Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Dilema Kasih

Siswi buntu kekasih abai tuntutan agama

 

 Entry ini, saya muatnaik ke cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan bersama. Ia berdasarkan ruangan Bersama Dang Setia Metro Ahad, 12 Ramadhan 1431H. Semoga kita mengambil iktibar darinya.

ASSALAMUALAIKUM. Saya berumur 19 tahun, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pantai Timur manakala keluarga saya menetap di selatan.
Untuk makluman Dang Setia, saya ada seorang teman lelaki berumur 20 tahun. Dia tidak sambung belajar dan sekarang bekerja. Kami menjalin hubungan selama enam tahun.

Saya akui dia pemuda baik, menghormati ibu bapa sama ada ibu bapa dia atau ibu bapa saya. Dia juga sentiasa membantu ibu bapanya daripada segi kewangan, serta saya kalau saya tak cukup duit ketika di kampus. Ibu bapa saya tahu mengenai hubungan kami.

Masalah sekarang dia tak buat perkara wajib yang dituntut agama. Saya sangat terkilan kerana banyak kali memberi nasihat tapi jawapan diberi membuatkan saya sangat sedih. Kami juga jarang berjumpa.

Buat masa ini dia tunaikan solat lima waktu dan saya harap diteruskan. Itupun puas disuruh. Namun bila tiba Ramadan dia tak nak puasa. Kalau Tarawih jauh sekali. Saya mengharapkan dia dapat memimpin saya sama ada sebelum atau selepas kahwin. Namun, ini dah terbalik. Saya dah bimbing dia tapi sampai bila? Saya sangat sayangkan dia.

Dang Setia, tolong saya dalam membuat keputusan sama ada terus bersama dia atau tidak. Saya mahukan keredaan Allah SWT. Saya nak bakal suami yang memimpin saya.

Saya akui, enam tahun perkenalan kami bukan jangka masa singkat. Dalam tempoh itu, kami tak pernah buat perkara tak senonoh. Cuma, saya sangat terkilan daripada segi ibadat dia terhadap Tuhan. Adakah perkara ini akan berterusan sampai kami berkahwin?

IEDA
Johor

 
Menjawab soalan saudari, sejujurnya Dang Setia berpendapat lelaki seperti kekasih saudari memang tidak layak dijadikan suami. Maaf jika saudari kurang senang dengan jawapan itu.

Yang pasti, Dang Setia cuma bersikap jujur. Bagi Dang Setia, panduan Islam wajib kita ikuti untuk mencari pasangan hidup iaitu dengan mengutamakan kepatuhan kepada agama berbanding kecantikan paras rupa atau kemewahan material.

Jika lelaki itu liat bersolat dan tidak berpuasa, jelas itu tidak memenuhi prasyarat diberikan Allah, jadi selagi dia tidak mengubah sikap buruk itu, selagi itu kita tidak sepatut menerimanya.

Fahamilah, beban masalah sebenarnya terletak di bahu teman lelaki, bukan saudari. Jika dia inginkan saudari, dia yang perlu berubah dengan mematuhi ajaran Islam.

Saudari pula perlu tetapkan pendirian dan kuatkan iman. Jangan sekali-kali saudari pula yang berubah ke arah keburukan.
Fahamilah juga cinta itu anugerah Allah yang suci dan murni. Ia tidak harus dipersia-siakan dengan diberi kepada orang yang tidak berhak dan pastikan juga cinta itu tidak dicemari kerakusan nafsu.

Ada beza antara cinta dan nafsu. Bukti ketulusan cinta langsung tiada kena-mengena dengan seks atau maksiat. Berfikirlah secara waras, mana lebih penting, patuh pada kehendak teman lelaki atau Allah? Bagaimanapun, alhamdulillah banyak juga kebaikan yang saudari ceritakan mengenai teman lelaki. Ini membuktikan dia lelaki baik, cuma daripada segi agama, dia agak culas mungkin tidak mendapat didikan agama sempurna sejak kecil.

Kalau saudari sayangkannya, beri dia peluang untuk berubah menjadi lelaki lebih baik dan sempurna. Saudari mungkin belum nampak atau mengalaminya, tapi percayalah realiti dunia bercinta berbanding perkahwinan ibarat langit dan bumi.

Justeru, beri masa kepada saudari untuk memilih calon terbaik sebagai suami kerana saudari masih muda dan mempunyai masa depan cerah.

Kata orang, berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Mungkin satu hari nanti, dalam seribu kawan itu, ada seorang lelaki yang lebih baik berbanding kekasih saudari sekarang.

Alangkah bagus kalau bakal suami saudari kelak adalah lelaki beragama, berkerjaya dan berpenampilan menarik dan tampan. Itu satu bonus kepada saudari yang sentiasa menjaga kesucian agama.

Sebagai siswi dan terpelajar, nasihat Dang Setia kepada saudari cukup mudah — biar diri menguasai keadaan dan bukannya keadaan menguasai diri.

1 Comments:

piewahid said...

salam,
kadang2 slalu tfikir, kenapalah lemahnya ank2 pompuan kita dlm mencari cinta. rela dimanipulasi, dipergunakan, diperbodoh2kan oleh bangla, penagih, mat lombok, mat rempit, african dsbnya. berkali-kali pulak tu. ntahla...

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .