PENGARAH Pelajaran Selangor, Mahmud Karim bersama pelajar cemerlang SPM 2012 gembira menunjukkan keputusan mereka di Jabatan Pelajaran Selangor.
Sumber FOTO Intan Nur Elliana Zakaria, Harian Metro. Sumber Artikel: Sinar Harian
Nur Najat Mamat dan adik kembarnya Nur Najaa dari Sekolah Menengah Bukit Sentosa, Rawang, masing-masing memperoleh keputusan 10A+.
Mereka berkata belajar tanpa tekanan keterlaluan daripada ibu bapa juga berjaya membantu kejayaan mereka itu.
"Kami tak pernah diberi tekanan untuk mencapai kejayaan cemerlang, mak dengan abah pun tak kisah kalau saya lagi pandai dari adik atau adik lagi pandai dari saya," kata Najat yang ceria di samping adiknya selepas menerima keputusan peperiksaannya di Jabatan Pelajaran Selangor di sini.
Najat dan Najaa merupakan antara 99 pelajar cemerlang SPM di Selangor yang memperolehi keputusan A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.
"Walaupun kembar, satu sekolah dan satu kelas tetapi kami tidak suka untuk mengulang kaji pelajaran bersama.
"Kami akan belajar secara berasingan dalam bilik dan kami tidak pernah menetapkan jadual waktu belajar kami di rumah...cuma apa yang kami tekankan sentiasa fokus ketika belajar tidak kira dalam kelas atau semasa menghadiri kelas malam di sekolah," katanya.
Pasangan kembar itu sepakat untuk menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang kejuruteraan kimia.
Sementara itu, Neo Moon Wei dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis (SMKJ) Cina Yu Hua, Kajang yang memperoleh 12A+ pula dipilih sebagai pelajar terbaik SPM 2012 bagi Selangor.
Katanya pembahagian masa yang betul dan mengambil kelas tuisyen bagi beberapa subjek yang sukar adalah kunci kejayaannya.
"Saya bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya sebab saya sangat suka buat duit...mungkin ini juga antara sebab yang mendorong kejayaan saya hari ini," katanya yang merupakan anak kepada peniaga makanan laut. - Bernama
SUMBER DI SINI
0 Comments:
Post a Comment