Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

SEJARAH KESULTANAN PAHANG DARI DINASTI BENDAHARA

SEJARAH KESULTANAN PAHANG DARI DINASTI BENDAHARA


 Bendahara Wan Ahmad Ibni Bendahara Wan Ali

Pemerintahan Bendahara di Negeri Pahang bermula dengan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan berakhir apabila Bendahara Tun (Wan) Ahmad ibni Almarhum Bendahara Wan Ali diisytihar sebagai Sultan.

Keturunan Bendahara berjaya menjadi Sultan akhirnya adalah akibat daripada pepecahan semasa pemerintahan Bendahara Ali, di mana kerajaan Johor-Pahang mulai berpecah antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis serta kewujudan kuasa Inggeris-Belanda di Kepulauan Melayu. 

Justeru kerana itu, Bendahara Ali menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah pada tahun 1819 dan Temenggong pula berkuasa di Johor.


Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah ibni Almarhum Bendahara Wan Ali

Bendahara Tun (Wan) Ali yang menggantikan ayahandanya Marhum Koris dalam tahun 1806, telah mangkat dalam tahun 1857 di Kampung Lamir, Pahang Tua. Puteranya Tun Ahmad bersemayam di Pulau Maulana. Tidak berapa lama selepas itu berlakulah perbalahan antara Tun Ahmad dengan Tun Mutakhir, kekandanya. Perang itu dikenali sebagai 'Perang Saudara'. 

Tun Ahmad akhirnya berjaya menewaskan kekandanya apabila hulubalang-hulubalangnya di bawah pimpinan Panglima Kakap Bahaman telah menewaskan kubu Tun Mutakhir. Tun Ahmad diisytihar sebagai Bendahara dan berpindah dari Pulau Maulana ke Kuala Sungai Parit yang kini dikenali dengan nama Kampung Padang Polo. 

BACA SELANJUTNYA ARTIKEL INI...
 

Pada tahun 1881, jurutulis kepada Bendahara Ahmad, Encik Abdullah bin Hassan yang dikenali sebagai Encik Dollah Tulis dengan persetujuan Bendahara, telah meminda cap iaitu daripada 'Bendahara' kepada 'Sultan'. Atas sebab itu, pada 6 Ogos 1882, Tun Ahmad diisytihar sebagai Sultan Ahmad. Manakala pada 12 Disember 1884, Sultan Ahmad telah ditabalkan sebagai Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Dari tarikh itu juga anakanda-anakanda baginda dinaiktaraf kepada Tengku manakala isteri baginda, Cik Puan Bongsu kepada Tengku Ampuan.


Apabila Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat pada 9 Mei 1914, Yang Mulia Tengku Besar diisytiharkan sebagai Sultan. Baginda pula mangkat di Rumah Rehat Kuala Pahang pada malam Selasa 19 Jun 1917. Tempat baginda diganti oleh adinda baginda, Yang Mulia Tengku Abdullah yang kemudiannya ditabal dengan gelaran Al-Mu’tasim Billah Al-Sultan Abdullah.


Baginda Sultan Abdullah dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya ialah Yang Mulia Tengku Abu Bakar. Dalam tahun 1925, Tengku Abu Bakar dikahwinkan dengan Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Alang Iskandar Shah, Perak. Tidak berapa lama selepas perkahwinan Diraja itu dilangsungkan, Sultan Alang Iskandar Shah telah berunding dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Inggeris supaya Sultan Abu Bakar dilantik sebagai ‘ganti raja’ menggantikan keputusan yang diambil semasa Yang Mulia Tengku Mahmud diisytiharkan sebagai Tengku Besar .


Setelah beberapa lama, dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Sir Hugh Clifford, kerajaan Inggeris telah bersetuju supaya Putera Sulung Sultan yang memerintah dilantik sebagai Pengganti Raja, dengan gelaran Tengku Mahkota. Maka pada 10 Jun 1930, Yang Mulia Tengku Abu Bakar telah ditabal sebagai Tengku Mahkota Pahang yang pertama. Dengan usaha Pesuruhjaya Tinggi C. Clement, kerajaan Inggeris telah bersetuju agar putera Sultan yang kedua dilantik sebagai ‘Tengku Arif Bendahara’ dan putera ketiga sebagai ‘Tengku Arif Temenggong’.


Baginda Sultan Abdullah mangkat pada pukul 8.25 malam Rabu. 22 Jun 1932. Sebelum jenazah Almarhum meninggalkan Istana Kuning, Yang Teramat Mulia Tengku Abu Bakar telah diisytihar sebagai Sultan Pahang. Baginda ditabal dengan gelaran Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933.


Baginda Sultan Abu Bakar mangkat pada pukul 12.45 pagi, Ahad 5 Mei, 1974 setelah 42 tahun berada di atas takhta kerajaan negeri Pahang. Maka dengan itu, Yang Teramat Mulia Tengku Haji Ahmad Shah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 7hb Mei 1974 sehingga ke hari ini.

Sumber dan kredit 
http://akuanakpahang.blogspot.com/2011/07/sejarah-kesultanan-pahang-dari-dinasti.html

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .