Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Profil Tokoh Hari Guru Kebangsaan Ke-42

Profil Tokoh Hari Guru Kebangsaan Ke-42


TOKOH Guru Kebangsaan 2013 dari kiri) Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud, Noor Rezan Bapoo Hashim, Jacob Mathews dan Freida Mohd. Pilus gembira menerima anugerah yang disampaikan oleh Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan

 PROFIL TOKOH GURU KEBANGSAAN 2013


INFO
Sambutan Hari Guru Ke-42

  • 1 Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan.
  • 3 Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan.
  • 1 Anugerah Tokoh Guru Sekolah.
  • Pelancaran Kad 1Guru Bank Simpanan Nasional-Yayasan Guru Malaysia Berhad (BSN-YGMB) untuk guru nikmati potongan harga.
  • Pameran Pendidikan pada 14 hingga 19 Mei di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.
    419,000 guru dijangka layak nikmati kemudahan kad kredit dengan kadar faedah 8.8 peratus berbanding 16 peratus.

Profil Tokoh Hari Guru Kebangsaan Ke-42

SEREMBAN 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan anugerah tertinggi pendidikan negara sempena perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.

Penerima anugerah tersebut ialah Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan); Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud, Jacob Mathews (Tokoh Guru Kebangsaan) dan Datuk Freida Mohd. Pilus (Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan).





Kesemua mereka menerima medal, sijil dan hadiah penghargaan yang disampaikan oleh Muhyiddin dalam acara penuh gilang-gemilang.Noor Rezan yang ditemui wartawan selepas majlis berkenaan berkata, anugerah itu adalah penghargaan buat semua guru dan pendidik yang tidak pernah kenal erti penat mahupun mengalah.‘‘Saya berterima kasih kepada kerajaan ke atas pengiktirafan yang diberikan ini. Bagi saya, guru adalah pendidik sepanjang hayat.


‘‘Jika seorang guru melakukan kesilapan dalam mendidik, mereka akan merosakkan generasi bangsa negara ini," katanya dekat sini hari ini.

Noor Rezan merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dan telah dilantik sebagai Penasihat Pendidikan bagi Khazanah Nasional Berhad pada 2011, selain memegang pelbagai jawatan memperkasa pendidikan negara.Beliau pernah dianugerahkan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan pada tahun lalu.

Sementara itu Wan Hamzah berkata, guru kini lebih mencabar berbanding dahulu yang mana menuntut pendidik menguasai pelbagai bidang untuk melonjakkan kemampuan pelajar dalam persaingan yang semakin membesar.‘‘Anugerah ini satu tanggungjawab yang perlu diteruskan. Saya akan terus memberikan segala idea dan bantuan untuk merangsangkan profesion perguruan ke tahap lebih tinggi," ujarnya.

Wan Hamzah merupakan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bahru, Kelantan.Bagi Jacob yang turut menerima anugerah yang sama memberitahu, profesion perguruan ini memerlukan kesabaran dan dedikasi yang tinggi, apatah lagi dunia pendidikan kini jauh berbeza berbanding dahulu.‘‘Apa yang manis adalah melihat semua anak didik saya berjaya dalam pelbagai bidang dan itu adalah hadiah terbaik buat saya sebagai warga pendidik," katanya yang pernah menjawat jawatan sebagai Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Kebangsaan Methodist, Telok Datok, Selangor.

Manakala Rabiah pula memberitahu, pendidik harus terus berdedikasi dan mampu mendidik anak bangsa dengan lebih cemerlang pada masa depan.‘‘Ini adalah tugas hakiki kita bagi memastikan anak muda berjaya dalam mencapai cita-cita mereka. Tugas guru adalah pencetus kepada kejayaan anak-anak bangsa," kata bekas Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak.Dalam pada itu, Freida berkata, semua guru perlu sentiasa berdedikasi dan meletakkan setiap anak didik itu sebagai aset berharga untuk negara.

‘‘Saya juga berazam untuk menubuhkan pusat pendidikan guru bagi melatih dan memberikan ilmu kepada mereka supaya ada dalam kalangan pendidik ini menjadi tenaga pengajar khususnya di sekolah swasta," katanya yang juga pengasas Sekolah Sri Cempaka, Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Online


Pendidik hebat dipilih Ikon Guru


Putrajaya: Sambutan Hari Guru Ke-42 tahun ini di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan pada 16 Mei ini, akan mengetengahkan tema ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’, yang dilaksana secara keterangkuman dan futuristik.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata, 1Aspirasi bermaksud semua guru di Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan bermutu bertaraf dunia seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Justeru, tegas beliau, menjadi tanggungjawab semua guru melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.


1Aspirasi juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, mutu antarabangsa yang tinggi, kesaksamaan untuk semua murid, memupuk perpaduan dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.

Pastikan kejayaan PPPM

1Agenda pula bermakna semua guru berpegang pada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM dan mereka perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan falsafah pendidikan negara.

Jelas beliau, konsep futuristik dan keterangkuman yang menjadi inti pati sambutan hari guru tahun ini, dilaksana menerusi pembabitan semua lapisan guru muda, guru senior, pesara guru dan pelbagai sektor termasuk ibu bapa, agensi swasta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, konsep futuristik diketengahkan kerana PPPM 2013-2025 yang mengambil masa 13 tahun pelaksanaannya akan bertumpu kepada lima aspirasi sistem pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap akses, mutu, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

“Pembabitan secara inklusif atau keterangkuman dalam satu sambutan pula bertujuan merapat dan mengukuhkan perpaduan serta interaksi bersama kerajaan khususnya kementerian untuk memacu arus Transformasi Pendidikan Nasional (TPN) seperti yang terkandung dalam PPPM.

“Malah, ia juga akan memartabatkan profesion keguruan iaitu menerusi peningkatan jati diri dan keilmuan sebagai pendidik, serta penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan selain pengorbanan guru mendidik anak bangsa,” katanya.

Sempena sambutan hari guru tahun ini, seorang warga pendidik yang berjaya menaikkan imej Kementerian Pelajaran dan mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang akan diumum sebagai Ikon Guru. Anugerah ini baru diperkenalkan tahun ini.

Umum di Stadium Nilai

Menteri Pelajaran dijangka membuat pengumuman itu di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan, di hadapan lebih 2,000 warga pendidik.

Khair berkata, lima anugerah akan diberi kepada lima guru yang berjasa dan berjaya menaikkan imej kementerian serta negara dalam pelbagai bidang termasuk sukan, kesenian, pembelajaran dan pengajaran, ko-kurikulum, kepimpinan serta kesukarelawanan.

“Pemilihan ikon guru ini bukan hanya dibuat kerana pengalaman dan sumbangan mereka, sebaliknya kita mahu beri pengiktirafan kepada warga pendidik masih muda yang berjaya menaikkan imej negara dan sekolah menerusi kegiatan sukan, kesukarelawan serta kepimpinan yang disertai mereka.

“Kita harap pengenalan anugerah terbaru ini mampu menaikkan semangat warga pendidik terutama guru muda berusia 24 hingga 40 tahun, untuk terus berusaha bersungguh-sungguh menaikkan imej kementerian dan negara di persada antarabangsa,” katanya.

Pameran pendidikan

Tambah beliau, pameran pendidikan pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu agensi dalam kementerian dan agensi serta pembabitan pihak luar, adalah berbentuk penjelasan berhubung bidang yang dipamerkan, strategi untuk mencapai sesuatu sasaran serta ‘outcome’ atau hasil dalam bidang berkenaan.

“Kita juga akan adakan dialog pembabitan ibu bapa, masyarakat dan swasta dalam pendidikan, yang bertujuan memberi penjelasan berhubung inisiatif bagi meningkatkan pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak di dalam serta luar sekolah untuk kecemerlangan masa depan negara.

“Mereka juga layak mendapat kad kredit dengan kadar faedah 8.8 peratus berbanding 16 peratus,” katanya sambil menambah ia akan memanfaatkan kira-kira 419,000 guru di seluruh negara.

SUMBER BERITA HARIAN

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .