Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Modul Prodigy bantu tangani masalah pelajar

Modul Prodigy bantu tangani masalah pelajar

Ramai pihak pas­tinya pening kepala menangani masalah disiplin pelajar yang hingga kini masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

Biarpun diperkenalkan dengan pelbagai mekanisme, belum ada yang begitu ampuh untuk ‘menjinakkan’ pelajar sehingga akhirnya me­ngundang reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat.
Ada pihak menyalahkan institusi sekolah dengan menganggap mereka tidak tegas mena­ngani masalah ini dan ada menuding jari kepada ibu bapa yang dikatakan lepas tangan.

Justeru, di manakah penyelesaian yang wajar dilakukan bagi mena­ngani kemelut ini?



Benarkah isu masalah disiplin pelajar sudah tidak boleh diperbaiki lagi?

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aziz Yatim berkata, adalah mustahil menghapuskan masalah disiplin dalam kalangan pelajar namun tidak bermakna ia tidak boleh ditangani.

Beliau berkata, isu ini bukan baru tetapi se­olah-olah ia masih buntu walaupun pelbagai mekanisme, pendekatan dan modul berbeza diguna pakai.

“Justeru, ramai pihak berasa ‘lelah’ untuk menangani masalah ini hingga timbul tanggapan ia tidak mampu diselesaikan sampai bila-bila.

“Memang isu ini sudah terlalu lama, namun tidak bermakna semua pihak mesti berputus asa. Masih ada penyelesaiannya biarpun kekangannya tidak 100 peratus berjaya,” katanya.

Beliau berkata, masalah disiplin pelajar berlaku disebabkan kurangnya perhatian pihak lain khususnya ibu bapa untuk memahami kehendak anak.

“Kita bukan mahu menyalahkan ibu bapa sepenuhnya, namun ba­nyak kajian membuktikan masalah ini bermula dari rumah.

“Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan masing-masing menjadi punca konflik emosi anak sehingga mencari sumber luar sebagai alternatif kelegaan.

“Selepas itu barulah ia berkait dengan faktor lain seperti pengaruh rakan dan media massa,” kata­nya mengakui berdasarkan kajian dilakukan, ramai pelajar bermasalah dahagakan perhatian dan pelukan daripada ibu bapa mereka.

“Ramai ibu bapa meng­abaikan aspek ini malah guru juga tidak terkecuali. Maaf kalau saya katakan ramai guru di sekolah juga menganggap pelajar ini tiada masa depan.

“Keterasingan itu me­nyebabkan pelajar semakin jauh. Sama ada ibu bapa atau guru, mereka perlu faham bahawa pelajar tidak akan melanggar peraturan andai kata mereka tidak bermasalah,” katanya.

Mengenai mekanisme sedia ada yang dikatakan gagal memberi keputusan melegakan, beliau berkata, semua mekanisme memang mahukan keputusan terbaik.

“Cuma mungkin cara yang digunakan itu gagal menambat hati atau gagal meninggalkan impak mendalam di hati pelajar.

“Buatlah mekanisme terbaik sekali pun, kalau gagal menawan hati pelajar, ia tidak akan berjaya kerana yang ingin dipulihkan ialah diri pelajar itu.

“Pemulihan perlu datang daripada keinsafan dan keinginan hati. Bukan atas dasar paksaan dan perintah yang hanya menimbulkan keinsafan sementara atau dendam tak sudah,” katanya.

Berdasarkan hasil kajian selama hampir 20 tahun, beliau memperkenalkan modul Prodigy iaitu cara pendekatan baru bagi membantu menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, kaedah ini ternyata berlainan dengan pendekatan konvensional kerana dipenuhi elemen kasih sayang, pendekatan ilmiah serta perubahan cara pemikiran serta fizikal dalam menangani pelajar bermasalah.

“Saya buat kajian ini berdasarkan pe­ngalaman sendiri dan mendapati masalah disiplin pelajar tidak boleh diselesaikan sepenuh­nya de­ngan hukuman fizikal mahupun tindakan keras seperti gantung atau buang sekolah.

“Pelajar bermasalah adalah kelompok yang mempunyai ego tinggi dan pendekatan berbentuk kekerasan hanya me­nyebabkan mereka terus memberontak.

“Pendekatan kasih sayang adalah ubat untuk merawat mereka. Kita berikan panduan dan biarlah mereka sendiri membuat keputusan,” katanya.

Optimis bahawa masalah disiplin boleh ditangani dengan pendekatan kasih sayang, beliau juga mengharap­kan agar ibu bapa khususnya memulakan lang­kah memberikan kasih sayang kepada pelajar di rumah.

“Saya tahu ramai ibu bapa sibuk dengan komitmen tapi cubalah peruntukan sedikit masa untuk menjadi kawan kepada anak.

“Kemudian dituruti dengan tindakan guru di sekolah untuk mengukuh­kannya dengan elemen lebih positif.

“Jika semua pihak bertindak mengikut peranan masing-masing, nescaya masalah ini boleh diatasi, sekali gus melenyap­kan tanggapan pelajar bermasalah langsung tidak punya masa depan,” katanya.


Sumber: Harian Metro,  Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/28

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .