Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Tahniah Malaysia cipta rekod muncul juara AUG ke 16

Tahniah Malaysia cipta rekod muncul juara AUG ke-16

 

 

Perbarisan atlet Malaysia pada acara penutup Sukan Universiti ASEAN, di Laos, malam tadi.

Malaysia cipta rekod muncul juara AUG Sukan Universiti ASEAN


Catat sejarah sejak 30 tahun jadi johan bertanding di luar negara
Berakhirnya Sukan Universiti ASEAN (AUG) edisi ke-16 semalam, Malaysia secara rasminya mencipta rekod menjuarai kejohanan itu buat pertama kali di luar negara sejak 30 tahun sejarah penganjuran sukan universiti peringkat Asia Tenggara itu.

Hadir dengan hanya mensasarkan 36 emas, namun kejayaan membawa pulang 60 pingat emas, 48 perak dan 72 gangsa cukup melahirkan rasa bangga di kalangan setiap atlet dan pegawai kontinjen negara. 





Tuai hasil Dasar


"Saya lihat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memainkan peranan cukup besar terutamanya dengan memperkenalkan dasar Pusat Sukan Tumpuan dan Pusat Kecemerlangan Sukan. Pencapaian ini membuktikan dasar dan sistem kita memberikan hasil.

"Saya juga sentiasa berpesan supaya pastikan tidak ada sebarang masalah dalaman dan kekal dengan semangat juang tinggi. Saya bangga dengan pencapaian ini hasil sokongan semua pihak," kata Chef de Mission negara, Profesor Dr Yahaya Ibrahim ketika menghadiri majlis meraikan kontinjen negara di Kedutaan Besar Malaysia di Laos semalam.

Skuad renang menjadi penyumbang emas paling banyak dengan meraih 21 emas, sembilan perak dan tujuh gangsa untuk mengecewakan Vietnam di tempat kedua keseluruhan (56 emas, 35 perak dan 28 gangsa).

Tak jangka


Dalam masa sama, Yahaya melahirkan terima kasih kepada skuad renang, memanah, karate-do dan olahraga yang mempamerkan pencapaian baik.

"Memang saya tidak jangka kita mampu mencapai sehingga 60 pingat emas. Sukan renang, memanah, olahraga dan karate-do memenangi banyak emas.

"Muay thai juga turut meraih tiga perak walaupun terpaksa bersaing dengan kuasa besar dunia, Thailand. Kita ada sasaran untuk Rio de Janeiro 2016 (Sukan Olimpik), jadi kita bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara untuk melahirkan lebih ramai atlet untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi," katanya.



Sumber; Berita Harian

Malaysia Dinobat 

Juara Keseluruhan Sukan Universiti Asean.



VIENTIANE, 21 Dis. - Kontinjen Malaysia dinobatkan juara keseluruhan temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2012 yang menutup tirainya di sini semalam.

Malaysia melakar kejayaan cemerlang dengan meraih 60 kilauan emas, 48 perak dan 72 gangsa.

Vietnam di tangga kedua dengan 56 emas, 35 perak dan 28 gangsa, diikuti Thailand dengan 45 emas, 52 perak dan 56 gangsa.

Kejayaan kontinjen Malaysia menjuarai temasya dwitahunan yang kali ini dihoskan Laos itu merupakan yang pertama dilakar di luar negara.

Ketua kontinjen Malaysia Prof Dr Yahaya Ibrahim memberitahu wartawan Malaysia beliau amat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian luar biasa atlet negara yang merupakan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

"Saya tidak menjangka kita menjadi juara keseluruhan. Kontinjen melepasi sasaran pingat emas ke-36 kemudian mereka membuat kejutan raih emas ke-45 keesokan harinya. Saya percaya faktor sokongan semua pihak membakar semangat atlet kita untuk berhempas pulas sehingga meraih emas ke-60 semalam," katanya.

"Di pihak Kementerian Pengajian Tinggi, kita yakin langkah memperkenalkan dasar Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) di setiap universiti membuktikan sistem itu berjaya," kata Yahaya.

Kali terakhir kontinjen negara muncul juara ialah pada 2008 ketika Malaysia menjadi tuan rumah AUG.

Upacara penutup AUG edisi Laos bertema 'We Are Asean Family' berlangsung meriah di Stadium Kompleks Sukan Nasional, Vientiane. Ia disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Laos, Asang Laoly.

Ia turut menyaksikan Presiden Majlis Sukan Universiti Asean Datuk Prof Dr Kassim Md Mansor menyerahkan bendera kejohanan kepada Pengerusi Jawatankuasa Sukan Nasional Sumatera Selatan, Indonesia, Muddai Madang. Hadir sama termasuklah Duta Malaysia ke Laos Datuk Than Tai Hing.

Indonesia merupakan lokasi yang bakal dipilih menjadi tuan rumah AUG ke 17 pada 2014.




Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .