Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

PELUANG KEDUA LEPASAN PMR PENERAJU UNTUK KERJAYA KEMAHIRAN VOKASIONAL

PELUANG KEDUA LEPASAN PMR PENERAJU UNTUK KERJAYA KEMAHIRAN VOKASIONAL

PENERAJU BUKA RUANG UNTUK BAKAT BESAR TAPI TERCICIR

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Ketika ini puluhan ribu pelajar lepasan
Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sedang
berdebar-debar menantikan surat tawaran ke Institusi pengajian Tinggi Awam
mahupun swasta. 

Bagi yang cemerlang keputusannya, tentulah tidak timbul sebarang kegusaran.
Namun, bagi yang cukup-cukup makan atau yang memang tidak bernasib baik
dalam bidang akademik, hasrat menyambung pelajaran mungkin dianggap sebagai
igauan semata-mata. 


Apatah lagi jika kemampuan kewangan keluarga agak terbatas. Bagaimana pula
jika ada yang seusia mereka benar-benar keciciran sekolah sejak tingkatan empat
lagi? 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata,
berdasarkan statistik yang diperolehnya, menunjukkan bahawa anak dalam
lingkungan umur 15-16 tahun yang menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan
lima adalah jauh lebih rendah daripada jumlah populasi umur itu. 


Daripada purata populasi 1.076 juta orang, hanya 832,000 sahaja yang
menyambung ke tingkatan empat dan lima. Bermakna lebih 244,000 orang tidak
menyambung ke tingkatan empat dan lima. 


"Kita pasti daripada jumlah 244,000 ini, ada yang menyambung pelajaran di
sekolah bukan kerajaan, akan tetapi kita juga pasti bahawa sebahagian besar
daripada jumlah ini adalah benar-benar tercicir dari sekolah," katanya. 


 
Beliau yang ditemui pada majlis Pelancaran Program Biasiswa Peneraju Tunas
Iltizam oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) baru-baru ini turut
melahirkan kebimbangan terhadap masa depan kelompok ini. 


"Kita sedar banyak faktor yang menyumbang kepada senario tersebut. Ada di
antara mereka mungkin kurang cemerlang dalam pelajaran tetapi mempunyai bakat
dalam bidang lain. 


"Mungkin juga mereka bijak dalam pelajaran tetapi disebabkan keadaan
keluarga yang hidup susah, mereka terpaksa berkorban," tambah Nor Mohamed. 


PENERAJU TUNAS ILTIZAM

Program Peneraju Tunas Iltizam YPPB disasarkan kepada para pelajar lepasan
menengah rendah yang kurang bernasib baik dalam pelajaran tetapi mempunyai
sikap, keyakinan diri dan daya saing yang tinggi untuk dibimbing. 


Program ini bertujuan membela masa depan pelajar lepasan menengah rendah
kurang cenderung dalam pencapaian akademik dan tidak berpeluang melanjutkan
pelajaran di sekolah vokasional dan teknik. 


Di bawah program itu mereka akan dilengkapi dengan kemahiran tertentu bagi
membolehkan mereka mempunyai kerjaya dan kehidupan yang lebih baik.
Mereka yang layak akan dilatih dan dibimbing bagi mendapatkan sijil-sijil
kemahiran dalam bidang berimpak tinggi, mendapat pekerjaan yang sesuai dan
menjadi seorang warganegara yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara. 


Program ini menyasarkan golongan bumiputera berumur 17 hingga 19 tahun
dengan kelayakan akademik minimum (boleh membaca dan menulis), bagi yang datangn daripada isirumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah serta mempunyai kemahiran komunikasi dan sikap yang baik. 


Melalui program ini, mereka akan menjalani latihan kemahiran khusus sehingga
berjaya mendapat sijil kemahiran yang diiktiraf dalam dan luar negara.
Pada masa yang sama, mereka akan didedahkan dan dibimbing dengan kemahiran
insaniah bertujuan untuk membentuk sikap dan personaliti mereka bersesuaian
dengan status mereka sebagai pekerja mahir dan warganegara bertanggungjawab. 


BIDANG BERPOTENSI DALAM INDUSTRI


Sebagai perintis, pihak YPPB mengenalpasti beberapa bidang kemahiran khusus
untuk ditawarkan di bawah program ini merangkumi ''Painting and Blasting
Specialist'' dan ''Scaffolders Erectors'' bagi industri minyak, gas, tenaga dan
marin, ''Cosmetologist'' untuk industri kecantikan, serta ''Telco Infra Specialist''
untuk industri telekomunikasi. 


Selepas mengikuti kursus teknikal selama tiga bulan, mereka berpeluang
menjalani latihan industri selama sembilan bulan di syarikat-syarikat terpilih.
Menurut Ketua Eksekutif YPPB Raja Azura Raja Mahayuddin, sebagai alumni
Peneraju Tunas Iltizam kelak, mereka juga akan dipantau dan diberi khidmat
bimbingan atau sokongan selama tiga tahun oleh para mentor yang dipilih oleh
YPBB. 


Ia bertujuan memastikan lepasan program ini dapat menyesuaikan diri dengan
pekerjaan mereka di samping membina kehidupan yang lebih baik.
Menurut Raja Azura, beliau optimis Peneraju Tunas Iltizam mampu mewujudkan
situasi yang saling memanfaatkan kepada peserta program mahupun majikan.
Di pihak peserta program, mereka mendapat peluang kerjaya yang lebih baik
bersesuaian dengan kemahiran manakala majikan akan mendapat manfaat setimpal
daripada segi penjimatan kos khususnya dalam penyediaan latihan serta proses
pengambilan pekerja kerana program ini menyalurkan sumber tenaga kerja mahir
secara berterusan dengan industri mereka. 


YAYASAN PENERAJU PENDIDIKAN BUMIPUTERA


YPPB adalah satu inisiatif di bawah Hala Tuju Ekonomi Bumiputera yang
dilancarkan oleh TERAJU di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri.
Tumpuannya adalah untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara
sejagat dan berterusan. 


Antara objektif yayasan ini termasuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan
keberkesanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha Kerajaan dalam
menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan
akademik dan vokasional. 

Tugas YPPB adalah untuk memastikan keupayaan dan kepakaran bakat-bakat
Bumiputera akan terus membangun untuk berdaya saing secara kompetitif di
peringkat global. 

Contohnya, pasukan penggerak YPPB masuk hingga ke kawasan pedalaman mencari
calon yang sesuai dan layak dibimbing.

Antaranya ialah seorang pelajar berketurunan Penan yang menjadi pelajar
Penan pertama di Universiti Malaysia Sarawak. 


Kejayaan itu membawa YPPB mencari lagi pelajar keturunan Penan yang kedua
mengikuti program berkenaan dan kini mengikuti pengajian di Melaka.
EMPAT TERAS UTAMA
Program di bawah YPPB terbahagi kepada empat Teras iaitu Peneraju Tunas,
Peneraju Skil, Peneraju Profesional dan Peneraju Pemimpin. 


Tahun lepas ia memperkenalkan lima program yang melibatkan hampir 500
peserta atau pemegang biasiswa yang kini meneruskan pengajian di MRSM dan
institusi-institusi pengajian tinggi bagi program Tunas Potensi & Geliga.
Manakala sebahagian peserta yang mengikuti program profesional akauntan dan
peneraju skil juru kimpal kini menjalani penempatan pekerjaan di firma-firma
perakaunan serta mendapat tawaran bekerja di syarikat-syarikat gas dan minyak
terpilih. 


Sejak ditubuhkan pada 2011 YPPB telah melancarkan tujuh program iaitu
Peneraju Tunas Potensi, satu program biasiswa untuk lepasan SPM/STPM. Peneraju
Profesional Akauntan, Peneraju skil-Jurukimpal, Peneraju Tunas Geliga iaitu
program yang menyediakan kemudahan biasiswa untuk lepasan Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR), Peneraju Skil-Elektrikal, Skim Prihatin Pendidikan
1Malaysia (SSP1M)dan terbaharu dilancarkan Mac lalu ialah peneraju Tunas Iltizam
yang menyediakan kemudahan biasiswa untuk lepasan menengah rendah yang tercicir.


Bagi lepasan SPM/STPM 2012, Program Peneraju Tunas Potensi menawarkan 500
lagi biasiswa pada tahun ini. Ia meningkat dua kali ganda daripada bilangan
biasiswa yang ditawarkan tahun lepas iaitu 210 biasiswa. 


SKIM PRIHATIN PENDIDIKAN 1MALAYSIA UNTUK SEMUA


Satu lagi skim yang terbuka kepada seluruh pelajar di Malaysia ialah Skim
Pendidikan 1Malaysia (SPP1M), yang dilancar dan dibuka permohonannya Mac lepas
oleh Perdana Menteri, menyediakan pembiayaan tambahan melalui bank bagi semua
pelajar yang layak bagi kursus dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar
negara. 


Untuk keterangan lanjut mengenai program-program yang ditawarkan, pembaca
digalak melayari www.penerajuedu.com atau www.facebook.com/penerajuedu bagi
mendapatkan maklumat serta borang permohonan.


Sumber-- BERNAMA,



0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .