Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Mari Bina Anggun dan Unggul Dalam Diri

Mari Bina Anggun dan Unggul Dalam Diri



Soalan

Masalah biasa bagi seorang wanita Dr., takut dengan hari muka. Sekuat manapun seorang wanita itu apabila usianya meningkat melebihi 30-an dia akan berasa takut. Macam-macam jenis takut. 

Apa akan jadi jika terus begini hingga tua. Kalau berharta pada siapa hendak diwasiatkan kalau ketika itu ibu ayah telah meninggal dunia. Macam-macam lagi.

Mereka yang mengatakan tidak pernah risau soal ini adalah berbohong. Sebagai insan biasa yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana Melayu, hal ini cukup menghantu. Balik kampung seolah-olah semua orang berbisik-bisik.

 Dalam majlis-majlis selalu jadi bahan usikan. Bohong kalau semuanya itu tidak meninggalkan bekas.

Saya ingin jadi unggul dan terus anggun. Bagaimanakah caranya Dr.? Saya tahu saya tidak akan mampu menghentikan semuanya itu. Bolehkah Dr. berikan sesuatu untuk saya fikirkan dan laksanakan?




 
Jawapan
Saya setuju dengan anda, kita tidak akan mampu menghentikan semua yang sedang berlegar di sekeliling kita, tetapi kita mampu menjadikan diri kita percaya bahawa semuanya itu sudah terhenti. Ini yang saya panggil unggul diri. Apabila seseorang itu telah mencapai tahap unggul, dia teguh untuk mendepani apa jua.
Unggul dan anggun adalah dua istilah yang patut ada pada setiap orang, lebih-lebih lagi wanita, sebab wanita lebih terdedah pada ‘mulut orang’. Kalau tidak kuat memang akan sakit hati. Sekadar sakit hati mungkin okey lagi tetapi kalau bertindak untuk memuaskan hati, bagaimana?
Dan ia lebih patut pada orang yang sedang digelut keadaan-keadaan tidak pasti. Unggul ibarat gunung yang tidak mudah runtuh biar bertahun dicangkul orang, anggun pula ibarat kipas tangan jaguh kungfu, ia lembut dan menyejukkan tetapi pada ketika-ketika tertentu boleh menjadi senjata mempertahankan diri.
Bagaimana hendak menjadi seperti itu?
  • Tebat dengan ilmu agama
Percaya atau tidak, orang yang benar-benar faham agama akan menjalani hidupnya dengan tenang dan lapang, biarpun orang melihat dia penuh sengsara, sebenarnya dia sedang menikmati indahnya alam, bersihnya udara dan cantiknya suasana.


Anda faham agama, anda akan jadi redha seredha-redhanya. Tiada lagi penawar selain kesenangan hati dan lapangnya fikiran.


Rasulullah saw bersabda, “Tidak ada amal yang lebih utama untuk beribadah kepada ALLAH seperti pengertian dalam agama…” Riwayat Atthabrani, Albaihaqi
  • Tebat dengan ilmu kemahiran hidup
Inilah yang anda pelajari sejak di sekolah hingga ke bangku universiti. Seorang yang berilmu biasanya akan mendapat kedudukan yang baik dan biasanya seseorang yang berkedudukan baik akan mendapat tanggungjawab yang besar. 

Dan dek tanggungjawab besar itulah dia tidak akan sempat untuk ambil kisah dengan semua yang remeh-temeh berlaku di sekelilingnya. Dia dengar sesuatu yang tidak enak tentang dirinya diperkatakan orang, tetapi dia selamba sebab banyak lagi kerja perlu dibereskan. Orang yang sibuk biasanya seorang yang cemerlang. 

Seorang yang cemerlang biasanya tidak kisah dengan cabaran. Setiap khabar-khabar tidak enak akhirnya tertepis dengan sendirinya oleh sibuknya dia mengendalikan hidup.
  • Tebat dengan ilmu bantu
Yang dikatakan ilmu bantu ialah sesuatu yang anda tidak pelajarinya di sekolah mahupun di pusat-pusat pengajian tinggi. 

Ia anda ketahui dan temui melalui bilah-bilah hidup yang dilalui. Ia datang dari manusia, dari haiwan, dari filem yang anda tonton, dari cakap-cakap orang yang anda dengar, dari novel dan majalah yang anda baca dan tidak terkecuali dari ceramah-ceramah yang anda hadiri.


Inilah ilmu kemahiran hidup yang sebenar. Ramai orang menangis tatkala sudah berada di puncak, sedangkan dia tidak pernah begitu sewaktu mendaki.


Ibn Abbas r.a. berkata, “Nabi Sulaiman a.s. diberi kesempatan untuk memilih antara harta, kerajaan dan ilmu, maka dia memilih ilmu, maka diberi kerajaan dan kekayaan. Kerana dia memilih ilmu, maka yang lainnya ikut kepadanya.” 
 Riwayat Ibn Asakir dan Addailami


Bukan itu menunjukkan ilmu bantu adalah teras unggul dan anggun?

Sekarang tanya diri anda, apakah anda telah memiliki ketiga-tiganya? Kalau pun belum apakah anda sedang berusaha untuk mendapat ketiga-tiganya?


Tidak perlu takut pada hari muka atau usia yang kian meningkat tetapi takutlah kalau kehidupan yang telah dijalani selama ini tidak membawa pada kefahaman iman. 

Biar bagaimana ribut yang bertiup, sebatang pokok dengan akar tunjangnya jauh mencengkam tanah tidak akan tumbang. Dahan yang patah akan berganti dengan yang lebih rendang. Namun, hidup akan terus hidup selagi ALLAH mengizinkan.


Tebat dan perkukuhkan kekuatan emosi anda supaya semuanya dapat dilalui dengan selamba dan gembira.


SUMBER; MAJALAH NUR TULISAN
Bersama: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj




0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .