Guru Diugut Bunuh
Kuala Lumpur: “Bukan setakat mencari saya di sekolah untuk melepaskan
kemarahan, ada menghubungi dan membuat pelbagai ugutan termasuk mahu
membunuh saya,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina,
Sungai Buloh, Mohamad Nasir Mohd Noor, 57.
Mohamad Nasir kini menjadi mangsa kecaman selepas ada ibu bapa
murid sekolah itu menyebarkan di laman sosial kononnya murid bukan Islam
diarahkan pihak pengurusan sekolah makan dalam tandas sepanjang Ramadan
ini.
Hakikatnya, perkara itu tidak berlaku, sebaliknya pihak pengurusan
SK Seri Pristina menggunakan sebuah bilik persalinan yang baru siap
dibina sebagai kantin sementara sejak Mac lalu bagi menggantikan kantin
sedia ada yang terbabit dalam kerja pembinaan untuk dinaik taraf.
Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, P
Kamalanathan selepas melawat sekolah itu, kelmarin sambil menafikan
berlaku diskriminasi kaum dalam isu ini. Bagaimanapun, kenyataan itu
nyata masih tidak diterima segelintir pihak, sama ada mereka benar-benar
terkeliru atau sengaja mengambil kesempatan untuk terus ‘menyerang’
Mohamad Nasir.
Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian terbaru semalam dia sekali
lagi menerima ugutan daripada individu tidak dikenali menyamar
keluarga murid sebelum menceroboh dalam sekolah dan memaki-hamunnya.
“Kini saya bimbang dengan keselamatan diri hanya kerana salah
faham ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan pelbagai
tohmahan tidak benar dengan niat ingin mencalar imej sekolah ini.
“Saya membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama hari ini
(semalam) bersama enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah bertujuan
menafikan tohmahan saya mengarahkan murid bukan Islam makan dalam
tandas.
“Saya membuat laporan polis kerana tidak mustahil pihak berdendam
dan masih tidak puas hati akan mengupah pembunuh upahan membunuh saya,”
katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, golongan yang masih tidak puas hati itu juga menghina
dan mencerca dalam laman sosial Facebook miliknya dengan perkataan yang
menjatuhkan maruahnya.
Menerangkan situasi sebenar di sebalik tindakan pihak pengurusan
sekolah menggunakan bilik persalinan (yang belum digunakan) sebagai
kantin sementara, Mohamad Nasir berkata ia dibuat semata-mata untuk
keselesaan pelajar. “Apa ditulis dan disebarkan dalam Facebook amat
tidak tepat kerana bilik persalinan dijadikan kantin sementara itu
bersih. Ini kerana ia belum digunakan, malah diubah suai seperti sebuah
dewan makan.
“Bilik persalinan itu bukan hanya digunakan pada Ramadan ini khas
untuk murid bukan Islam, malah sudah digunakan sejak Mac lalu oleh murid
pelbagai kaum termasuk murid Melayu beragama Islam.
“Kami sebagai warga pendidik amat kesal dengan tohmahan itu dan
tertekan akibat fitnah itu yang tersebar luas di laman sosial dan
media,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan
Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan dibuat Mohamad Nasir.
Menurutnya, dua laporan polis dibuat pihak sekolah bagi menafikan
dakwaan yang tersebar di laman sosial terbabit sehingga menyebabkan
mereka tertekan dan menjatuhkan reputasi sebagai pendidik.
“Mereka juga menyatakan akibat kejadian itu guru di sekolah terbabit hilang tumpuan untuk mengajar dalam kelas,” katanya.
Harian Metro difahamkan Mohamad Nasir sudah diarahkan bercuti
seminggu dan kemungkinan akan ditukarkan ke sekolah lain demi
keselamatannya.
Sementara itu, Kalamanathan yang dihubungi Harian Metro untuk
mendapat penjelasan kemungkinan Mohamad Nasir diarahkan bertukar ke
sekolah lain enggan memberi ulasan lanjut.
Beliau berkata, perkara itu dianggap selesai dan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro di sini. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26
Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini
Disclaimer
(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .
0 Comments:
Post a Comment