Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pelajar Cemerlang SPM 2012 Terengganu Mahu Keluar Daripada Kemiskinan

Pelajar Cemerlang  SPM 2012 Terengganu Mahu Keluar Daripada Kemiskinan




Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin student, Ong Jia Pei, who scored 12A+ in 2012 SPM being hailed by her friends. . NSTP/Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU, 21 Mac (Bernama) -- Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu, Ong Jia Pei dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin yang memperoleh 12A+ bertekad mahu keluar daripada kepompong kemiskinan.

Anak kepada pasangan penyelia kilang papan Ong Sing Kian dan isteri Tian Choon Moi yang bekerja sebagai kerani terbabit berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sains biologi atau perdagangan.

"Saya mahu menggembirakan keluarga dan berharap kejayaan dalam SPM ini akan terus menjadi batu loncatan untuk saya terus berjaya dalam hidup dan memberi keselesaan kepada keluarga," katanya kepada pemberita selepas menerima slip keputusan SPM, di sini Khamis.






Ibunya yang hadir menemani melahirkan rasa syukur atas kejayaan anak bongsu daripada dua beradik itu.

Selain Jia Pei, seorang calon berkeperluan khas di SMK Chung Hwa Wei Sin itu turut mendapat keputusan cemerlang 10A 1B.

Low Khong Yi, 18, kini melanjutkan pelajaran peringkat A Level di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur dan bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan pergigian..

Ibunya Ng Suat Hoon yang meneriam slip peperiksaan bagi pihak Khong Yi, berkata anak keempat daripada lima beradik itu mengalami masalah pendengaran sejak lahir.

Bagi dua pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SKMA) Sheikh Abdul Malek di sini pula, solat sunat taubat, solat hajat dan solat dhuha adalah antara amalan mereka sepanjang persediaan menghadapi SPM serta berjaya mencatat 11A+.

Anis Raihan Asmadi, 18, dan Syafiqah Yusof, 18 adalah antara 19 pelajar cemerlang di Terengganu yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Syafiqah ketika ditemui pemberita berkata fokus kepada pembelajaran dalam kelas serta mengulang kaji pelajaran secara konsisten adalah antara rahsia kejayaannya.

"Saya tidak mengikuti kelas tuisyen, sebaliknya memberi tumpuan kepada setiap apa yang diajar guru. Ada juga ketikanya saya rasa lemah semangat, tetapi bersyukur kerana sentiasa diberi motivasi oleh ibu bapa, guru dan kawan-kawan," kata anak kepada pasangan guru.

Bagi Anis Raihan pula didikan kedua-dua ibu bapanya yang sangat mengambil berat dan sering memberi kata-kata motivasi menguatkan lagi semangatnya untuk menjadi seorang peguam bagi meneruskan legasi ayahnya Asmadi Awang.

"Sejak kecil, ibu menghantar saya mengikuti kelas mental aritmetik dan kelas piano untuk menyeimbangkan semua aspek kecerdasan dengan lebih berkesan dan memantau pembelajaran di rumah," katanya.

Sementara itu di BESUT, dua pelajar terbaiknya menjadikan tumpuan penuh semasa belajar serta berdoa kepada Allah sebagai amalan sepanjang persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Muhammad Nur Hanif Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud yang memperoleh 9A+ berkata minatnya dalam pelajaran menyebabkan beliau tidak pernah ponteng tuisyen di sekolah selain belajar secara berkumpulan.

"Saya banyak belajar dari pengalaman mengikuti Ekspedisi Jejak Hidayah Remaja selama 45 hari di negara-negara Eropah dan Arab pada penghujung tahun 2011 yang menjadi pencetus kepada kekuatan semangat dan mental saya," katanya ketika ditemui Bernama di sekolahnya hari ini.

Anak kepada pasangan guru itu bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di United Kingdom.

Bagi Wan Md Fathi Wan Md Jalal Azmi dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz, selain mengulang kaji pelajaran secara konsisten, beliau juga menghafaz al-Quran yang banyak memberi ketenangan kepadanya.

Mungkin kerana amalan menghafaz al-Quran itu saya dapat menguasai pelajaran dengan lebih baik, katanya yang mencatat 9A+ 2A.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga menyifatkan penglibatannya dalam bidang sukan terutama bola sepak, membantunya mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

Sementara itu Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassan memberitahu sebanyak 71 pelajar di daerah berkenaan memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil kali ini.

Katanya SM Imtiaz Besut muncul sebagai sekolah terbaik daerah Besut manakala SMK Tengku Mahmud pula melahirkan calon paling ramai memperoleh semua A iaitu 28 orang.


-- BERNAMA





0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .