Rumah generasi kedua di Felda Padang Piol yang siap sepenuhnya.
Sumber foto Sinar Harian Edisi Pahang
Felda bina rumah generasi kedua
JERANTUT - Generasi kedua di Felda Padang Piol dan Felda Sungai Retang menarik nafas lega apabila usaha kerajaan dan Felda membina rumah untuk golongan itu secara berperingkat.
Pengurus Felda Padang Piol, Abdul Malek Shaari berkata, sebanyak 26 unit rumah Perumahan Generasi Kedua Felda Padang Piol (PGKFPP) yang telah siap dan bakal diduduki akan diserahkan kepada pemohon yang layak dan berjaya dalam tapisan yang akan dijalankan tidak lama lagi menjelang tahun depan.
Menurutnya, manakala sebanyak 393 permohonan generasi kedua Felda itu telah diterima oleh pihak pengurusan Felda itu dan akan mengadakan saringan awal dan memanggil pemohon yang telah disenarai pendek untuk ditemu duga tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Belia Felda Padang Piol, Zuhainuddin Abdullah berkata, golongan muda di kawasan itu tidak sabar untuk menduduki rumah berkenaan tetapi terpaksa akur akan prosedur yang ditetapkan.
“Ini yang kami tunggu, walaupun hanya 26 unit, sudah pasti memberi sinar kepada generasi kedua yang berkeluarga dan masih menumpang di rumah keluarga, saya bersyukur usaha kerajaan yang prihatin terhadap golongan seperti kami.
“Kami juga sedia maklum rumah bakal dibina untuk fasa seterusnya, serta pembinaan kira-kira 400 unit rumah yang sama berdekatan Felda Sungai Retang. Oleh itu, kami rasa peluang untuk mempunyai rumah sendiri lebih cerah,” katanya.
Pengurus Pusat Internet 1Malaysia, Padang Piol, Siti Sholha Abu Bakar berkata, pembinaan rumah itu bakal menyelesaikan masalah perumahan dan tempat tinggal untuk golongan generasi kedua.
“Dimaklumkan harga rumah pun tidak melebihi RM80,000 agak berpatutan dan reka bentuk yang moden dan menarik, ini satu transformasi kerajaan untuk merubah generasi kedua Felda yang moden.
“Kepada golongan muda harap dapat bersabar kerana kita bakal memiliki rumah masing-masing mengikut fasa yang siap secara berperingkat dan yang betul-betul layak akan mendudukinya,” katanya.
Adun Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, sebanyak 26 unit rumah itu akan diserahkan secepat mungkin dan 400 unit lagi akan dibina tidak lama lagi di Felda Padang Piol dan Sungai Retang.
“Pihak pengurusan Felda akan memastikan mekanisme cara pembayaran sewa beli rumah dengan pihak bank bagi membantu generasi kedua yang masih tinggal dengan ibu bapa masing-masing serta bekerja di Felda ini.
“Bukan sahaja anak peneroka sebaliknya anak kakitangan Felda turut layak memohon, bagaimanapun semua itu melalui tapisan kelayakan yang ketat,” katanya.
Sumber; Sinar Harian, klik di sini.
0 Comments:
Post a Comment