Sedih bayi dibuang di lubang tandas akhirnya selamat
Bayi dibuang dalam lubang tandas selamat
Bomba China guna gergaji, pelayar keluarkan budak tersekat dalam paip kumbahan
Beijing: Seorang bayi lelaki baru lahir, dipercayai dibuang ibu bapanya ke dalam lubang tandas, ditemui masih hidup dan berjaya diselamatkan anggota bomba di timur China, selepas tersangkut di saluran paip kumbahan 28/5/2013 lalu.
Polis menyifatkan kes itu sebagai cubaan membunuh dan sedang memburu ibu bapa bayi malang itu. Penduduk China turut meluahkan kemarahan berikutan kejadian itu di media sosial.
Stesen televisyen China CCTV melaporkan, bayi itu ditemui di saluran paip kumbahan di kawasan perumahan di Jinhua, wilayah pesisir pantai Zhejiang.
Dengar tangisan
“Bayi berusia dua hari itu ditemui, selepas penduduk melaporkan mereka mendengar bunyi tangisan,” lapor stesen televisyen itu.
Selepas mengesan kedudukan bayi anggota bomba memotong saluran paip yang mempunyai ukur lilit 10 sentimeter menggunakan playar dan gergaji dengan berhati-hati.
Saluran paip yang sudah dipotong dengan bayi di dalamnya itu kemudian dibawa ke hospital selepas cubaan mereka untuk menariknya keluar tidak berjaya.
Ia kemudian diserahkan kepada doktor yang mengambil masa kira-kira sejam memotong saluran itu sedikit demi sedikit hingga berjaya mengeluarkan bayi seberat 2.3 kilogram dengan uri masih terlekat pada tubuhnya.
Akhbar milik kerajaan Zhejiang News melaporkan, keadaan bayi itu yang diberi nama Bayi No 59, berdasarkan nombor inkubatornya, kini stabil dan selamat.
Rakaman video kerja menyelamat itu turut disiarkan di seluruh negara.
Berita penemuan bayi itu mencetuskan ratusan ribu ulasan di laman web Weibo yang hampir sama dengan Twitter. Sebilangan besar mengucapkan syabas dengan kejayaan menyelamatkan bayi berkenaan dan melahirkan kemarahan dengan kekejaman ibu bapanya.
“Saya tidak dapat menerima dan memaafkan perbuatan membuang bayi dengan uri masih terlekat di tubuh ke dalam lubang tandas.
“Bolehkah mereka dipanggil manusia? Mereka lebih kejam daripada haiwan,” kata seorang pengirim yang menamakan dirinya Jiding Jiajia.
Saksi rakaman menyelamat
Seorang lagi pelayar internet, If-Free, berkata beliau begitu sebak ketika menyaksikan rakaman usaha menyelamat bayi itu.
“Melihat bayi itu mengerang dan menangis ketika saluran paip itu dibuka amat menyentuh perasaan saya. Anda terpaksa melalui saat paling getir di dalam hidup dan saya yakin masa depan anda akan cerah,” katanya.
Laporan mengenai bayi yang dibuang sejurus dilahirkan semakin meningkat di China dan ini sebahagian besarnya berpunca daripada dasar satu keluarga satu anak yang diamalkan dengan ketat di negara itu.
REUTERS/AGENSI
Berita Harian 2013/05/29
0 Comments:
Post a Comment