Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Felda biayai separuh kos IPTA

Felda biayai separuh kos IPTA

BESUT 6 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan satu lagi khabar gembira untuk warga Felda iaitu pembiayaan separuh daripada kos pengajian anak-anak peneroka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Perdana Menteri berkata, ia dijangka membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk tahun pertama diikuti RM30 juta pada tahun kedua dan RM45 juta pada tahun ketiga.

Di samping itu, kata beliau, skim latihan kemahiran juga akan diperluaskan termasuk dalam bidang kejuruteraan khusus buat anak-anak peneroka dan anak keluarga miskin di bandar-bandar.

"Usaha ini dilakukan bagi meringankan beban kerajaan dalam membiayai pengajian pelajar ke institusi pengajian tinggi dan mempelbagaikan penguasaan kemahiran bagi memenuhi pasaran kerja.

"Ia juga diambil berdasarkan persetujuan Felda untuk memperluaskan peranannya bersesuaian dengan prinsip berkongsi kekayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Perdana Menteri yang dihadiri kira-kira 20,000 orang di Padang Bola Kampung Tempinis, dekat sini hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh serta para pembesar dan kenamaan negeri.

Najib menjelaskan, separuh pengajian pelajar di kalangan anak Felda akan dibiayai Felda manakala separuh lagi ditanggung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, langkah memperluaskan skim latihan kemahiran itu membolehkan anak-anak Felda diberi peluang mengikuti kursus berkaitan seperti melahirkan jurutera penyelenggara pesawat dan bidang-bidang kemahiran lain.

"Ini akan memberi mereka nilai tambah terutama untuk menceburi bidang pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Menurut Najib, sebagai contoh, skim latihan itu antaranya melibatkan skim latihan dengan kerjasama Malaysian Airline System Bhd. (MAS) serta institusi swasta lain.

Mengulas mengenai pembiayaan separuh daripada kos pengajian pelajar IPTA di kalangan anak Felda, Najib berkata, ia turut membantu meringankan beban kerajaan.

"Dua langkah terbaru ini adalah rentetan kejayaan menerusi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) dan menerusi dana tambahan, kita bersetuju untuk turut mengagihkannya kepada rakyat," ujarnya.

SUMBER; UTUSAN MALAYSIA

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .