Abdullah Ibn Umm Maktum si buta yang celik hatinya
Firman Allah Taala, maksudnya:
Dia bermasam muka dan berpaling. Kerana datangnya seorang yang buta. Padahal adakah memberitahumu boleh jadi dia akan akan menjadi orang yang suci? Atau dia akan ingat lalu memberi manfaat kepadanya ingatan itu? Adapun terhadap orang yang telah merasa cukup, maka engkau hadapkan perhatian itu kepadanya. (Surah Abasa 80: 1 – 6)
Kali ini terasa kelainanya. Boleh jadi juga kerana tajuk talk
bulan ini tajuk yang paling diminati. Apatah lagi ia membicarakan
peribadi generasi yang amat hampir dengan seorang Nabi yang ummi.
Abdullah Ibn Umm Maktum si buta yang celik hatinya, namanya terbaris
sebagai seorang generasi al-Quran yang unik bahkan kerana dia dua kali
ayat-ayat Allah turun membasahi bumi.
Nabi Muhammad saw bersabda: Sahabat-sahabatku umpama bintang di langit.
(Hadith sahih Riwayat al-Bukhari)
Bintang di langit peranannya bukan
sahaja menemani malam dengan penuh setia tetapi bersinar-sinar dan
menjadi pedoman bagi pengembara. Begitulah bandingan sahabat Nabi yang
setia itu, peribadi dan sifat-sifat mereka sebagai generasi al-Quran
yang amat unik ini menjadi suatu ciri yang boleh dipedomani oleh kita
dalam kehidupan.
Dia
bersama Mus’ab Ibn Umair r.a meredah padang pasir menjadi golongan
sahabat yang pertama berhijrah di Madinah. Bayangkan si buta dan si
Muda Mus’ab diberikan tanggungjawab yg amat besar oleh Rasulullah saw.
Pejam mata sejenak dan bayangkan seorang yang buta mengatur langkah
hijrah yang pertama ini. Bayangkan juga Mus’ab yang memimpin musafir
yang penuh bahaya itu. Andai dia tersalah langkah, andai musyrikin
menghidu jejaknya, bukan sahaja nyawanya akan melayang, tetapi nyawa
saudaranya yang buta dan masa depan dakwah di Yathrib sebelum
Rasulullah berhijrah.
Dipendekkan
cerita, tidak ada satu rumahpun yang tidak mendengar tentang Islam
sebelum kedatangan Nabi. Dan inilah jasa dua manusia unggul ini.
Abdullah Ibn Ummi Maktoum dan Mus’ab Ibn Umair.
Setelah
Nabi Muhammad saw tiba di Madinah, baginda menetapkan tiga asas utama
dalam pembinaan negara Islam Madinah. Pertama ialah persaudaraan, kedua
ialah institusikan masjid sebagai medan dan pusat kehidupan dan ketiga
ialah kepimpinan dan pelembagaan madinah.
Tiga asas ini menjadi mudah
untuk Rasulullah saw laksanakan hasil dari jejak-jejak hijrah yang
pertama dan jasa para Sahabat r.a termasuklah si buta Abdullah Ibn Ummi
Maktum ini.
Sekumpulan
para Sahabat r.a dipersaudarakan oleh Rasulullah saw. Abdullah Ibn
Ummi Maktoum ini dipersaudarakan dengan Bilal bin Rabah r.a. Si hitam
yang dulunya hamba teraniaya tetapi setelah Islam maruahnya diletakkan
sebaris dengan Umar al-Khattab, Abu Bakar al-Siddiq, Ammar bin Yasir,
Ibn al-Jarrah. Malah sebaris dalam saf-saf solat di Masjid yang pertama
di atas dunia.
Lalu bersahabat si buta dan si hitam ini. Tetapi mereka ini bukan calang-calang orang. Si
hitam inilah yang suara takbir azannya mencecah awan, menembusi langit
yang tujuh. Si buta inilah juga dilantik oleh Rasulullah saw sebagai
‘khalifah’ baginda 13 kali banyaknya iaitu sewaktu Nabi mengetuai
ekspedisi dan peperangan menentang musuh Islam. Maka madinah dan seisi
penduduk menjadi amanah Abdullah Ibn Ummi Maktum sewaktu baginda
mengetuai ekspedisi di luar kota Madinah.
Si
buta inilah yang dari jauh merayu-rayu kpd Rasulullah, wahai suami
sepupuku (khadijah) ajarkan kepadaku apakah wahyu yang turun kepadamu
hari ini?
Inilah
rutin Abdullah dari kejauhan dan itulah yang berlaku dalam satu
pertemuan Nabi bersama golongan pembesar Quraisy sehingga berubah air
muka Rasul di atas kunjungan itu. Bukan Abdullah tidak tahu adanya
tetamu besar bersama Nabi tetapi jiwanya yang merindui ayat-ayat
al-Quran setiap hari menjadikan raganya kehausan al-Quran dan
ternanti-nanti ayat-ayat yang baru.
Lalu turunlah wahyu menegur baginda dengan firman-Nya:
Dia bermasam muka dan berpaling. Kerana datangnya seorang yang buta.
Padahal adakah memberitahumu boleh jadi dia akan akan menjadi orang yang suci?
Atau dia akan ingat lalu memberi manfaat kepadanya ingatan itu?
Adapun terhadap orang yang telah merasa cukup, maka engkau hadapkan perhatian itu kepadanya.
(Surah Abasa 80: 1 – 6)
Siapakah
Ibn Umm Maktum ini wahai Nabiku? Sehinggakan Allah menurunkan wahyu
padamu kerananya? Sejak itu, Rasulullah saw dari jauh lagi
mengalu-alukan kehadiran Abdullah, ‘telah datang sepupu isteriku yang kerananya turun wahyu menegurku’
.. Ibn Umm Maktum mempunyai pertalian saudara dengan isteri Rasulullah
s.a.w iaitu Khadijah binti Khuwailid. Beliau antara penduduk Mekah
yang awal memeluk Islam.
Bagaimanakah
seorang buta membuat penilaian dan memilih untuk memeluk Islam? Tidak
takutkah si buta ini pada halangan dan juga ancaman yang dahsyat dari
kumpulan Quraisy? Sudahlah matanya buta, bagaimana sekiranya tubuhnya
dicedera atau dipukul dan diazab oleh Quraisy yang berkuasa? Bukankah
era dakwah di Mekah ketika itu tertekan dengan suasana yang dipantau
dengan ketat, diancam dengan penjara dan azab? Bahkan banyak percubaan
untuk membunuh Rasulullah, menangkap para sahabat r.a dan juga
mengazabkan golongan miskin yang Islam?
Mereka
ingin melenyapkan cahaya Allah (Islam, al-Quran dan mesej dakwah
Rasulullah) dengan mulut-mulut mereka (arahan, ancaman, perintah,
kuatkuasa undang-undang dsb), tetapi Allah akan sempurnakan cahaya-Nya
sekalipun orang-orang yang kafir itu amat membencinya. Dia-lah yang
mengutuskan rasul-Nya dengan hidayah dan agama yang benar mengatasi
agama (cara hidup) yang lain, sekalipun golongan yang syirik itu amat
membencinya. (Al-Saf 8-9).
Apabila
hidayah dan nur daripada Allah ini ingin menyinar, ia akan menembusi
jua walaupun dalam ruang yang sempit. Nur itulah yang membuka mata
hatinya sehingga Ibn Umm Maktum sekalipun buta tetapi ‘melihat’
kebenaran.
Rasulullah
s.a.w diberi peringatan oleh Allah bahawa Ibn Maktum ini lebih besar
harapannya dan jiwanya lebih berkembang dan meningkat menjadi seorang
yang suci dan bersih hatinya. Meskipun buta matanya, kalau jiwa bersih,
kebutaan bukan beban dan tidak juga menghambat peningkatan iman
seseorang.
Manakala mereka yang golongan yang telah merasa cukup dan
tidak perlu ditunjuk jalan, pintar dan berasa diri lebih kaya, golongan
ini bukan lah prioriti untuk diberikan perhatian. Bahkan menurut
mufassir golongan ini akan datang kepada agama setelah kemenangan untuk
mengaut keuntungan dan ada kepentingan.
Bayangkan
sehalus itu kritikan Allah mengajar Nabi s.a.w. Ciri dan sikap
Abdullah Ibn Umm Maktum ini lebih wajar untuk dipedomani oleh generasi
umat Islam. Manakala ciri kedua pula adalah sifat-sifat yang mesti
dijauhi.
Setelah
Rasulullah saw wafat, Bilal r.a membawa diri ke Syria lantaran
kesedihan yang amat terdapat kehilangan Nabi. Apalah ertinya lagi
apabila kekasih yang mulia hilang di mata. Bilal r.a menyertai
ekspedisi pembukaan kota-kota dan membawanya sehingga ke utara Syria.
Manakala Ibn Umm Maktum terus berada di Madinah sehinggalah saat umat
Islam bersiap siaga untuk menyertai peperangan al-Qaadisiyyah iaitu
peperangan yang akan menentukan jauh bangunnya empayar Islam dan
menamatkan kekejaman Byzantine. Jika tentera Muslimin menang, maka
jatuhlah sebuah empayar yang digeruni dan tamatlah penindasan ke atas
rakyat dan jajahan taklukannya.
Abdullah
yang sejak hayat Rasulullah meronta-ronta untuk ke medan jihad,
akhirnya memohon khalifah Umar al-Khattab membenarkan dia pergi.
‘Wahai Umar, tentera Islam memerlukan seorang yang tetap memegang panjinya. Berikanlah tanggungjawab itu kepadaku.
Aku
ini buta, akan kuredah semua di hadapanku, engkau akan perlukan orang
yang tidak akan menjatuhkan atau membuatkan panji Islam tergelincir.
Orang itu ialah aku. aku akan mara tatkala orang lain mengelak tikaman
tetapi aku tidak, dan engkau perlukan seseorang sepertiku’..(ulang Abdullah berkali-kali)
Umar
berfikir panjang. Abdullah Ibn Umm Maktum bukan calangan orang. Dia
telah Islam sewaktu orang-orang lain termasuk dirinya masih kufur.
Dia
telah berhijrah sewaktu orang-orang lain masih berlindung di Makkah.
Dia telah mengislamkan penduduk Madinah sebelum Rasulullah tiba. Malah
dia berada di saf yang awal dalam solat sebaris dengan sahabat-sahabat
lain yang mulia. Bahkan kerananya dua kali ayat-ayat al-Quran turun ke
dunia.
Maka
atas alasan apakah lagi untuk dia menolak permintaan itu. Sejarah
gemilang Abdullah di medan tempur ini dirakamkan oleh Anas yang melihat
sendiri Ibn Ummi Maktum ini berjuang di bawah ribuan tentera pimpinan
Saad Ibn Abi Waqas. Akhirnya beliau diterima sebagai sahabat yang
syahid oleh Allah swt.
Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: Apabila menjelang fajar tunggulah azan Bilal bin Rabah, apabila ingin solat fajar tunggulah azan Ibn Umm Maktum.
Bilal r.a dan Ibn Umm Maktum ini bergilir saban hari melaungkan azan
di Madinah. Itulah rutin dua muazzin Rasulullah s.a.w ini. Cumanya, bagaimana seorang yang buta tahu bilakah waktu solat bermula?
Talk pada hari itu diakhiri dengan penjelasan.. Because he could smell the fajr… his heart beat with the sun.
Moga-moga Allah menambah iman kita walau hanya sedetik.
Credit to: www.cheadek.wordpress.com
0 Comments:
Post a Comment