Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Petua Ibu Bapa Bantu Anak Hadapi Peperiksaan

Petua Ibu Bapa Bantu Anak Hadapi Peperiksaan

Memandangkan kita semakin menuju ke penghujung Tahun 2013. Peperiksaan juga semakin hampir. Peperiksaan Percubaan SPM Pahang telah BERMULA pada 29 Ogos 2013 lalu. Peperiksaan PMR Percubaan sudah pun melabuhkan tirainya. Peperiksaan PMR 2013 akan bermula pada 2 Oktober 2013. Manakala Peperiksaan SPM akan bermula pada 6 November 2013 dengan Kertas BM sebagai kertas peperiksaan pertama yang bakal calon SPM 2013 duduki.

Selain para guru yang semakin sibuk mengadakan kelas tambahan dan latih tubi soalan bentuk peperiksaan sebenar kepada para pelajarnya, para ibu bapa juga digalakkan membuat langkah persediaan bagi anak-anak menghadapi peperiksaan.

Pada saat-saat akhir ini, apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha dan selebihnya berdoa agar dia mampu memberikan yang terbaik. Petua untuk membantu anak menghadapi peperiksaan yang antara lainnya:-
 
1) Doa, fikir, cakap dan yakin anak akan berjaya.
2) Membentuk suasana yang tenang di rumah
3) Pengorbanan ahli keluarga dengan membantu, menemaninya sewaktu belajar dan menutup TV
4) Menyediakan getaran positif untuknya di rumah dengan mengelakkan gaduh, marah & rajuk.



5) Maaf dan doakan guru & kawan-kawan
6) Pesan kepada anak agar mengamalkan rutin harian seperti hari peperiksaan agar tidak terperanjat semasa peperiksaan.
7) Pesan anak supaya menghadap qiblat & baca surah Al Insyirah sebelum belajar
8) Ibu bapa berpuasa, solat hajat dan banyak belajar
9) Nyatakan kita redha dengan keputusannya asalkan dia sudah mencuba yang terbaik
10)Bimbing anak untuk solat taubat, hajat & istikharah untuk mudah belajar dan menjawab soalan peperiksaan
11)Sediakan air penerang hati sebagai booster kepada anak.

Bagi yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan, marilah sama-sama kita amalkan. Juga jangan lupa, kebolehan setiap anak adalah berbeza.

Dorongan Ibu Bapa Bantu Anak Hadapi Peperiksaan 

 


Pupuk budaya membaca, perbanyak amalan kerohanian bimbing pelajar capai kejayaan
LAZIMNYA apabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pencapaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya.

Pada saat begini, ibu bapa biasanya akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Antaranya mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka dan pada masa sama menerima kelebihan selain memperbaiki kelemahan anak.

Ibu bapa juga perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi, tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang serta menguruskan masa dengan bijak.

Di samping itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak, tetapi tidak memberi sokongan atau dorongan ke arah mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka.

Selain mengulang kaji pelajaran di rumah, anak juga perlu digalak belajar secara berkumpulan kerana kaedah itu berkesan untuk meningkatkan pengetahuan dan dapat bersoal jawab jika ada perkara kurang jelas.

Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk.

Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti berkongsi nota, membanding jawapan dan bersaing sesama sendiri secara sihat.

Ibu bapa tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah kerana dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, anak boleh sakit ketika hari peperiksaan dan ini pasti akan menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan.

Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan.

Jika ini dilakukan secara berterusan, Insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa.

Oleh itu, tidak mustahil jika tidak lama dulu kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak sekolah rendah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan. Ibu bapa hari ini boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak.

Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap memuaskan kerana anak Islam hari ini sama ada di bandar atau desa didapati kurang berminat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Sebagai ibu bapa kita perlu mengajak mereka berfikir mengenai senario akan datang.

Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian.

Sebagai permulaan, ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah. Bahan ini ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik.

Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan seperti menyusun perhiasan di ruang tamu supaya dapat dimanfaatkan oleh anak dari semasa ke semasa.

Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat pertama turun kepada Rasulullah SAW ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1)

Ibu bapa memainkan peranan penting mewujudkan budaya membaca. Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan ini, ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga seperti budaya solat, makan dan bercuti bersama.

Dengan cara ini, budaya ilmu itu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah.

Diriwayatkan oleh Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi."

Ibu bapa adalah pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apapun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja.

Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka.

Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal."

Bantu anak mahu periksa

Apabila tiba musim peperiksaan, ibu bapa paling bimbang, apatah lagi jika ini pengalaman pertama mereka mempunyai anak yang bakal menduduki peperiksaan. Apabila kita ada anak, orang sentiasa bertanya pencapaian mereka. Semua orang mahu tahu pencapaian anak kita.'


Anak-anak yang cemerlang dalam peperiksaan disebabkan ibu bapa yang sentiasa menyokong, membantu dan mendoakan mereka.





Sayang sekali jika seorang anak yang mampu cemerlang akhirnya mendapat keputusan biasa saja hanya kerana ibu bapa tidak memainkan peranan yang sepatutnya.


Berikut adalah beberapa peranan yang boleh dimainkan ibu bapa:
1. Fahami tekanan yang wujud. Ibu bapa perlu faham bukan mereka saja tertekan tetapi anak pun mengalami perasaan yang sama.

Tanda-tanda tekanan pada anak seperti kuat atau kurang makan berbanding biasa, lebih atau kurang tidur berbanding biasa, marah-marah, murung, mudah merajuk, banyak menyendiri, kuat menonton televisyen dan menyendiri.

Jika nampak tanda-tanda itu, ibu bapa perlu duduk berbincang dengan anak-anak. Beritahu padanya kita tidak kisah apa keputusan peperiksaannya.

Jika anak tertekan kerana terlalu banyak belajar, minta dia berehat, ajak dia melakukan aktiviti yang berbeza daripada belajar iaitu membabitkan otak kanan.


2. Tingkatkan keyakinan diri anak. Nyatakan padanya dengan jelas bahawa kita yakin dia boleh buat yang terbaik. Rangsang anak agar membuat banyak latihan, latih tubi dan simulasi peperiksaan.

Latihan bertujuan memberikan anak pengalaman menjawab pelbagai bentuk soalan. Dengan banyak berlatih mereka akan biasa dengan format dan bentuk soalan. Latih tubi bertujuan menjawab soalan bagi mengatasi kelemahan.

Simulasi adalah menjawab soalan-soalan peperiksaan tahun lalu atau soalan ramalan dan ditetapkan masa bagi menjawabnya sama seperti dalam peperiksaan sebenar. Ini akan memberikan pengalaman awal kepada anak.

Minta anak belajar secara ‘output’ seperti menceritakan semula, menggambarkan, melakar, mengajar kawan dan membuat kad kuiz.


3. Dorong anak secara positif. Sentiasa melontarkan kata-kata yang baik pada anak dan merangsang mereka dengan kata-kata semangat.

Ceritakan kisah-kisah kejayaan orang lain yang boleh dijadikan contoh. Jika dia perlukan bantuan secara profesional, berilah dia bantuan dengan membawanya berjumpa kaunselor.

Masukkan dia ke program yang boleh memberinya semangat dan kesedaran belajar. Tampal petikan mutiara kata dalam biliknya. Sentiasa ingatkan anak-anak cita-citanya apabila dewasa.


4. Jaga pemakanannya. Berikan anak-anak makanan yang berkhasiat dan tenaga. Utamakan pemakanan sunnah seperti kurma, madu dan susu selain bersarapan. Ramai pelajar yang tidak bersarapan dan membuatkan mereka letih dan malas sepanjang hari.

Pastikan anak minum banyak air kosong kerana otak perlukan banyak oksigen ketika belajar.



5. Berikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada anak. Pastikan waktu belajar mereka dihormati. Ada ibu bapa yang membiarkan saja anak-anak menonton televisyen, bermain komputer dan bising di rumah sedangkan ada anak yang sedang bertungkus-lumus menelaah pelajaran di bilik.


6. Banyak berdoa dan solat hajat kerana doa ibu bapa itu makbul. Ini bagi memudahkan urusan, menerang hati dan cemerlang pelajaran.


7. Kurangkan aktiviti di luar. Jika tiada urusan penting, kurangkan aktiviti di luar seperti balik kampung, makan di luar dan membeli-belah. Lebihkan masa di rumah bagi mengurangkan risiko berlaku sesuatu yang tidak diingini.


8. Nyatakan ganjaran atau hadiah pada anak. Beritahu anak apa yang akan kita hadiahkan atau berikan padanya sekiranya dia mendapat keputusan yang baik.

Malah, jika pencapaian tidak seperti diharapkan, nyatakan pada anak yang kita akan memberi ganjaran usahanya. Mungkin ganjaran itu kecil, namun tetap kita berikan bagi membuktikan yang kita menghargainya.


9. Pastikan anak tidur secukupnya. Ibu bapa perlu rajin menjenguk bilik anak-anak bagi memastikan mereka tidur awal dan bangun awal.

Anak-anak perlu tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari. Ibu bapa perlu faham bahawa apabila menjelang peperiksaan, ada anak-anak suka berjaga malam dan ini menjejaskan jadual hariannya.


10. Berikan anak pelepasan tugas harian. Biarlah anak-anak yang lain atau ibu bapa sendiri yang lakukan kerja rumah dan biarlah anak yang akan menduduki peperiksaan tumpu pada pelajarannya.

Namun, anak itu perlu dimaklumkan bahawa semua pengorbanan itu dilakukan bagi dia. Oleh itu minta dia hargainya dan manfaatkan masa yang diluangkan untuknya.


11. Ambil cuti. Pada hari anak akan menduduki peperiksaan, ambil cuti untuk menghantar dan menemaninya ke sekolah.


Tunjukkan pada anak betapa kita begitu memahaminya bagi memastikan dia lakukan yang terbaik tindakan itu pasti membuatkan anak bangga dan lebih hormat ibu bapanya.


12. Masukkan anak ke program motivasi. MAP Training & Consultancy Sdn Bhd akan menjalankan kursus Motivasi Alihan Pelajar pada 30-31 Ogos 2013 di Marang, Kuala Terengganu.

Pada 14-15 September 2013, kursus diadakan di Kuala Lumpur dan selepas itu pada 21-22 September 2013 di Ipoh, Perak.

Hubungi 016-5580619, 016-5580719, 03-91013622 atau layari www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.

 

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .