Pembelaan Terhadap OKU Tidak Sepenuh Hati
Artikel ini diambil dari Harian Metro, sebagaimana yang ditulis oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
Minda: Pembelaan tidak sepenuh hati
Baik dari segi peluang pekerjaan mahupun dari segi kemudahan lain
golongan ini masih menerima nasib malang dan sering diketepikan dengan
pelbagai alasan. Misalnya alasan paling mudah untuk menafikan peluang
pekerjaan kepada mereka ialah keadaan fizikal tidak sesuai untuk sesuatu
jawatan di samping kelayakan akademik.
Perkara ini berlaku baik di sektor swasta mahupun sektor awam. Walaupun pihak kerajaan memutuskan untuk mewujudkan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008, namun pelaksanaan dan pencapaiannya tidak begitu memberangsangkan.
Perkara ini berlaku baik di sektor swasta mahupun sektor awam. Walaupun pihak kerajaan memutuskan untuk mewujudkan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008, namun pelaksanaan dan pencapaiannya tidak begitu memberangsangkan.
Keadaan ini jauh lebih teruk di pihak swasta yang dilihat lebih mengutamakan elemen keuntungan dan kemampuan pekerja. Ini menyebabkan kehidupan OKU sangat tidak menentu.
Ringkasnya OKU dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu orang kelainan upaya fizikal, penglihatan, pendengaran dan juga mental. Pelbagai definisi diberikan berkaitan kecacatan OKU ini misalnya, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), OKU ditakrif sebagai seseorang yang tidak dapat memenuhi sepenuhnya atau sebahagian daripada keperluan hidup sosialnya, sebagai seorang individu yang tidak normal, akibat kekurangan keadaan fizikal atau mental.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mentakrif OKU sebagai seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu dan atau tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan sesuatu kekurangan sama ada daripada segi fizikal mahupun mental dan sama ada ia berlaku sejak lahir atau kemudiannya (Zinaida Ariffin, 2006).
Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU ditakrif sebagai termasuklah mereka mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.
Akta ini juga menyebut badan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan bagi orang kelainan upaya hendaklah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh menteri.
Antara fungsi majlis ini ialah, untuk menyelia pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara berhubungan dengan OKU, membuat syor kepada kerajaan mengenai perkara berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU, memantau aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terbabit dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU, mengesyorkan kepada kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat dan juga membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU.
Di negara kita, kementerian yang menguruskan hal ehwal golongan OKU ini ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diberi mandat untuk menguruskan hal ini secara terperinci.
Malah JKM juga menubuhkan Jabatan Pembangunan OKU untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Misalnya JKM dipertanggungjawabkan untuk menguruskan institusi OKU seperti Taman Sinar Harapan, Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bengkel Daya/Terlindung dan pusat Harian Bukit Tunku. Di samping itu, JKM menguruskan aspek pendaftaran OKU serta pengeluaran Kad OKU.
Antara kemudahan dan keistimewaan yang disediakan JKM untuk OKU ialah bantuan kewangan melalui elaun pekerja cacat sebanyak RM300 yang diberikan sebagai penyenggaraan pendapatan untuk memenuhi keperluan asas kehidupan OKU serta sebagai insentif untuk menggalakkan OKU bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
Secara kasarnya kita mempunyai dasar dan undang-undang yang jelas, pelan bantuan menarik dan tambahan pula adanya kementerian dan jabatan khusus untuk melaksanakan segala dasar dan perancangan terbabit.
Namun, hakikatnya nasib OKU di negara kita masih berada pada tahap yang cukup menyedihkan serta memudaratkan. Maka timbul persoalan di mana silapnya? Apakah OKU sendiri gagal untuk merebut segala kemudahan disediakan kerajaan?
Adakah pihak pelaksana gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka ataupun tahap kesedaran masyarakat kita, termasuk pihak korporat masih rendah dan gagal untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan ini?
Pelbagai jawapan kita terima untuk soalan terbabit yang masing-masing seolah-olah cuba untuk menegakkan benang yang basah tanpa menyedari hakikat bahawa nasib golongan OKU masih belum terbela sepenuhnya di negara kita.
Saban hari masih kedengaran keluh kesah mereka merintih memohon bantuan daripada pelbagai pihak. Dalam hal ini, penulis terfikir satu pandangan rakan suatu ketika dulu yang secara sinis melontarkan pendapat bagaimana nasib OKU hendak terbela kalau yang memperjuangkannya bukan daripada golongan OKU sendiri.
Ini mungkin ada kebenarannya kerana perjuangan tidak begitu bersungguh-sungguh mahupun dihayati sepenuhnya. Senario semasa menunjukkan pandangan itu perlu kita selami bersama.
Justeru, kita berharap sangat agar pihak pelaksana, terutama jabatan kerajaan yang terbabit berganding bahu dengan pihak korporat, masyarakat dan OKU untuk merancang satu pelan transformasi untuk jangka pendek dan panjang bagi membela nasib OKU di negara kita secara menyeluruh.
Pembabitan dan input daripada golongan OKU itu cukup penting. Hanya mereka yang tahu kehendak sebenar. Biarlah mereka terbabit sama dalam segala proses membuat keputusan.
Dan berilah juga peluang untuk golongan ini sendiri memimpin dan juga memperjuangkan sendiri hak mereka melalui persatuan. Dalam hal ini, kita tidak perlu individu yang cuba menjadi jaguh kononnya ingin memperjuangkan nasib OKU tetapi sebaliknya hanya menggunakan nama persatuan untuk meraih populariti di mata masyarakat demi kepentingan peribadi.
Negara kita semakin maju ke hadapan, terutama ke arah merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Untuk itu, kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui pelbagai Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang memerlukan sumbangan dan komitmen semua pihak. Maka, apakah OKU hendak dipinggirkan daripada arus transformasi ini ataupun apakah golongan OKU langsung tiada ruang untuk memberikan sumbangan kepada negara dalam menjayakan impian berkenaan.
Kita hendaklah percaya golongan OKU juga ada peranan dan mampu memberi sumbangan bermakna andai diberi peluang dan ruang sewajarnya.
Penulis Ketua Bahagian Perancangan Korporat UPM berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat
0 Comments:
Post a Comment