BI mungkin subjek wajib SPM 2016
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel berkaitan Bahasa Inggeris Mungkin Menjadi Mata Pelajaran Wajib Lulus SPM Pada 2016 ini dipetik daripada Laporan Berita TV3, Laporan Bernama di Sinar Harian, Berita Harian dan Kosmo sebagai kemudahan pemilik blog membuat rujukan. Sekian terima kasih.
Bahasa Inggeris Mata Pelajaran Wajib Lulus SPM?
Sila klik http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Bahasa_Inggeris_Mata_Pelajaran_Wajib_Lulus_SPM.html
untuk menonton Berita Utama TV3
BI mungkin subjek wajib SPM 2016
PORT DICKSON - Bahasa Inggeris berkemungkinan besar akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan perdana menteri yang juga menteri pelajaran berkata langkah ini seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Katanya perkara itu sedang diperhalus Kementerian Pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.
"Kalau ikut kurikulum yang sedia ada, ada lebih kurang 20 peratus pelajar kita yang gagal bahasa Inggeris, tapi saya yakin bila kita perkenalkan syarat wajib ini maka peratusan itu akan menurun.
"Lebih-lebih lagi kalau kita dapati pelajar itu perlukan 'intervensi' kerana mereka lemah dalam pembelajaran bahasa Inggeris, kita boleh tokok dengan menyediakan program tuisyen (dan) memberikan tumpuan pada pelajar lemah.
"Dan mungkin akan diadakan kelas tambahan kalau sekiranya dianggap perlu di sekolah-sekolah yang terpilih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Memperkukuhn Literasi dan Penguasaan Bahasa Inggeris' peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (fasa persediaan) (2012-2015), gelombang kedua (pelaksanaan)(2016-2020) dan gelombang ketiga (pentaksiran) (2021-2025).
Muhyiddin berkata dalam gelombang pertama pelan berkenaan, kementerian akan melatih seramai 61,000 guru bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah.
"Bagi memastikan tahap penguasaan bahasa Inggeris kita meningkat, antara program yang kita perkenalkan ialah kita bawa penutur jati membantu guru dan juga pelajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
"Seterusnya kita akan latih 61,000 guru bahasa Inggeris yang kita ada untuk (menjadikan mereka) lebih mahir dan lebih pakar lagi," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata program Pengajaran Bahasa Inggeris dan Literasi (TELL) yang mula diperkenalkan pada 2011 menampakkan peningkatan yang memberangsangkan bagi penguasaaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru.
Katanya kemahiran mengajar bahasa Inggeris dalam kalangan guru Tahap Satu sekolah rendah telah meningkat secara purata sebanyak 54 peratus, sementara kebolehan menulis dan membaca bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, meningkat 16 peratus berbanding pelajar yang tidak berada dalam program itu.
"Saya difahamkan para mentor dan rakan sejawatan mereka di Malaysia telah bersama-sama menghasilkan ribuan bahan dan sumber komunikasi.
"Saya yakin dengan transformasi menyeluruh kementerian kini, telah membawa anjakan paradigma dalam cara kita berfikir, bertindak dan menyelesaikan masalah kecekapan bahasa dalam kalangan guru-guru Malaysia yang tidak lagi mustahil," katanya. .
TELL ialah program untuk mempertingkat tahap penguasaan bahasa Inggeris dan literasi dalam kalangan guru-guru bahasa Inggeris Tahap Satu (yang mengajar Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah.
Seramai 360 mentor yang merupakan penutur jati bahasa Inggeris dibahagikan kepada beberapa kawasan seluruh negara dengan setiap mentor akan bertanggungjawab menjaga lima buah sekolah dalam satu kawasan. - Bernama
Sumber; Bernama, dan Sinar Harian 8 Mac 2013
KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik pelan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.
Presidennya Hashim Adnan berkata pelan itu adalah inisiatif yang bertepatan dengan masa dan perlu dilihat dengan perspektif positif.
"Kita di NUTP menganggap ia sebagai satu cabaran yang baik, maknanya kalau kita tidak laksanakannya sekarang kita akan ketinggalan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pelan berkenaan semalam yang menurutnya adalah seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Menurutnya perkara itu sedang diperhalus Kementerian Pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.
Hashim berkata biarpun telah banyak transformasi dan usaha yang dilakukan kerajaan dalam meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, namun tidak dinafikan mutu pelajar negara di dalam bahasa Inggeris masih ketinggalan.
"Jadi kita harap inisiatif ini yang akan dilaksanakan dalam masa tiga tahun lagi mampu mengubah mutu pelajar kita, kalau boleh kita mahu lebih dari sekadar lulus dan terus mendapat kepujian," katanya.
Ke arah melaksanakan pelan itu, beliau mengingatkan kerajaan supaya segala persiapan dari segi kebolehupayaan guru dan kapasiti guru disediakan dengan mencukupi.
"Kita tak nak ada pelajar yang teraniaya, terutama di kawasan pedalaman," katanya dengan memberi cadangan supaya sidang meja bulat bersama pakar di bidang pendidikan diwujudkan bagi memastikan mutu bahasa Inggeris mencerminkan mutu pelajar sendiri.
Turut bersetuju ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan yang menyifatkan pengumuman pelan itu sebagai satu langkah wajar.
Menyifatkan pengumuman tiga tahun lebih awal mengenai pelaksanaan pelan itu sebagai strategi berkesan beliau mencadangkan kerajaan turut menimbang antara lain persediaan latihan mencukupi kepada guru-guru, mengemas kini kokurikulum sedia ada dan mewujudkan insentif dan kemudahan bersesuaian.
"Mungkin juga bagi mereka (guru bahasa Inggeris) peruntukan khas, begitu juga kemudahan sekolah seperti bahan-bahan bacaan, makmal bahasa Inggeris perlu difikirkan untuk diwujudkan, bagi mewujudkan persekitaran yang sesuai," katanya.
Namun begitu, beliau berkata peranan untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tidak hanya terletak di tangan kerajaan, pihak swasta dan ibu bapa perlu turut main peranan.
Turut mengalu-alukan pelan kerajaan itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang berkata dengan perlaksanaannya pelajar akan lebih mengambil serius mengenainya.
Beliau berkata kebanyakan majikan kini juga melahirkan kerisauan mengenai mahasiswa yang gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
"Jadi diharapkan selepas beberapa inisiatif termasuk PPSMI, MBMMBI, dan terbaharu pelan ini, mutu bahasa Inggeris pelajar akan meningkat," katanya. - Bernama
Sumber; di sini
Petikan Akhbar Kosmo pula,
BI bakal jadi subjek wajib lulus SPM
KOTA KINABALU – Kerajaan sedia mengkaji untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu adalah untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu berfikir di luar kerangka.
“Perancangan ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 seperti mana perancangan kita untuk memperkasakan dua lagi mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Sains,” katanya dalam ucapan pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di sini semalam.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama-sama 5,000 guru muda dari Zon Wilayah Sabah dan Labuan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, kerajaan berusaha keras untuk memastikan modal insan yang dilahirkan kelak mampu bersaing dengan negara-negara maju menjelang tahun 2020.
“Sekiranya semua pihak sudah bersedia termasuk para pelajar, maka cadangan untuk mewajibkan setiap pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM akan dilaksanakan,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada guru-guru muda di Sabah dan Sarawak yang cekal dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa.
Katanya, situasi yang dialami kumpulan guru-guru ini seperti mengharungi kepayahan ke sekolah dengan menyeberangi sungai, berjalan kaki dan sebagainya adalah satu pengorbanan yang besar.
0 Comments:
Post a Comment