Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Apa Itu Sindrom PMS remaja perempuan

Apa Itu Sindrom PMS remaja perempuan



Artikel ini dipetik dari Utusan Malaysia untuk kemudahan Dunia Cikgu Kaunseling membuat rujukan. Ini memandangkan, ada sesetengah pelajar menghadapi masalah sindrom ini.
Artikel ini sangat berfaedah kepada Dunia Cikgu Kaunseling dalam memberi bantuan awal kepada pelajar berkenaan. Sekian, terima kasih.

Apa Itu Sindrom PMS remaja perempuan



Soalan 

SAYA berusia 20 tahun, pelajar tahun satu jurusan Sains Kesihatan dan masih bujang. Sejak tahun lalu, saya mengalami sindrom pramenstruasi yang agak teruk, rasa mual dan muntah serta senggugut bermula tiga hari sebelum haid.

Pada bulan ini, saya juga mengalami simptom yang sama tetapi saya kerap berasa sedih, keseorangan, tidak dihargai dan kerap menangis kerana sedih melampau. Biasanya saya mengalami emosi sebegini selama seminggu sebelum haid. 

Saya pernah merujuk kepada doktor dan saya hanya diberikan ubat tahan muntah. Doktor juga mengatakan ia hanya perasaan biasa, tiada apa yang serius. Namun saya berasa sangat tertekan dengan keadaan ini. 

Simptom yang saya alami ini sangat mengganggu pelajaran, malah adakalanya saya tidak mampu berhadapan dengan orang. Adakah saya harus bertemu dengan pakar?
* Inna.

Jawapan

Bagi sebahagian besar wanita, sindrom pramenstruasi (PMS) sering menjadi mimpi buruk kerana biasanya sindrom ini membuat suasana hati menjadi tidak menentu.Wanita menjadi lebih sensitif jika sedang mengalami PMS. Masalah kecil dan biasa dianggap besar. Kesalahan kecil yang dilakukan orang lain di hadapannya biasa membuatnya menggerutu seharian. 



Sebenarnya tidak semua wanita mengalami simptom ini. Begitu juga bagi mereka yang mengalami PMS, jenis atau bilangan simptom serta tahap keseriusan berbeza. Kebanyakan gadis remaja atau wanita akan mengalami perubahan sikap dan tubuh badan beberapa hari sebelum didatangi haid. Keadaan ini terjadi kira-kira dua minggu sebelum bermulanya haid.


Wanita yang sedang PMS akan mengalami perkara-perkara di bawah beberapa hari sebelum didatangi haid dan simptom tersebut akan hilang setelah haid datang. Perkara-perkara tersebut adalah perubahan emosi. 

 Seseorang mungkin menjadi pemarah dari biasa dan kadang-kala perkara remeh temeh juga membuatkan wanita tersebut menangis. Pada masa ini pengidap memerlukan masa untuk bersendirian. 

Ada juga yang berasa ketidakselesaan seperti merasa diri gemuk, hodoh dan perut berasa kembung beberapa hari sebelum haid. Pada masa ini juga ada yang berasa kesakitan pada otot dan juga payudara menjadi lebih sensitif terhadap sebarang sentuhan. 

Ada pula yang merasa mengidam beberapa makanan dan tidak menghiraukan makanan lain. Kemungkinan juga ada yang mengingini makanan yang manis dan masam. Tahap konsentrasi seseorang pengidap menjadi lemah dan memerlukan masa yang lebih lama dari biasa untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah.

FaktorPMS disebabkan oleh pelbagai faktor. Salah satunya adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon. Peningkatan aras hormon estrogen dan penurunan aras hormon progesteron yang merupakan hormon utama wanita boleh menyebabkan PMS. Estrogen membuatkan tubuh manusia menyimpan lebih banyak cecair dan ini menjelaskan kenapa seseorang berasa kembung dan terasa berat beberapa hari sebelum haid.

Ia juga disebabkan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak. Wanita yang mengalami PMS mempunyai tahap serotonin yang rendah dan ini menyebabkan perubahan emosi dan seseorang mudah menjadi agak pemarah. Kekurangan vitamin juga boleh menyebabkan PMS. 

Sekiranya seseorang tidak mengambil makanan yang kaya dengan Vitamin A dan B seperti sayuran hijau dan kuning, boleh juga mengalami PMS. Vitamin ini menolong mengekalkan keseimbangan di dalam otak. Stres yang berlebihan, kurang tidur dan masalah emosi juga boleh menyebabkan PMS.


Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala PMS. Mula-mula ubah diet dengan memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Boleh juga mengamalkan pengambilan vitamin B tambahan sepanjang tempoh itu. Lakukan senaman seperti berjalan, berlari dan berenang secara kerap. Ajak kawan-kawan atau keluarga menemani anda. Ini akan menjadikan senaman lebih ceria dan menyeronokkan. 


Ada sesetngah wanita mengalami PMS yang teruk. Mereka akan merasa sangat sedih dan tertekan sepanjang tempoh ini. Perubahan emosi juga boleh mengeruhkan perhubungan antara suami isteri dan juga rakan-rakan. Lebih elok berjumpa doktor pakar jika anda merasa tidak selesa dengan PMS. Bergantung pada hasil diagnosis, ubat-ubatan mungkin diberikan oleh doktor. Bagaimanapun, waktu ini adalah tempoh yang sesuai untuk mendapatkan kepastian daripada doktor tentang sebarang keraguan dan kebimbangan anda. Sama-sama saya doakan moga masalah ini dapat di atasi.

Sumber; Utusan Malaysia

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .