Wanita 114 Tahun Dedah Rahsia Kekal Sihat
Rahsia wanita tertua Padang Terap
KUALA NERANG - Mengamalkan makan ulam serta selalu melakukan kerja sejak
muda adalah rahsia seorang warga emas yang kini umurnya mencecah 114
tahun kekal sihat.
Bagi Sara Mihat dari Kampung Baru dekat sini, ulaman merupakan makanan
tradisi dan sejak itu ulaman merupakan hidangan utama kepada dia dan
keluarganya setiap kali menjamu selera.
Menurutnya, ini adalah disebabkan pada masa itu selain jarak yang jauh
untuk ke pekan, keluarganya tidak mampu membeli ikan dan ayam yang
harganya agak mahal.
Kini Sara atau lebih dikenali dengan nama Tok Sara dalam kalangan
penduduk Kampung Baru dikatakan masih sihat dan tidak mempunyai sebarang
penyakit malah dia juga tidak pernah mendapat rawatan di hospital
dengan usianya itu.
Bagaimanapun dengan usianya yang sudah melebihi 100 tahun, dia turut
menghadapi masalah pendengaran hingga menyebabkannya terpaksa dibantu
anaknya, Rahmah Awang yang tinggal bersamanya.
Rahmah berkata, ibunya itu dilahirkan di Kampung Lubuk Perung, Kuala
Nerang dari keluarga petani dan ketika berumur 15 tahun, ibunya
berkahwin dengan seorang pemuda dari Pekan Kuala Nerang.
Katanya, ibunya mula membuat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran
Negara, Kuala Nerang selepas berkahwin dengan bapa tirinya itu dan hasil
perkahwinan itu, ibunya mendapat dua anak tetapi seorang daripadanya
meninggal dunia.
“Selepas itu emak berkahwin pula dengan bapa saya, Awang Tasu dan
mendapat dua anak iaitu saya dan kakak, Siti Hajar tetapi tidak lama
kemudian bapa pula meninggal dunia.
"Sejak dari itu emak saya terpaksa bekerja keras melakukan pelbagai
kerja seperti bersawah dan berniaga untuk membesarkan kami,” katanya
kepada Sinar Harian.
Rahmah berkata, pada waktu pagi, emaknya akan keluar ke pasar dengan
menjual ulam yang ada sekitar rumahnya dan waktu petang pula akan pergi
ke bendang untuk menanam atau membersihkan sawah.
Menurutnya, amalan ini sudah menjadi darah dagingnya dan sebab itulah
sehingga sekarang pada waktu pagi, dia akan keluar berjalan kira-kira
100 meter dengan bertongkat bagi melawat anak cucunya yang tinggal di
sekitar kampung ini.
Selain dari itu, Tok Sara juga dikatakan sangat mementingkan tentang
makanan yang diambilnya. Sejak muda lagi setiap kali makan, dia akan
memastikan pucuk-pucuk kayu akan menjadi hidangannya. Antara ulaman yang
menjadi kegemarannya ialah pegaga, cemamar, putat, petai, beka dan
rebung.
"Emak saya tidak suka mengambil makanan pedas dan jika tiada selera,
mak boleh makan nasi berlaukkan pisang dan janggus yang masak sahaja.
Selain dari itu, mak akan makan nasi hanya dua kali sehari sahaja iaitu
waktu tengah hari dan petang tanpa mengambil nasi tambah.
"Pada waktu malamnya pula, mak hanya makan sekeping roti dan air gula
saja serta tidak minum teh ataupun kopi. Kini dengan usianya semakin
tua, seleranya turut bertukar dan emak saya hanya makan ayam rebus yang
dicampurkan halia dan serai sahaja,” katanya.
Selain itu, amalannya melakukan solat sunat setiap hari membolehkannya
mampu mengingat cerita-cerita lama malah tidak pernah tersilap bilangan
waktu setiap kali melakukan sembahyang setiap hari.
Tok Sara tidak mempunyai harta yang boleh dibanggakannya tetapi kini
dengan umurnya yang sudah mencecah 114 tahun, dia mempunyai enam suami,
27 cucu, 32 cicit dan dua piut.
Walaupun hidupnya sederhana tetapi dia mampu berbangga dengan ‘harta’
anak cucu yang dianugerahkan ALLAH SWT kepadanya selama ini.
Sumber; Sinar Harian
Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini
Disclaimer
(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .
0 Comments:
Post a Comment