Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Elak dehidrasi dengan air dan buah

Elak dehidrasi dengan air dan buah

Artikel kesihatan ini saya muatnaik di blog ini, kerana ada pelajar-pelajar saya yang menghidap pelbagai masalah kesihatan tetapi meminta dirahsiakan. Sebagai kaunselor pelajar, klien selesa berkongsi rahsia dengan saya termasuk penyakit klien. 


Mungkin kerana klien melihat secara fizikal saya yang berkerusi roda ketika  2011. Namun bagi saya, konsep teraputik dalam sesi kaunseling itulah yang menarik klien untuk lebih dekat dengan saya. 


Artikel ini sebagai salah satu sumber rujukan dan panduan saya dalam memahami pengalaman kesakitan klien saya. Bagaimanapun klien biasanya selepas sesi kaunseling individu akan merujuk kepada pakar kesihatan terdekat.

Air dan buah elakkan dehidrasi



SEMUA sedia maklum bahawa saat menjelangnya Ramadan umat Islam wajib berpuasa bermula dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. Namun, puasa bukan alasan untuk menjadi tidak produktif, lemah, lesu, dan berwajah kusam. 


Ya, berpuasa mempunyai kesan kepada tubuh. Apabila tubuh tidak mendapat makanan atau minuman buat jangka masa yang lama, ia pasti memberikan sedikit kejutan kepada sistem tubuh.



“Ketika bulan puasa, kita akan kehilangan lebih kurang 2,000 mililiter (ml) cecair dalam badan setiap hari melalui air kencing, peluh dan ketika bernafas. Kehilangan cecair ini berbeza antara individu bergantung kepada aktiviti dan tahap kesihatan mereka.


“Kita biasanya menggantikan cecair yang hilang ini selepas otak memberi isyarat haus yang menandakan badan memerlukan cecair tambahan. Namun, ketika Ramadan kita tidak boleh minum pada siang hari dan hanya boleh berbuat demikian ketika berbuka puasa dan pada sebelah malam,” kata Perunding Dermatologi di Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Nazirin Ariffin.


Tambahnya, penggantian semula cecair yang hilang sewaktu berpuasa sangat penting kerana seseorang memerlukan antara enam hingga lapan gelas atau dua liter air sehari.


Air diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi, merengus, sakit kepala, marah dan lemah. Kekurangan air juga menyebabkan kulit mudah kering lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami masalah ekzema.


Pengambilan cecair tidak semestinya air sahaja, bahkan buah-buahan dan sayur-sayuran.


Jaga berat badan


Jadi, pengambilan lebih banyak air ketika bersahur perlu bagi mengelakkan dehidrasi pada siang hari.


“Ketika berpuasa, usus kita berehat selama beberapa jam serta memberikan masa kepada badan untuk melakukan detoksifikasi, serta memperbaiki dan membentuk semula sel-sel yang rosak.



“Sungguhpun begitu, ramai yang berhadapan dengan masalah kenaikan berat badan semasa bulan puasa disebabkan pengambilan makanan yang salah khususnya semasa bersahur,” ujarnya.


Jelasnya, ada segelintir orang makan pada tengah malam dan kemudian terus tidur kerana tidak mahu bangun sahur lagi.


Cara tersebut adalah salah dan tidak sihat. Dalam Islam, lebih afdal sahur dilewatkan iaitu ketika waktu hampir imsak dan tidak tidur selepas itu sebaliknya terus menunaikan solat Subuh.


Andai mahu menurunkan berat badan, mulakan makan dengan buah-buahan sebelum menjamah makanan lain.


“Membeli makanan di luar seperti bazar Ramadan juga wajar dikurangkan kerana kita tidak tahu apa yang diletakkan di dalam makanan tersebut. Berapa banyak minyak, santan, bahan perasa dan bahan pengawet?



“Namun, jika kita memasak sendiri juadah, kita boleh mengawal jumlah bahan-bahan tersebut dan membuat penggantian ramuan. Contohnya, bagi menggantikan santan, kita gunakan susu rendah lemak dan yogurt,” katanya.
Menyentuh mengenai masalah gastrik pula, Nazirin memberitahu, individu yang mengalami masalah tersebut perlu merujuk kepada doktor.
 

Katanya, penghidap gastrik boleh mengambil ubat gastrik pada waktu malam atau ketika bersahur. Jadi tiada alasan untuk golongan itu tidak berpuasa.


Menurut Nazirin, beliau sendiri mempunyai masalah gastrik, namun baginya berpuasa atau tidak, tiada bezanya. Malah, ketika berpuasa episod gastriknya berkurangan. Ini kerana perut tidak menghasilkan asid berikutan tiada makanan di dalamnya.


Dalam pada itu, Perunding Dietetik, Dr. Indra Balaratnam memberitahu, diet rakyat Malaysia lebih kepada pengambilan karbohidrat dan kebanyakan mereka tidak menitikberatkan pengambilan makanan sihat lagi seimbang.


Kondominium makanan


“Sepatutnya, separuh daripada pinggan kita diisi dengan sayur-sayuran, suku lagi ialah nasi dengan saiz hidangan sebesar tapak tangan dan bahagian suku lagi diisi dengan protein.


“Tetapi orang kita biasanya penuhkan pinggan dengan nasi terlebih dahulu dan lauk di atasnya seperti mahu membina kondominium pula. Keseimbangan pula langsung tiada,” ujarnya sambil memberitahu, pengambilan makanan yang sihat boleh dilihat melalui organ terbesar kita iaitu kulit.


Latih diri untuk mengambil lebih banyak air dan pastikan stok makanan berkhasiat ada di rumah supaya tidak perlu membeli juadah berbuka dengan kerap. Andai terlalu sibuk, masak makanan dan simpan di dalam peti sejuk dan panaskan apabila mahu makan.


“Biasanya apabila tiba musim perayaan, seseorang boleh mengalami pertambahan berat badan antara 3 kilogram (kg) hingga 5kg atau lebih.

“Ini semua berlaku kerana masing-masing mengambil makanan lebih daripada jumlah normal. Tambahan pula pada bulan puasa mereka tidak aktif, tidak melakukan senaman dan tidak banyak berjalan,” katanya sambil memberitahu, pertambahan dan penyusutan berat badan secara mendadak boleh menyebabkan kulit meregang.


Bagi yang menitikberatkan soal kecantikan kulit, mereka seharusnya mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ia mengandungi antioksida semula jadi.


Namun, agak menyedihkan apabila kaji selidik mengenai pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati, lebih 92 peratus rakyat negara ini tidak mengikuti panduan makanan seimbang iaitu tiga sajian sayur dan dua sajian buah-buahan.


“Ketika berbuka puasa jangan makan dengan cepat kerana kita akan berasa senak perut. Makan secara sederhana. Mulakan dengan buah-buahan, sayur, sup dan kemudiannya makanan berat,


“Makan dengan perlahan. Apabila mengunyah perlahan, kita akan lebih menikmati rasa makanan dan itu akan membuatkan kita rasa kenyang,” ujar Indra.


Sumber; Kosmo Online








0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .