Bakal mahasiswa rosak pendengaran
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Entry ini saya petik daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr Sapora Sipon.
Ia dimuatnaik di sini sebagai kemudahan untuk membuat rujukan dan renungan bersama. Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro .
Sedikit pandangan saya kepada Tertekan;
Syabas dan tahniah kepada tertekan di atas kejayaan menempatkan diri sebagai calon mahasiswa di emnara gading. Bukan senang tu, nak dapat ruang dan peluang seperti itu. InshaAllah, ada kemudahan di sebalik kesulitan yang Tertekan lalui. Teruskan langkah anda.
Kementerian Pengajian Tinggi sendiri ada menyediakan Bantuan Kewangan kepada Pelajar OKU Di IPT. Boleh tengok post Cikgukaunseling.com sebelum ni, http://www.cikgukaunseling.com/2012/06/cara-mohon-bantuan-kewangan-oku-di-ipt.html
Yang penting, 'tertekan' mestilah daftarkan diri dahulu sebagai Orang Kelainan Upaya, ya.
Antara prosedur nak daftar diri sebagai OKU Di JKM ialah dpaatkan borang terbaru dari JKM, Kalau nak dowload di internet pastikan borang format terbaru sebab saya dulu hantar guna borang yang di dowload di internet yang guna format lama. Jadi, kena buat permohonan baru.
Lepas dah dapat borang terbaru, masa pergi temujanji dengan doktor pakar kerajaan, sila berikan borang berkenaan kepada doktor yang merawat kita. inshaAllah doktor kita akan mudah membantu mengisikan borang berkenaan.Dengan syarat emmang betul individu itu ada ciri-ciri sebagai Orang Kurang/ kelainan Upaya.
Baiklah. Kita ikuti pandangan Dr Sapora Sipon dalam membantu klien beliau:
Bakal mahasiswa rosak pendengaran
SAYA remaja berusia 20 tahun dan mempunyai masalah pendengaran serta lambat menangkap apa yang ingin disampaikan, apatah lagi jika seseorang itu bercakap perlahan dan berada di belakang saya.Untuk maklumat Dr, sejak kecil saya tidak dapat mengenal huruf apalagi membaca, sedangkan teman-teman seangkatan sudah mengenal huruf.
Namun berkat tunjuk ajar ayah dan guru, saya mampu membaca dengan lebih
lancar.
Apa yang membimbangkan ialah bagaimana saya ingin belajar di universiti dengan masalah seperti ini. Saya bakal mahasiswa namun masalah ini menjadikan saya sangat tertekan dan tiada rasa untuk melanjutkan pengajian.
Bantulah saya kerana masalah ini menyebabkan saya terlintas mahu membunuh diri.
Saya berasa sangat rendah diri.
TERTEKAN,
Kuala Lumpur
SESUNGGUHNYA Dr amat bangga dengan adik kerana dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading walaupun menghadapi masalah pembelajaran dan pendengaran.
Semangat dan kegigihan hebat adik ini wajar menjadi contoh dan teladan.
Syabas dan semoga adik berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Dr juga ucapkan terima kasih kepada ayah dan guru adik yang begitu banyak membimbing sehingga adik berjaya menjadi bakal mahasiswa.
Adler, seorang ahli psikologi menjelaskan perasaan rendah diri individu berlaku kerana kekurangan sama ada dari sudut psikologi, sosial atau fizikal. Perasaan rendah diri ini juga satu yang berterusan dan akan cuba diatasi.
Katanya, individu tidak perlu menganggap perasaan rendah diri itu sebagai satu kelemahan atau kekurangan malah perasaan rendah diri ini membawa kepada perkembangan diri.
Dari apa yang dijelaskan, adik mempunyai masalah pendengaran dan pembelajaran.
Individu yang menghadapi masalah pendengaran sememangnya menunjukkan kelainan dalam beberapa aspek. Antaranya kurang memberi perhatian, sukar mengikut arahan dan kurang membabitkan diri dengan aktiviti perbincangan. (Safani Bari, 2006).
Dari sudut perkembangan moral dan sahsiah kanak-kanak masalah pendengaran, ia banyak bergantung kepada kemahiran seseorang untuk bersosial. Kemahiran bersosial banyak bergantung kepada keupayaan seseorang itu untuk berkomunikasi.
Komunikasi yang paling berkesan ialah melalui kemahiran berbahasa.
Mengenai masalah pendengaran, adik boleh mendapatkan bantuan dari pertubuhan atau badan bukan kerajaan untuk golongan bermasalah pendengaran. Antara pertubuhan yang boleh adik hubungi ialah Persekutuan orang Pekak Malaysia (MFD).
Kementerian Kesihatan berperanan menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak bermasalah pendengaran seperti perkhidmatan penilaian awal, pemulihan pertuturan, pemulihan pendengaran, rawatan susulan dan rawatan psikologi (Safani Bari, 2006).
Adik boleh menghubungi hospital berhampiran untuk bertanya lebih lanjut mengenai perkara ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan bantuan dan perkhidmatan tertentu kepada golongan bermasalah pendengaran.
Kementerian lain yang menyediakan bimbingan dan bantuan kepada golongan kelainan upaya ialah Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sumber dan Tenaga Manusia.
0 Comments:
Post a Comment