Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Kesungguhan Nurul Sofiya Irwan Simbol Kejayaan Sekolah Dalam Hospital

Kesungguhan Nurul Sofiya Irwan Simbol Kejayaan Sekolah Dalam Hospital 

 

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Ketabahan Adik Nurul Sofiya Irwan dalam menghadapi penyakit kanser otak sejak berusia 3 tahun haruslah adik-adik para pelajar lain contohi. 

 Nurul Sofiya, mula menjalani rawatan kerana ketumbuhan otak, sejak berusia tiga tahun. Semangatnya kental, keinginannya untuk pulih memacunya untuk terus mendapatkan rawatan, meskipun tercicir daripada pendidikan arus perdana kerana kerap kali bermastautin di hospital.

 

 Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (empat, kanan) yang juga Penaung Projek Hati Nurani melihat pesakit kanak-kanak Nurul Sofiya Irwan, 11, yang menghidapi ketumbuhan otak sedang diajar oleh gurunya Nor Aishah Parijan (duduk, kanan) ketika melawat Sekolah Dalam Hospital (SDH), di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini, pada 13 Mac 2013 lalu. Turut hadir Naib Chanselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin (tiga, kiri).


KUALA LUMPUR, 13 MAC: Sekolah Dalam Hospital, inovasi pendidikan yang diinspirasikan daripada keprihatinan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman terhadap pelajar yang keciciran kerana menerima rawatan kesihatan jangka panjang, baru beroperasi kurang dari dua tahun di Negara ini. 

Namun, impaknya terhadap kanak-kanak dan remaja yang memerlukan rawatan serta proses pemulihan jangka panjang kerana pelbagai jenis penyakit, sudah dapat dilihat dengan jelas. 

Bagi pelawat ke Sekolah Dalam Hospital di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), iltizam yang ditunjukkan pesakit berusia 11 tahun dari Selayang, Nurul Sofiya Irwan, ketara menampakkan kejayaan projek kerjasama pintar di antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hati Nurani, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan ini.





Setiap kali mendapatkan rawatan, Nurul Sofiya tinggal berbulan-bulan di hospital, ditemani ibu atau ibu saudaranya. Kesunyian, kebosanan dan sakit yang dialaminya menjadikan anak kecil ini agak murung. Namun, segala-galanya berubah pada Oktober 2012 apabila Projek Hati Nurani membuka pintu sekolahnya yang ke-enam di PPUKM.


"Sekolah ini bagi Sofiya, adalah motivasi besar untuk dia terus datang melakukan fisioterapi. Adakalanya pada waktu pagi, dia hendak terus ke sekolah, tapi saya beritahu, kena fisioterapi dulu, baru ke sekolah," kata ibu saudara yang menemaninya di hospital, Wan Norhashila Wan Zakaria.

Nurul Sofiya sudah empat kali menjalani pembedahan. Kini penglihatan sebelah matanya sudah tiada manakala sebelah lagi hanya 30 peratus. Bahagian tubuhnya di sebelah kiri agak lemah dan memerlukan fisioterapi berterusan namun dia tetap bersemangat untuk belajar.

Kesungguhan anak gadis ini dan pesakit kanak-kanak sepertinya bagaikan pembakar semangat kepada guru yang ditugaskan di tujuh SDH yang sudah beroperasi setakat ini. Sekolah Dalam Hospital dimulakan di tiga hospital perintis iaitu Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang, pada Julai 2011.
Dalam tempoh setahun, ia diperluaskan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Tidak lama lagi, beberapa lagi hospital akan turut mempunyai kemudahan ini. Bagi perlaksanaan SDH di hospital universiti, kerjasama turut membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Tahun lalu, Kementerian Pelajaran mengambil langkah menginstitusikan Sekolah Dalam Hospital menjadikan ia secara rasmi sebahagian daripada pelan pendidikan nasional. 

Sekolah dalam hospital terbuka kepada murid pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Menurut Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, dalam tempoh Julai 2011 hingga Februari 2013, SDH telah memberi manfaat kepada beribu-ribu pelajar yang menjalani rawatan pemulihan di tujuh hospital, dengan jumlah kehadiran sebanyak 16,839.

Bagi tempoh semester persekolahan tahun ini sahaja, pada Januari 2013, tujuh SDH ini mencatat kehadiran berjumlah 1,736 manakala 1,428 pelajar hadir sepanjang bulan Februari.

Noorainee berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Dalam Hospital Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.


Turut hadir Pengarah PPUKM Dato’ Dr Raymond Azman Ali, Ketua Jabatan Pediatrik PPUKM, Profesor Dr Zarina Abdul Latiff, Ahli Jawatankuasa Hati Nurani serta ibu bapa pesakit.

Menurut Noorainee, sambutan yang diterima terhadap SDH sangat memberangsangkan bukan sahaja daripada golongan sasaran iaitu kanak-kanak dan remaja yang bersekolah, malah dari hospital-hospital umum lain di Negara ini.

Rancangan perluasan SDH turut mengambilkira keperluan pesakit kanak-kanak dan remaja di Sabah dan Sarawak, jelasnya. 

Pada masa ini, perancangan sedang dibuat bagi mengenalpasti hospital lain yang akan turut mempunyai kemudahan itu.

Sumber; website Pusat Perubatan UKM

 







0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .