ALOR SETAR - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah sudah bersedia untuk menghadapi banjir yang mungkin berlaku pada bila-bila masa memandangkan keadaan hujan lebat yang agak kerap sekarang.

Pegawai Penyelaras Operasi Banjir JPAM Kedah Saifuddin Abdullah berkata setiap peralatan dan persediaan logistik telah diuji bagi memastikan semua berada dalam keadaan baik apabila banjir melanda.

"Kita telah memandu uji 25 bot penyelamat yang akan diguna untuk memindahkan mangsa banjir, dua daripadanya adalah jenis fiber dan selebihnya bot aluminium," katanya kepada pemberita selepas melakukan pandu uji bot di Sungai Kedah, di sini hari ini.

"Pada tahun ini, JPAM Kedah tidak mempunyai tambahan bot baru tetapi jumlah yang digunakan adalah lebih banyak berbanding sewaktu banjir pada tahun 2010 iaitu sebanyak 12 bot," katanya.

Saifuddin berkata pihaknya memberi tumpuan kepada daerah yang berisiko menghadapi banjir iaitu Pendang, Kubang Pasu dan Padang Terap yang merupakan kawasan takungan air serta berhampiran dengan Empangan Pedu.

Beliau berkata selain menyediakan bot, JPAM turut menyediakan 20 lori muatan tiga dan lima tan serta 15 kenderaan pacuan empat roda.

"Tahun ini juga kita telah melatih seramai 500 anggota sukarela untuk daerah Kota Setar berbanding 350 anggota tahun lepas dan seluruh negeri Kedah, kira-kira 1,500 anggota sukarela telah menerima latihan," katanya. - Bernama