Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Perak Man akhirnya pulang ke Lenggong

Perak Man akhirnya pulang ke Lenggong





 Shamsul (tengah) diiringi Mohd Nazaruddin (kanan) dan Mohd Mokhtar ketika meninjau pameran dari Jabatan Warisan Negara.



LENGGONG – Kerangka Manusia Perak atau Perak Man dijangka dapat dibawa pulang semula ke negeri ini dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.


Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, buat masa ini, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada kerajaan untuk membawa pulang rangka sebenar Perak Man yang kini ditempatkan di Muzium Negara di Kuala Lumpur ke Lenggong.







Menurutnya, persiapan rapi termasuk proses penyediaan prasarana mencukupi bagaimanapun perlu disiapkan terlebih dahulu, termasuk proses ubah suai dan pembinaan bangunan tambahan di Galeri Arkeologi.



“Ini yang sedang kita lakukan. Proses perancangan serta cadangan semua telah dibuat dan kini berada dalam peringkat pelaksanaan.


 




“Semua berjalan seperti yang kita rancang. Insya-ALLAH dalam tempoh satu atau dua tahun ini, kita dapat bawa balik Perak Man ke negeri ini,” katanya pada sidang media, semalam.

 




Beliau berkata, usaha membawa pulang Perak Man mendapat perhatian dan kerjasama baik semua pihak termasuk Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri yang membentuk sebuah jawatankuasa khas.



 


Kata beliau, Jawatankuasa Pemandu Lembah Lenggong Warisan Dunia yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bertanggungjawab menyusun dan merangka semua persiapan.




Beliau mahu kepulangan Perak Man ke Lenggong bukan hanya membantu meningkatkan industri pelancongan dan penyelidikan di sini, tetapi memberi impak besar kepada penduduk dalam usaha memacu ekonomi setempat.




“Sejak mendapat pengiktirafan daripada Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), kita dapat kesan berlaku peningkatan dari segi jumlah pelancong, boleh dikatakan setiap hujung minggu, lokasi penginapan di sini penuh.



“Jadi dalam rangka membawa pulang Perak Man, kita juga sedang bangunkan beberapa lokasi penginapan dan pakej-pakej tertentu termasuk pemasaran produk tempatan sedia ada.



“Kita tidak mahu, mereka datang hanya untuk melihat Perak Man. Sekurang-kurangnya ada tarikan lain boleh diketengahkan dan menyumbang kepada pembangunan setempat. Hasrat kita mahu jadikan kawasan ini sebuah lokasi pelancongan dan penyelidikan bertaraf dunia,” katanya.




Pada 30 Jun lepas, warisan arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco, satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia.




Penyenaraian itu menjadikan kawasan berkenaan tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di Malaysia selepas Melaka serta George Town di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah.




Terdahulu, Shamsul merasmikan Kempen Warisan Lenggong anjuran penuntut tahun akhir Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM).




Program dengan kerjasama KPerak itu antara lain bagi meningkatkan kesedaran terutama dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan menghargai warisan dan peninggalan sejarah di Lenggong.




Hadir sama, wakil dekan, Dr Bahiyah Omar, wakil Naib Canselor, Prof Dr Mohd Mokhtar Saidin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.


SUMBER SINAR HARIAN


Lembah Lenggong kini Tapak Warisan Dunia

 

BUKIT MERTAJAM 1 Julai - Lembah Lenggong di Perak yang menjadi lokasi penemuan Perak Man pada 2001 kini tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mengakui ia sesuatu yang membanggakan negara.


Menurut beliau, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha Jabatan Warisan Negara diketuai Prof. Zurainah Majid yang menjayakan cadangan supaya Lembah Lenggong dijadikan sebagai sebuah kawasan sejarah diiktiraf UNESCO.


"Saya ingin umumkan bahawa Lembah Lenggong di Perak yang menjadi lokasi penemuan Perak Man pada 2001 dan Wanita Perak pada 2004 kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.


"Ia membuktikan kepada dunia bahawa kependudukan dan tamadun di negara ini telah bermula lebih 11,000 tahun lalu dan membawa gambaran baru kepada persekitaran Lembah Lenggong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gotong-Royong dan Kenduri Rakyat Komuniti 1Malaysia di Kampung Penanti di sini hari ini.


Ketika ini, Georgetown, Pulau Pinang; Melaka; Gunung Kinabalu, Sabah dan Gua Niah di Sarawak telah mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO.


Lembah Lenggong yang dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap 'ibu kota' Malaysia turut mempunyai beberapa bukti lain seperti Kota Tampan, Gua Teluk Kelawar selain Gua Gunung Runtuh yang menempatkan Perak Man.


Tambah Rais, bagi meyakinkan dunia mengenai tapak bersejarah itu, Perak Man dan Wanita Perak akan dijelmakan sebagai satu artifak berharga kepada negara.


"Kementerian juga akan mengadakan permuafakatan dengan kerajaan negeri Perak bagi membuat kajian tentang pembangunan dan susulan mengenai tapak itu demi pembangunan sosio budaya dan warisan yang paling kental," ujarnya.

Sumber; Utusan Melayu,2/7/2012




0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .