Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

UTM Sasar Pendidikan Percuma

UTM bakal biayai kos pengajian

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini dimuatnaik di blog ini sebagai sumber inspirasi kepada para pelajar yang berada di Tingkatan 6 Atas dan Matrikulasi agar belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

" Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pada tahun ini UTM berjaya mengumpul RM40 juta yang mampu membiaya biasiswa kepada 150 pelajar memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) 3.75 ke atas dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi Sains."

PUTRAJAYA: Menjelang 2020, semua pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menikmati pendidikan percuma menerusi pemberian biasiswa Tabung Endowmen UTM yang mula ditubuhkan dua tahun lalu.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata, sejak ditubuhkan pada 2010, tabung berkenaan sudah mempunyai dana berjumlah RM40 juta dan menjelang 2020, ia dianggarkan berjumlah RM500 juta.

“Kita menjangkakan 8,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada dana diperoleh hasil kutipan daripada kakitangan UTM menerusi pemotongan gaji, alumni atau duit yang diraih daripada program anjuran pelajar.

“Tahun ini kita memberikan kepada 150 pelajar dengan sejumlah RM48,000 setiap seorang untuk membiayai pengajian mereka sepanjang di universiti. Tahun lalu, seramai 100 pelajar sudah mendapat manfaat daripada tabung ini,” katanya kepada media selepas program Impianku ke Menara Gading di kementerian di sini, semalam.


Dr Zaini berkata, biasiswa itu diberikan kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas.


Katanya, mereka yang mendapat biasiswa itu tidak terikat dengan sebarang perjanjian dengan UTM dan bebas memilih pekerjaan selepas menamatkan pengajian masing-masing.

“Namun, pelajar kena ingat, ini adalah sumbangan daripada orang ramai, jadi mereka mesti menggunakannya sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima biasiswa berkenaan, Rabiatul Adawiyah Rohaidy, 19, dari Sepang, Selangor, berkata, dia berazam untuk memanfaatkan bantuan diperoleh sebaik mungkin dengan belajar bersungguh-sungguh, seterusnya berbakti kepada masyarakat selepas menamatkan pengajian kelak.
Dia yang bakal mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di peringkat ijazah sarjana muda di UTM mulai 2 September depan berjanji menggunakan bantuan diterimanya itu sebaik mungkin.

“Saya faham ini duit awam, jadi saya tidak boleh mensia-siakannya begitu saja. Tidak semua yang bertuah menerima bantuan seperti ini, malah ia juga dapat meringankan bebanan keluarga.

“Untuk itu, saya akan berusaha supaya dapat mengekalkan keputusan mendapat PNGK 4.0 setiap semester sepanjang empat tahun pengajian di universiti kelak, seperti yang saya peroleh ketika di matrikulasi sebelum ini,” katanya.


Sumber; Harian Metro, Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18



0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .