Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Tips pelajar cemerlang 2: Gadis Separa Buta Peroleh Kejayaan



Calon separa buta peroleh kejayaan membanggakan


SEGALA puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA hari ini kita rakyat Malaysia masih dapat mengecapi kehidupan yang aman damai dan sejahtera walapun negara ini mempunyai berbagai kaum, agama dan kebudayaan. Alhamdulillahirabbil a'lamin.

Selawat dan salam juga ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad SAW, para ahli keluarganya, para sahabat dan para pejuang-pejuang Islam yang telah berjuang untuk mengeluarkan umat manusia daripada alam kegelapan (jahiliah) kepada alam yang penuh dengan nur ilmu pengetahuan sepertimana kita kecapi dan nikmati pada hari ini.

Pada entry ini, saya ingin memuat naik berita dari akhbar beberapa bulan dulu, untuk kita renungkan bersama. Kisah kejayaan para pelajar cemerlang di Malaysia sering dimuatkan di dada-dada akhbar selepas keputusan peperiksaan awam diumumkan. Semoga tips dan perkongsian rahsia kejayaan calon peperiksaan awam ini, diambil iktibar oleh para ramaja yang masih berada di bangku sekolah khususnya para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM, STPM atau STAM.

KUALA TERENGGANU 11 Mac - Yakin dengan kemampuan diri selain bantuan guru dan rakan berjaya membantu calon separa buta, Nur Najmi Syamila Mohd. Sakari, 18, memperoleh keputusan 8A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini itu berbangga apabila mencapai A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Tassawur Islam.

Anak seorang petani itu juga memperoleh A dalam mata pelajaran Perdagangan dan Prinsip Perakaunan manakala A- untuk Ekonomi Asas dan keputusan B+ bagi Matematik dan Bahasa Inggeris.

Nur Najmi Syamila berkata, dia sejak awal menetapkan sasaran untuk mencapai keputusan 8A dalam SPM.

''Saya mengalami masalah untuk belajar dalam kelas jadi saya banyak belajar secara berkumpulan selain mengulangkaji pelajaran secara bersendirian pada waktu malam.

''Saya juga banyak bertanya dengan guru secara bersemuka terutama mata pelajaran Matematik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, dia juga sering memulakan ulang kaji pelajaran dengan berdoa sama ada secara sendirian atau bersama rakan-rakan.

Sementara itu bapa pelajar itu, Mohd. Sakari Muda berkata, dia bersyukur dengan kejayaan cemerlang Nur Najmi Syamilai.

PETIKAN BERITA LAIN...

Jumaat, 2010 Mac 12


Cacat Bukan Halangan Nur najmi Dapat 8A,  kredit kepada teganukita.blogspot

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

KUALA TERENGGANU, 11 Mac - Pelajar cacat penglihatan, Nur Najmi Syamila Mohd Sakari, 18, mencatat sejarah dalam pendidikan negara apabila muncul antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 bagi kategori pendidikan khas.

Anak petani dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu mencatat 8A dan 2B dalam keputusan SPM yang diumumkan serentak seluruh negeri, hari ini (11 Mac).

Dia yang ditemani bapanya, Mohd Sakari, 54, dari Kampung Jerung Tuan, Wakaf Tapai, Marang menitiskan air mata kegembiraan apabila menatap keputusan yang tercatat pada slip keputusan peperiksaan yang diserahkan pengetua sekolahnya, Hajah Zabedah Muda.

“Saya mahu dedikasikan kejayaan saya kepada rakan-rakan yang senasib seperti saya supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan kecacatan ini sebagai penghalang.
“Selepas ini saya berazam untuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan dan menjadi tenaga pengajar untuk membantu golongan seperti saya kerana hanya saya yang mampu merasai apa yang mereka rasai,” katanya.

Katanya, usaha dan doanya tanpa henti selain sokongan keluarga dan guru yang tiak jemu membimbing dan memberi pengajaran khas kepadanya akhirnya berbaloi dengan apa yang sudah terbukti kini.

Nur Najmi berkata, walaupun dilahirkan cacat, beliau tidak pernah merasa serba kekurangan, malah yakin kepada kemampuan diri dan tidak sesekali menyerah kalah dan berusaha untuk mencapai sasaran dan menggembirakan keluarga.

Bapa Nur Najmi, Mohd Sakari bekerja sebagai petani, yang tidak dapat membendung tangisan kesyukuran dengan kejayaan luar biasa anak keenam daripada lapan beradik itu, tidak menduga anaknya yang dilahirkan cacat penglihatan sejak kecil itu mampu membuktikan kecacatan bukan penghalang untuknya cemerlang.
“Pak cik terharu sangat..sentiasa minta hidayah dan petunjuk dari Allah SWT supaya anak pak cik berjaya dan Alhamdulillah hari ini dia berjaya.

“Dia jadikan empat kakak dan abang yang lain sebagai contoh dan pak cik terharu sangat walaupun peringkat awal risau juga memikirkan nasib dia. Tapi apabila masuk sekolah menengah dia semakin bagus dan sentiasa cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Nur Najmi antara pelajar pendidikan khas yang menjalani pembedahan mata sumbangan kerajaan negeri pada Disember lalu.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .