam bidang ICT dan seni visual kepada pelajar-pelajar sekolah. Kami kembali semula ke sekolah pada pukul 5.05 petang. Terima kasih kepada UMP kerana sudi menjemput sekolah kami menghadiri program ini dnegan disediakan pengangkutan bas dan makanan secara percuma.

Petikan dari portal UMP:





Kuantan, 18 September- Lebih 3000 pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi menghadiri syarahan umum bertajuk `Di sebalik Tabir Upin dan Ipin dari kacamata Tok Dalang' bertempat di Kompleks Sukan UMP baru-baru ini. 


Program yang bertemakan inovasi dan keusahawanan menampilkan Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn Bhd, Haji Burhanuddin Mohd Radzi yang pernah bertugas sebagai jurutera petroleum sebelum menceburkan diri dalam bidang animasi Upin dan Ipin yang cukup terkenal di dalam dan di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP  menganjurkan program sebegini bertujuan menyalurkan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat setempat di samping mengeratkan hubungan dua hala antara universiti dan masyarakat.

"Melalui program ini juga UMP sentiasa mengetengahkan tokoh-tokoh terkemuka dari dalam dan luar negara dan kebiasaannya, siri syarahan umum akan mengupas dan membincangkan masalah-masalah serta isu –isu masyarakat  agar penyelesaian dapat dipertimbangkan bersama."


"Pemidato utama pada kali ini ini adalah pengasas kepada animasi terkenal negara iaitu Upin dan Ipin, kini filem bersiri Upin dan Ipin ini amat popular di kalangan kanak-kanak. Watak budak kembar yang botak itu berjaya menarik jiwa kanak-kanak dan orang dewasa," katanya sewaktu memperkenalkan pemidato dalam Majlis Syarahan Umum UMP itu.


Tambahnya, fenomena animasi semakin mendapat tempat pada masa kini dan merupakan hasil karya anak tempatan yang boleh dijadikan role model kepada remaja masa kini yang meminati bidang animasi dan keusahawanan.


Sementara itu, menurut Haji Burhanuddin, idea awalnya dicetuskan isterinya, Hajah Ainon Ariff yang kini cukup sinonim dengan watak Opah dalam siri animasi Upin dan Ipin ini. Katanya, filem animasi yang pertama diterbitkan adalah ”Geng Pengembaraan Bermula” yang mula ditayangkan pada tahun 2005 dan pada masa itu sungguh membanggakan apabila menerima sambutan yang menggalakkan dengan kutipan yang diterima menjangkau 6.2 juta.


”Bermula dari situlah siri Upin-ipin mula diterbitkan dari satu episod demi episod. Siri animasi yang keseluruhannya mengunakan bahasa Melayu ini mempunyai identiti tersendiri dengan menekankan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia di samping menerapkan unsur tauladan bagi memupuk pemikiran positif di kalangan penontonnya terutama kanak-kanak.


Dalam berkongsi pengalaman, beliau menekankan pelajar agar sentiasa fokus dalam melaksanakan sesuatu tugas serta peka kepada persekitaran. namun yang penting adalah sikap disiplin dan gigih. 


Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd. Yusoff dan Pengarah Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat merangkap pengerusi program, Profesor Dr. Zulkefli Yaakob.









0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .