Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pakar arkeologi berkumpul di Miri, Oktober 2010 lalu

Pakar arkeologi berkumpul di Miri, Oktober 2010 lalu

Tapak arkeologi megalit yang ditemui di kawasan perkampungan Kelabit di Bario, berhampiran sempadan Kalimantan, Utara Miri Sarawak


MIRI 5 Nov. - Bumi Kenyalang diberi penghormatan apabila julung-julung kalinya menjadi tuan rumah kepada penganjuran Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo (SAAB) pada 27 hingga 31 Oktober lalu.
Berlangsung di bandar raya ini, ia dianjurkan bersama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak, Muzium Sarawak dan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Dengan tema The Past, Present And Future Respect, sebanyak 30 kertas kerja dibentangkan meliputi semua aspek prasejarah, tapak arkeologi dan pemuliharaan tapak arkeologi di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Semenanjung selain Kalimantan, Brunei, Australia dan Filipina.

Sepanjang lima hari, perbincangan banyak menyentuh penemuan terbaru tapak warisan arkeologi di Borneo dan Asia Tenggara yang mana maklumat itu digunakan ahli arkeologi untuk melihat persamaan dan perbezaan yang dapat dikaitkan dengan teori terkini atau menghasilkan teori baru.

Dalam hal ini, pemilihan Miri untuk mengadakan lokasi perkampungan SAAB amat bertepatan kerana kedudukannya yang begitu strategik dan berdekatan dengan dua tapak sejarah yang amat penting iaitu Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) dan Taman Negara Niah (TNN).

TNGM yang terletak di utara Miri - kira-kira 25 minit menggunakan pesawat, merupakan salah satu lokasi pelancongan yang mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.



Manakala TNN, yang terletak kira-kira 125 kilometer dari Miri pula merupakan antara tapak penemuan manusia yang terawal di Selatan Asia berusia 42,000 tahun.

Gua Niah merupakan kawasan yang amat kaya dengan kesan sejarah yang bukan sahaja penting kepada sejarah Borneo malahan terhadap tamadun manusia sejagat.

Muzium Sarawak yang ditubuhkan pada 1886 merupakan muzium yang paling tua di kepulauan Borneo dan kedua tertua di negara selepas Muzium Taiping di Perak.

Oleh kerana ketiadaan kakitangan profesional dalam kajian arkeologi, cari gali pertama hanya dilakukan dalam 1948. Hasil cari gali memberikan pulangan yang besar dan mengkagumkan.
Semenjak itu, kerja-kerja cari gali intensif telah dijalankan lebih daripada 50 tapak di seluruh Sarawak.
''Hasil daripada cari gali tersebut telah membongkar misteri sejarah, kekayaan seni dan warisan penduduk tempatan di negeri ini. Pelbagai artifak prasejarah telah dijumpai," kata Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan.

Beliau turut menyampaikan kertas kerja bertajuk Tinjauan dan Penggalian Arkeologi di Gua Kain Hitam, Niah, Sarawak dan Penyelidikan Megalit atau batu besar di perkampungan Kelabit.

Selain Gua Niah, tapak arkeologi utama Sarawak ialah Bukit Maras di Santubong; Sungai Ja'ong dan Bongkissam di Lembah Sungai Sarawak; Gua Bungoh (Bau); Sekaloh (Niah); Gua Song (Tatau); Long Semadoh (Lawas) dan Batu Malong-along (Limbang).

''Dengan saiz Sarawak yang begitu besar, sebenarnya kita percaya masih ada tapak sejarah yang belum diterokai dan dikaji sepenuhnya," ujar Ipoi.

Cabaran utama, ujar Ipoi ialah kekurangan peruntukan; ahli arkeologi; kurator dan kakitangan mahir untuk melaksanakan penyelidikan dan kajian di tapak.

Dengan menggunakan kepakaran seorang ahli arkeologi dan penolong kurator, tugas untuk melakukan penyelidikan di kira-kira 50 tapak sejarah bukan perkara yang senang.

''Namun, ini tidak mematahkan semangat Muzium Sarawak untuk melakukan penyelidikan yang terbaik. Kita sedar banyak lagi hasil kajian perlu diterbitkan untuk rujukan masa depan," jelas Ipoi

Beliau berkata, sehubungan itu Muzium Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara; Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak; Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM).


Isu yang turut menarik perhatian sepanjang SAAB adalah berhubung cadangan Sarawak untuk membawa pulang sebahagian daripada rangka manusia yang ditemui di Gua Niah yang kini berada di Universiti Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Perkara ini dibangkitkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mahu rangka manusia itu dibawa ke sini bagi membolehkan pakar arkeologi tempatan meneruskan kajian dan penyelidikan.
Terdapat lebih 200 rangka manusia purba ditemui di pintu barat Gua Niah antara 1957 dan 1967 dan daripada jumlah itu, 122 dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada untuk dijadikan bahan penyelidikan oleh pakar arkeologi Richard dan Sheilagh Brooks.

Walaupun mereka sudah menyediakan beberapa laporan mengenai penemuan rangka manusia itu, sehingga kini tiada satu pun diterbitkan.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Warisan Negara, Profesor Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid pada 2004 berjaya menjejaki Brooks, namun beliau sudah uzur dan tidak berupaya meneruskan penyelidikan itu.
Usaha membawa pulang rangka manusia itu tidak mustahil kerana sebelum ini, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM pada 2008 berjaya membawa pulang rangka manusia purba di Gua Cha, Kelantan dari Universiti Cambrigde, United Kingdom.

Bagaimanapun, Muzium Sarawak diminta menyediakan bilik kurator khas yang memenuhi standard pemeliharaan dan pengawetan yang ditetapkan.

Lokasi yang dicadangkan ialah bahagian sayap kiri di Muzium Petroleum Sains Miri.

Projek membawa pulang rangka manusia purba itu dianggarkan menelan kos sebanyak RM1.5 juta termasuk perbelanjaan menjejaki rangka,penerbangan ke Las Vegas serta pembinaan bilik khas kurator.

''Rangka manusia purba ini merupakan warisan yang tidak ternilai untuk Malaysia khasnya Sarawak. Justeru, ia perlu dibawa pulang untuk memudahkan pakar arkeologi kita menyelidik dan menganalisis penemuan itu," kata Abdul Taib.

Kajian Projek Gua Niah oleh pakar arkeologi dari Universiti Cambridge mengesahkan penemuan tengkorak manusia berusia 42,000 tahun, antara yang tertua di Asia Tenggara.

Abdul Taib mencadangkan Kementerian Pelancongan dan Warisan dan Jabatan Muzium Sarawak bergembleng tenaga untuk membolehkan Gua Niah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia seperti TNGM.

SUMBER; UTUSAN MALAYSIA, KLIK SINI.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .