Impak Cuaca Panas
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini disalin daripada sumber asalnya di akhbar Kosmo.
Impak cuaca panas
FENOMENA cuaca panas melampau dengan suhu sehingga 38.1 darjah Celcius yang melanda negara turut dialami oleh beberapa buah negara Asia seperti Indonesia dan Filipina. Tidak terkecuali Australia.
Namun apa yang dialami oleh penduduk negara ini mungkin tidak seburuk di Afrika Tenggara, India dan Brazil utara yang terpaksa berhadapan dengan cuaca lebih panas dan kering. Suhu normal di Malaysia ialah 32 darjah Celcius.
Meskipun fenomena itu jarang berlaku, namun kesannya cukup dirasai oleh sebahagian besar penduduk di negara ini. Kepada mereka yang banyak menghabiskan sebahagian besar waktu bekerja di luar, cuaca panas mengakibatkan rasa tidak selesa. Di sesetengah kawasan, cuaca panas mengakibatkan kebakaran hutan dan tanah kering mengakibatkan tanaman mati.
Persoalannya, apakah punca berlakunya cuaca panas yang melampau itu? Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr. Yap Kok Seng, kedudukan matahari yang hampir tegak di kawasan khatulistiwa dan liputan awan yang berkurangan antara faktor penyumbang keadaan tersebut.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan fenomena El-Nino sederhana yang berlaku di Lautan Pasifik Tengah.
"Cuaca panas dan kering ini bermula pada bulan Februari hingga pertengahan Mac 2010 di negeri-negeri di utara Semenanjung, Sabah dan utara Sarawak," katanya.
El-Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku setiap tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran luar pantai Peru. Ia menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia.
Kesannya turut dirasai di banyak negara termasuk di Asia Tenggara.
El-Nino pernah melanda negara sebanyak 12 kali di antara tahun 1951 hingga tahun 1998. Kejadian El-Nino yang terburuk berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1982 hingga tahun 1983, 1997 dan 1998.
Tahun 1998 merupakan tahun yang merekodkan suhu tertinggi dengan 50 peratus daripada rekod suhu tertinggi dicatatkan. Krisis bekalan air di Lembah Kelang dan masalah jerebu menjadi isu besar.
Pada tahun yang sama, beberapa buah negara-negara di Asia iaitu Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand turut merasai impak yang sama. Cuaca panas juga meningkatkan kes penyakit seperti taun, demam denggi dan malaria.
Walaubagaimanapun katanya, hujan mula turun bermula minggu ketiga bulan Mac lalu bagi mengurangkan sedikit impak cuaca panas dan kering yang berlaku.
Penurunan paras air
Fenomena cuaca panas dan kering kata Kok Seng dijangka berterusan sehingga Mei 2010. Begitu juga di Sabah. Bahagian pedalaman, pantai barat dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka menerima hujan di antara 20 peratus hingga 40 peratus kurang daripada paras purata. Bahagian-bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras normal.
Menurut Kok Seng, seluruh negeri Sarawak dijangka kembali menerima hujan pada paras purata untuk sepanjang April hingga Jun 2010.
"Suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis sepanjang musim panas ialah 38.1 darjah Celsius pada 9 Mac 2010 berbanding 40.1 darjah Celsius di tempat yang sama pada tahun 1998.
"Kesan kehadiran El-Nino yang sederhana kuat ini, taburan hujan di Sabah dan negeri-negeri di utara Semenanjung berada di bawah paras purata bagi bulan Februari sehingga pertengahan Mac 2010.
El-Nino bukan sahaja memberi kesan kepada manusia bahkan ia mengakibatkan penurunan paras air di beberapa buah kawasan tadahan air di negeri ini.
Sementara itu, beberapa kawasan di Malaysia turut mengalami musim kemarau dan paras air di empangan dan sungai yang surut.
Beberapa kawasan di utara Semenanjung seperti Perlis dan utara Kedah serta kebanyakan bahagian di Sabah mencatat Indeks Penilaian Kebakaran yang tinggi. Hutan di kawasan ini mudah terbakar dan jika berlaku kebakaran ia mudah merebak dan sukar dikawal.
Adakah fenomena yang berlaku mempunyai hubung kait dengan pemanasan global? "Pemanasan global juga dikaitkan dengan kemarau, kekerapan ribut petir, peningkatan intensiti taufan, peningkatan paras laut, pengurangan lapisan ais dan sebagainya," kata Kok Seng.
Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Morni Mamat memberitahu, kebanyakan kebakaran hutan disebabkan perbuatan manusia untuk tujuan pertanian atau jahat.
Menurutnya, kebakaran hutan di Malaysia biasanya melibatkan kawasan tanah peroi atau tanah gambut. "Ia jarang melibatkan hutan, kecuali kejadian jerebu pada tahun 1998 di negeri Sabah dan Sarawak.
"Kawasan yang sering terlibat dalam kebakaran adalah Bestari Jaya (Batang Berjuntai), Raja Muda Musa, Sijangkang, Johan Setia Klang, Paya Wetland, Dengkil dan Ladang Sawit Banting di negeri Selangor serta Sungai Tujuh di Miri, Sarawak," katanya.
Dalam keadaan cuaca panas melampau, pihak bomba sentiasa bersiap sedia untuk menggerakkan pegawai dan anggota dalam tempoh 24 jam.
Pengurusan Jabatan Bomba dan Penyelamat di negeri-negeri membuat persediaan berjaga-jaga dengan memantau kawasan-kawasan yang kerap berlaku kebakaran di kawasan tanah gambut.
Antara kaedah yang dijalankan dengan membuat rondaan dan mengenal pasti punca air yang berhampiran bagi memastikan semua operasi pemadaman berjaya.
Selain itu, pihak bomba juga akan mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran terbuka.
Adakah cuti anggota bomba dibekukan apabila cuaca panas melanda negara? Morni memberitahu, cuti rehat anggota tidak akan dibekukan kecuali berlaku kejadian bencana seperti kebakaran hutan, banjir dan sebagainya.
Bagaimanapun, bagi anggota yang dibenarkan bercuti, mereka boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa sekiranya khidmat mereka diperlukan.
Seperti anggota pasukan keselamatan yang lain, pegawai di jabatan itu juga perlu meninggalkan alamat dan nombor telefon yang boleh dihubungi di balai bomba berhampiran jika keadaan mendesak mereka apabila dipanggil bertugas.
"Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang itu kerap berpeluh. Kesannya cecair dalam tubuh akan berkurangan sekali gus menyebabkan individu terbabit cepat rasa letih dan kurang bertenaga," kata Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lailanor Ibrahim.
Tambahnya, cuaca panas juga boleh menyebabkan gangguan emosi kepada sesetengah orang akibat rasa tidak selesa dengan persekitaran atau terdedah dengan cuaca panas.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air, kurangkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan pakailah topi atau payung.
"Makan banyak buah-buahan yang mengandungi banyak air, pakai pakaian yang cerah kerana pakaian berwarna gelap menyerap haba," ujarnya.
Bagaimanapun kata Lailanor, suhu di negara kita tidaklah sepanas negara-negara di Asia Barat hingga seseorang itu boleh mengalami strok haba (heat stroke).
0 Comments:
Post a Comment