Perbaiki kualiti hidup anak terlantar di hospital
Oleh: DR. TEOH HSIEN-JIN
Siri Akhir
BAGI Tasnim, pergi ke hospital sungguh tidak
menggembirakan. Sudah cukup teruk baginya menanggung segala macam
kesakitan, ramai pula orang yang sibuk ke sana ke mari tanpa sesiapa pun
memberitahunya apa yang sedang berlaku. Setelah tiba, dia dipaksa
berbaring di atas katil, dan dilarang bergerak sementara dirinya dicucuk
dan ditujah. Sebilah jarum dicucuk ke lengannya dan sekampit air yang
besar menitiskan sesuatu yang dingin menerusi jarum ke dalam lengannya.
Setiap beberapa minit mesin di sisi katilnya menghasilkan bunyi bip
yang pelik, garisan merah melompat ke atas dan ke bawah pada skrin mesin
itu. Tidak cukup dengan itu, seorang wanita berpakaian biru sesekali
akan datang dan menyumbat termometer ke dalam mulutnya.
Pada hari-hari yang berlalu, Tasnim mendengar doktor yang datang
melawatnya bilabila sahaja dia suka, menyebut sesuatu mengenai leukemia.
Hidup di hospital sungguh membosankan. Tiada rakan untuk bermain. Untuk
tidur agak sukar kerana keadaannya bising dan yang paling teruk, dia
tidak tahu apa yang sedang berlaku kerana tidak ada sesiapa pun yang
memberitahunya.
Yang dia tahu pelbagai orang akan muncul di sisi katilnya tanpa
sebarang pengumuman, dan kemudian sama ada mencucuk atau menusuk sebilah
lagi jarum kepadanya. Ia bukan sahaja menyakitkan, tetapi pengalaman
yang membosankan.
Patutlah rakan-rakan saya kata orang yang pergi ke hospital akan mati, Tasnim memberitahu ibunya.
Pemergian ke hospital sering kali menjadi pengalaman yang melemahkan
semangat bagi ramai kanak-kanak. Mereka hilang kawalan ke atas kehidupan
sendiri disebabkan rutin yang tidak dapat diramal dan kekhuatiran
mengenai sesuatu yang tidak diketahui.
Hasilnya, ramai kanak-kanak benci ke hospital. Bagaimanapun,
kanak-kanak yang sakit akhirnya terpaksa juga ke hospital dan ada banyak
perkara yang ibu bapa, jururawat dan doktor boleh lakukan untuk membuat
keadaannya lebih gembira.
Apabila seseorang anak masuk ke hospital untuk kali pertama, ia
adalah perjalanan yang tidak diketahui. Kita mengandaikan kanak-kanak
tahu bahawa orang pergi ke hospital untuk menjadi sihat. Sebaliknya,
yang mereka ingat ialah masa penantian yang lama, prosedur yang
menyakitkan dan kesakitan. Ini bukan pengalaman yang disenangi dan
akibatnya, kanak-kanak berasa risau dan takut untuk tinggal di hospital.
Hidup dalam wad sering kali menyebabkan mereka cepat marah, bosan,
rindukan rakan-rakan dan sering bimbang bila seseorang kakitangan
perubatan masuk ke dalam bilik. Akibat semua ini, kualiti kehidupan
seseorang anak sering menurun apabila memasuki hospital. Kualiti
kehidupan seseorang boleh diterangkan sebagai tahap kepuasan emosi,
sosial dan fizikal dengan kehidupan.
Situasi hospital tempat kanak-kanak berada sering kali menjadi lebih
teruk apabila melihat ibu bapa mereka bimbang. Umumnya, ibu bapa yang
membawa anak mereka ke hospital selalu risau, bimbang dan khuatir
mengenai diagnosis dan hasil rawatan. Mereka sangat risau mengenai
kesihatan anak mereka dan menyerahkan hidup anak itu dengan penuh
kepercayaan ke tangan kakitangan perubatan.
Ketika di hospital, seorang ibu atau bapa selalu menemani anak. Ibu
atau bapa yang berada di hospital terpaksa mengambil cuti dan
mengorbankan masa yang dahulunya diluangkan dengan ahli keluarga lain.
Ketika cuba menyesuaikan diri dengan rutin wad yang seolah-olah tidak
dapat diramal di mana ibu atau bapa selalu tidak pasti apa yang doktor
dan jururawat akan katakan selepas itu, ibu bapa menjadi keletihan di
segi fizikal dan emosional. Kualiti kehidupan mereka juga merosot. Anak
yang melihat tingkah laku dan emosi ibu bapa mereka mula berasa tidak
berupaya.
Memang malang kualiti kehidupan kanak-kanak sering menurun ketika
berada lama di hospital. Dalam proses ini, ramai yang berasa tidak
berupaya kerana seluruh hidup dan rutin adalah dalam tangan kakitangan
wad. Kunjungan untuk prosedur yang menyakitkan dan terpaksa memakan ubat
yang rasanya tidak disukai tidaklah dapat diramalkan dan ini
mengukuhkan lagi perasaan tidak berupaya itu. Penyelidikan menunjukkan,
apabila seseorang berasa tidak berupaya akibat penurunan kualiti
kehidupan, sistem imun mereka lemah dan menjadi terdedah terhadap
penyakit. Ini melambatkan kadar penyembuhan dan kanak- kanak itu mungkin
memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh. Ini bukan berita baik
memandangkan kanak-kanak sepatutnya ke hospital untuk menjadi lebih
baik.
Ada beberapa perkara yang kakitangan perubatan boleh lakukan untuk
meningkatkan kualiti kehidupan anak yang tinggal di wad. Seseorang
manusia bukan setakat entiti fizikal, tetapi juga dipenuhi dengan emosi
dan perasaan. Penjagaan perubatan perlu mempertimbangkan kedua-dua aspek
ini dalam seni penyembuhan. Ia bermula dengan penerangan mengenai
masalah perubatan dan prosedurnya dalam istilah yang mudah difahami
oleh ibu bapa.
Seseorang profesional perubatan yang empatik memang meluangkan masa
untuk pesakitnya. Dalam bidang psikologi klinikal, adalah menjadi
falsafah bahawa rawatan ke atas anak turut memasukkan unsur yang
membantu ibu bapa yang menjaga anak itu. Selain itu, sesetengah
struktur dalam sesuatu hari yang patut diberikan pada anak itu ialah
jangkaan masa makan, masa prosedur dijalankan, dan masa doktor dan
jururawat melawat. Ini menimbulkan suasana yang boleh diramal yang mana
akan membuat pesakit dan keluarganya berasa lebih selesa.
Akhir sekali, hidup seseorang anak di wad juga memerlukan sedikit
persamaan dengan kehidupan di rumah. Rutin wad boleh diwujudkan dan ini
termasuk masa bermain, bersosial, makan, berehat, menonton televisyen,
membaca, melawat, prosedur dan belajar. Sesetengah wad kanak-kanak malah
mempunyai sekolah hospital di mana kanak-kanak yang tinggal lama
dikehendaki terus belajar dengan jumlah kerja akademik yang terhad.
Penyelidikan menunjukkan bahawa rutin dapat membantu mewujudkan
penetapan jangka waktu dan ini mengurangkan tahap perasaan murung dalam
kebanyakan kanak- kanak yang tinggal di wad.
Kebanyakan tanggungjawab menjaga anak di wad tetap menjadi
tanggungjawab kakitangan perubatan. Bagaimanapun, ada banyak perkara
yang ibu bapa boleh lakukan untuk menyokong usaha mereka. Sesetengah
cadangan yang boleh membantu termasuk membentuk suatu struktur dan
jadual waktu ketika anak berada di wad. Ini perlu dilakukan secara
bekerjasama dengan kakitangan perubatan dan harus perlu memasukkan masa
untuk bermain, belajar dan berehat, di samping aktiviti perubatan dan
pengemasan yang perlu.
Ibu bapa patut membawa buku-buku, alatan dan permainan bagi
mewujudkan aktiviti untuk anak itu. Di mana yang boleh, cuba ikhtiarkan
supaya anak itu berinteraksi dengan kanak-kanak lain di dalam wad.
Mempunyai rakan bermain dan berbual dapat membantu meningkatkan semangat
anak itu. Sebagai sebahagian daripada struktur, ibu bapa boleh membantu
menguruskan lawatan oleh saudara-mara dan rakan-rakan pada waktu yang
ditetapkan.
Semua ini memeras kesihatan dan emosi ibu bapa. Oleh itu sebahagian
besar dalam menjamin kualiti kehidupan anak ialah untuk memastikan ibu
bapanya sihat. Ibu bapa boleh mencapai ini dengan cuba bersikap optimis
dan ceria, berhenti seketika untuk berehat sesekali dan saling menyokong
satu sama lain dalam masa krisis.
Sumber; Utusan online
Lepasan STAM berpeluang ke Universiti Islam Madinah
AL-QURAN adalah mukjizat yang tidak ternilai hikmahnya dan
dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. untuk disampaikan
kepada umat manusia.
Malah sejarah ketamadunan dan kegemilangan peradaban Islam bermula
dengan kelahiran para ilmuan dan cendekiawan Islam yang menguasai
pelbagai cabang ilmu sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran.
Atas kelebihan inilah maka Islam menuntut agar sekelian umatnya
tidak mengabaikan kepentingan al-Quran walau di mana mereka berada
sekalipun. Hakikatnya, al-Quran itu adalah satu cara hidup.
Menyedari peri pentingnya al-Quran dalam membina kekuatan, kestabilan
serta ukhuwah umat Islam, maka kewujudan School of Tahfiz al-Quran
& Arabic Malaysia (STAM) di atas tanah seluas satu hektar bertujuan
melahirkan generasi al-huffaz, berakhlak mulia dan bertakwa.
STAM adalah sebuah institusi pendidikan swasta peringkat sekolah
menengah yang menawarkan program pendidikan seimbang antara duniawi dan
ukhrawi. Pembinaan STAM yang berkonsepkan tahfiz dan sains adalah antara
keunikan yang cuba diketengahkan sejak memulakan operasinya pada awal
2006.
Apa lagi dengan lokasinya yang agak strategik iaitu jauh daripada
hiruk-pikuk kehidupan di kota diyakini satu nilai tambah dalam usaha
melahirkan generasi profesional huffaz yang mengamalkan al-Quran dan
sunah dalam semua aspek kehidupan seharian. Ini sejajar dengan moto STAM
iaitu al-Quran-The Way of Life.
Yang pastinya, tujuan pembinaan STAM itu adalah untuk memberi
pendidikan kepada pelajar-pelajar agar cemerlang dalam pelajaran sains,
agama dan pada masa yang sama boleh menghafal dan menguasai al-Quran.
Menurut Penolong Kanan STAM, Aman Ahmad, semua pelajar baru
diwajibkan menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dalam tempoh kurang
dari satu tahun kerana kedua-dua bahasa ini dijadikan bahasa pengantar
di STAM.
Mata pelajaran di sini bersifat bersepadu iaitu merangkumi mata
pelajaran akademik, al-Quran, hafazan serta bahasa Arab dan agama. Para
pelajar dibahagikan kepada dua kategori.
Kategori pertama, menengah bawah bagi pelajar yang berumur 15 tahun
ke bawah. Sebanyak 70 peratus terdiri daripada komponen agama dan
hafazan manakala bakinya ialah komponen akademik. Bagi menengah atas
iaitu 15 tahun ke atas, peratusannya adalah sebaliknya.
Menurut Aman, dalam program pendidikan ini, pelajar-pelajar akan dididik dengan kemantapan dari segi rohani dan jasmani.
Malah ia menekankan kepada dua aspek berbeza tetapi digabungkan dalam satu sistem, Integrasi Pendidikan.
Menghafaz
Program ini juga mewajibkan semua pelajarnya menghafaz 30 juzuk
al-Quran selama tidak lebih tiga tahun, jelasnya semasa ditemui di
STAM di Lot 1456-2, Jalan Cempaka off Jalan Teratai, Sungai Ramal Dalam,
Kajang, baru-baru ini.
Namun sebelum diterima masuk ke STAM kata Aman, setiap pemohon akan
melalui Ujian Kelayakan Pelajar (UKELP) pada setiap sesi pengambilan
pelajar baru.
Dua aspek yang akan dinilai ialah tahap akademik dan tahap penguasaan
al-Quran mereka. Ini kerana para pelajar tidak diletakkan mengikut umur
tetapi kepada tahap kemampuan atau kebolehan mereka.
Kemudian, ibu bapa dan pelajar akan ditemuduga secara lisan. Semua
syarat ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak tetapi
sekurang-kurangnya kami mengetahui kelebihan dan kekurangan pelajar agar
dapat dibantu bersama.
Pun begitu, belum pernah lagi kami menolak mana-mana permohonan
pelajar kerana kami memahami setiap masalah terutamanya dari segi
disiplin atau kewangan. Kami mahu berlaku adil kepada setiap pelajar
serta tidak mengetepikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan, kata
Aman yang turut dibantu sembilan tenaga pengajar.
Tambah beliau, tiga daripadanya adalah guru tahfiz dan selebihnya
guru akademik. Mereka terdiri daripada kalangan siswazah lulusan
universiti yang diiktiraf kerajaan dan boleh mengajar dalam bahasa Arab
dan bahasa Inggeris.
Sehingga kini seramai 30 pelajar di STAM yang terdiri antara umur
lapan hingga 15 tahun sama ada yang tinggal di asrama atau mengikuti
kelas harian disediakan silibus akademik daripada sistem pendidikan
nasional. Komponen Arab terbahagi kepada dua silibus iaitu peringkat
sekolah rendah menggunakan silibus Arab Saudi dan silibus dari al-Azhar
untuk peringkat menengah.
Kami mengambil silibus dua negara ini bukan suka-suka sahaja.
Sebenarnya pihak STAM mempunyai hubungan langsung dengan Universiti
Islam Madinah (UIM). Ini bermakna pelajar lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) yang sedang mengikuti tingkatan enam rendah akan
mengambil peperiksaan dari UIM.
Mereka yang lulus ujian kemasukan ini berpeluang menyambung
pengajian aliran sains dengan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab
Saudi sepanjang tempoh pengajian. Kerjasama ini sebagai sokongan
merealisasikan harapan pihak UIM melahirkan sebanyak mungkin cendekiawan
Islam yang meliputi bidang sains agar terhasilnya saintis Islam,
ujarnya.
Para pelajar juga diberi penekanan dalam aspek disiplin sejak awal bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Yang menariknya, para pelajar ini didedahkan dengan kaedah hafazan
yang mempunyai beberapa peringkat. Mereka diberi tempoh tiga hingga enam
bulan bagi melancarkan bacaan al-Quran sekurang-kurangnya sebanyak tiga
kali. Ia sebagai panduan bagi memudahkan mereka menghafaz al-Quran.
Amalan
Tempoh tiga bulan berikutnya, mereka perlu pula menghafaz juzuk Amma
diikuti surah-surah pilihan atau utama yang menjadi amalan harian
seperti al-Waqiah, Yasin, al-Mulk, al-Dukhan, al-Insan, al-Kahfi,
al-Rahman dan al-Sajdah. Setelah menguasai semua surah penting itu, para
pelajar akan meneruskan dengan menghafaz al-Quran.
Menyentuh tentang kemudahan asas yang terdapat di STAM, Aman berkata,
terdapat makmal sains, perpustakaan, bilik komputer, kelas-kelas yang
berkonsep terapung, asrama yang boleh menampung sehingga 250 orang
pelajar, dewan makan, musalla (surau), bilik pentadbiran, padang dan
rumah guru-guru.
Selain itu, kata Aman lagi, menjadi cita-cita STAM untuk tidak
membataskan jurang antara produk mereka dengan pelajar di sekolah biasa
kerana institusi itu yakin dapat melahirkan pelajar yang boleh menghafaz
al-Quran dan pada masa sama memperoleh pencapaian akademik
membanggakan.
Di samping itu, para pelajar juga diberi peluang menyertai kegiatan
ko-kurikulum seperti praktikal khutbah, sajak dalam bahasa Arab dan
bahasa Inggeris. Ia secara tidak langsung dapat membina keyakinan para
pelajar itu.
STAM juga merancang menggunakan sebahagian daripada tapak di kawasan
sekolah untuk dijadikan taman botani untuk bercucuk tanam dan ternakan
ayam. Matlamatnya, hasil daripada usaha sekolah ini dapat dimanfaatkan
kepada sekolah sekali gus memberi kemahiran baru kepada pelajar.
Kata Aman lagi, STAM turut menyediakan kelas intensif hafazan dan
al-Quran khas kepada lepasan SPM selama tiga bulan dan mereka akan
tinggal di asrama.
Buat masa ini ia terbuka kepada pelajar lelaki. Objektif kami dalam
tempoh tersebut mereka mampu menghafaz 15 surah dan 10 juzuk al-Quran
selain menguasai ilmu fardu ain, fardu kifayah, fikah dan asas bahasa
Arab.
Kami turut membuka kelas-kelas bahasa Arab untuk lelaki dan
perempuan. Kelas ini akan dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula 10
pagi hingga 12 tengah hari, jelas Aman yang bercadang mengurangkan
yuran bermula tahun depan.
Ini bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan menghantar anak-anak mereka bersekolah di STAM.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai STAM boleh
menghubungi mereka di talian 03-8734 3125 atau 019-692 6033 serta
019-280 5879.
Sumber Utusan Malaysia 9/8/2006
Ramai guru berpenyakit akibat stres
KUALA LUMPUR 28 Mac - Ramai guru di Malaysia kini menghidap penyakit
barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung malah sedang mendapat
rawatan psikiatri kerana semakin stres akibat bebanan tugas yang
meningkat.
Guru wanita lebih ramai dihidapi penyakit berbanding dengan guru
lelaki malah guru muda juga tidak terkecuali dalam mendapatkan
penyakit-penyakit tersebut.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP),
Loke Yim Pheng berkata, andaian ini adalah berdasarkan tuntutan insurans
yang telah dibuat oleh guru-guru sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, setiap tahun sebanyak RM2 juta tuntutan insurans telah
dibuat oleh hampir 50 guru dengan nilai dari RM44,000 hingga RM120,000.
``Punca penyakit yang dihadapi oleh guru-guru ini dipercayai
disebabkan oleh bebanan kerja yang membawa kepada stres sehingga
menjejaskan kesihatan guru dan ini diakui oleh guru-guru melalui
pertemuan dengan kesatuan.
``Sebagai kesatuan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan guru,
perkara ini perlu ditangani kerana jika guru tidak sihat dan
produktiviti menurun, bagaimana untuk meneruskan tugas mengajar anak
bangsa,'' katanya kepada pemberita pada Persidangan Pendidikan Malaysia
ke-10 di sini hari ini.
Menurut Loke Pheng, guru-guru yang mengajar di bandar-bandar besar
seperti terutama Kuala Lumpur dan di kawasan pedalaman adalah bilangan
yang banyak diserang stres sehingga ada yang perlu mendapatkan rawatan
psikiatri.
``Sebagai contoh, ada seorang guru akan keluar kelas setiap kali
hujan semata-mata untuk melihat hujan sehingga ia berhenti dan satu lagi
kes ialah ada guru yang tidak suka pergi ke sekolah,'' jelasnya.
Tambah beliau, bagaimanapun, kedua-dua kes itu telah pun dirujukkan ke Jabatan Pelajaran Negeri untuk mendapatkan kaunseling.
``Satu kajian telah dibuat oleh NUTP pada tahun lalu mengenai stres di kalangan kakitangan perguruan.
``Sebanyak 9,328 orang telah memberi maklum balas yang terdiri
daripada guru kelas, pengetua, pensyarah dan pegawai Jabatan Pelajaran
di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
``Daripada kajian itu, sebanyak 69 peratus responden bersetuju bahawa mereka bekerja dalam keadaan stres,'' katanya.
Menurut beliau lagi, faktor tertinggi yang menyebabkan stres ialah
tekanan daripada ibu bapa dan pelajar yang sering menimbulkan masalah
sehingga ada yang ingin menyaman dan membawa kes kesalahan guru ke
mahkamah.
Tambah beliau, faktor lain ialah bebanan kerja dan prospek kenaikan
pangkat yang tidak mencukupi iaitu daripada 320,000 guru, hanya 40,000
kekosongan sahaja untuk kenaikan pangkat.
``Oleh kerana peluang kenaikan pangkat terlalu sedikit, maka ramai
guru yang kecewa sehingga ada yang menjadi guru kelas biasa sehingga
bersara.
``Begitu juga dengan ketidakadilan dalam penilaian kenaikan gaji oleh pengetua sedangkan prestasi guru cemerlang.
``Apabila guru stres, maka perkara-perkara yang tidak diingini akan
berlaku seperti meluahkan kemarahan kepada pelajar atau mendenda pelajar
bagi melepaskan perasaan tertekan tersebut,'' ujarnya.
Yim Pheng berharap kementerian melihat perkara ini secara serius
kerana kini guru melakukan pelbagai kerja sehingga membawa kemudaratan
kepada kesihatan dan mental.
Sumber; Utusan Malaysia,29/03/2006
Bantu kanak-kanak mengatasi kesedihan
Oleh: DR. TEOH HSIEN-JIN
SORAYA tidak bercakap banyak ketika ibunya meninggal
dunia. Dia merenung jasad ibunya sambil membisu, memegang tangan kaku
dan dingin yang suatu ketika dahulu pernah bermain dengannya dan
menyuapkannya.
Ketika perkabungan, saudara-mara dan ramai orang yang tidak dikenali
datang memeluknya. Disebabkan tiada balasan daripadanya, ramai yang
menyangka dia bisu.
Hanya ketika jenazah ibunya diturunkan ke liang lahad dan tanah serta
bunga ditaburkan, barulah ada sedikit tanda bahawa seorang anak yang
dikenali sebagai Soraya hadir di segi semangat.
Air yang tergenang di matanya mengalir turun ketika tiba masa untuk
melangkah pergi, tetapi hanya itulah sahaja yang dapat dilihat. Akhirnya
dia membisu kembali seperti sebelumnya.
Dalam minggu-minggu selepas pemergian ibunya, guru sekolah rendah, Soraya semakin khuatir mengenai tingkah lakunya.
Gadis kecil yang dahulunya petah mengajukan pelbagai soalan dan
sentiasa berbual dengan kawan-kawan kini tidak menunjukkan emosi.
Memang benar, dia tetap menyelesaikan kerja rumah dan menyerahkan
tugasan mengikut masa, namun semua itu dibuat bagaikan mesin yang tiada
perasaan.
Dia tidak bermain atau berinteraksi dengan kawan-kawan, hanya duduk
menyendiri di satu sudut ketika waktu rehat sambil merenung kosong pada
bukunya.
Keadaan di rumah kurang baik kerana banyak perkara yang bapanya
terpaksa lakukan di tempat kerja di samping menguruskan barangan milik
Allahyarham ibunya. Tambahan lagi, bapanya bercadang hendak mengahwini
isteri baru.
Berhadapan kematian mana-mana makhluk hidup bukan satu tugas yang
senang, tidak kira sama ada ia adalah kematian ibu atau bapa, saudara,
adik-beradik atau haiwan kesayangan. Dalam semua kes, kanak-kanak
merasai kesan emosi dan kesedihan.
Ramai orang dewasa berasa sedih ketika berhadapan dengan anak yang
kesedihan kerana orang dewasa itu sendiri tidak mampu menangani
kematian, dia resah ketika terpaksa menghadapi anak itu.
Kesedihan adalah bahagian biasa dalam mengatasi kehilangan yang tersayang.
Ia adalah sebahagian daripada proses penyembuhan supaya menerima
sesuatu kehilangan, dan sebahagian daripada proses yang diambil oleh
seseorang untuk kembali pada rutin sebelum ini.
Bagaimanapun, ketika ada banyak isu yang belum selesai atau tidak
dikenali, kesedihan boleh menjadi bermasalah. Selepas beberapa bulan,
sesetengah gejala fizikal mungkin termasuk perubahan selera, gangguan
tidur dan sakit.
Gejala emosi pula terdiri daripada hilang tenaga, tidak boleh
menumpukan perhatian, lebih suka menyendiri, naik angin yang tidak dapat
dijangka (iaitu marah, menangis), mimpi dan ulang kembali mengenai si
mati, sukar membuat keputusan, kesedihan yang mendalam termasuk ingin
mati supaya boleh bersama-sama dengan si mati.
Bila kesedihan menjadi bermasalah, anak yang kesedihan itu memerlukan bantuan seorang pakar kesihatan mental yang profesional.
Bagaimana seseorang anak menangani kesedihan bergantung pada beberapa
perkara. Ini termasuk cara mereka belajar mengatasi ketegangan dalam
hidup mereka sebelum kejadian sedih itu.
Kualiti perhubungan mereka dengan si mati adalah penting. Umumnya,
lebih rapat mereka dengan si mati, lebih besar impak kehilangannya.
Keadaan di mana yang tersayang itu mati juga penting. Bila seseorang
itu sakit untuk beberapa waktu, ada banyak masa untuk mengucapkan
selamat jalan, manakala jika kematian itu adalah mendadak ia
mengejutkan setiap orang.
Dalam banyak kes, kepercayaan agama dan adat etnik membuat anak-anak
itu tahu cara bersedih yang sesuai. Mereka melakukan ini dengan
memerhatikan bagaimana ahli keluarga mereka bersedih.
Akhir sekali, sokongan emosi yang anak itu terima daripada keluarga
terdekat dan keluarga jauh serta rakan-rakan memainkan peranan dalam
menentukan berapa lama anak itu akan bersedih.
Dalam proses kesedihan, ada beberapa perkara yang penjaga boleh
lakukan untuk membantu anak mereka mengatasinya dalam cara yang lebih
terapeutik.
* Galakkan supaya meluahkan emosi yang mendalam di persekitaran yang selamat
Memang membantu untuk membenar dan menggalakkan anak itu meluahkan emosinya.
Tanyakan dengan lembut mengenai perasaannya, dan nyatakan bahawa
tidak mengapa jika dia berasa sedih dan menangis. Jangan ubah pertanyaan
itu menjadi satu soal siasat.
Berikan sokongan yang diperlukan menerusi tindakan mendengar yang tiada sebarang anggapan.
Ketika menggalakkan anak itu meluahkan emosinya, ada baiknya jika
diluangkan masa untuk mendengar dengan penuh perhatian dalam cara yang
tiada sebarang anggapan.
Jangan cuba memberikan nasihat, atau memberitahu anak itu bagaimana
dia patut merasanya. Hanya mendengar dan menerima bahawa itulah cara
yang anak itu rasai.
* Galakkan anak mengingati kembali peristiwa
Dalam masa meluahkan emosi, galakkan anak itu mengingati kembali
masa-masa gembira yang dialami bersama si mati. Anak itu akan ceria
sebentar ketika mengenang kembali peristiwa-peristiwa ini.
Kenangan yang positif adalah penting kerana kanak-kanak perlu mampu
menyimpan bahagian yang penting mengenai si mati yang disayanginya.
Kenangan positif menunjukkan bahawa setiap kehidupan mempunyai
bahagian yang positif dan kenangan ini adalah warisan si mati yang perlu
disimpan dan dihargai.
* Akui kekesalan dan perasaan
Sering kali, anak itu mungkin berasa kesal kerana telah bersikap
nakal dan membuatkan si mati sakit serta lemah hingga menyebabkan
kematiannya.
Akui bahawa anak itu mungkin ada kekesalan ini tetapi yakinkan bahawa bukan dia yang menyebabkan kematian si mati.
Cuba bersikap konstruktif dan tumpukan perhatian ke atas sesuatu yang positif seperti apa yang si mati mahu anak itu lakukan.
* Galakkan anak yang lebih tua supaya menyimpan diari atau melukis pada setiap hari
Sesetengah anak yang lebih tua mendapati bahawa meluahkan perasaan
dan emosi mereka menerusi penulisan dan melukis gambar adalah
terapeutik.
Ada baiknya untuk membeli sebuah buku latihan, di mana anak boleh
melekatkan gambar si mati dan menulis diari atau surat pada si mati pada
setiap hari.
Dalam kes lain, kertas lukisan boleh dibeli dan anak itu digalakkan supaya melukiskan perasaan mereka.
Ketika melakukan demikian, dia memindahkan emosi yang dinamakan
kesedihan menjadi satu latihan konstruktif yang mampu memulihkan emosi
dan perasaannya.
* Membenarkan anak mengucapkan selamat jalan
Mengucapkan selamat jalan adalah bahagian paling penting dalam
menangani kesedihan. Ia membenarkan anak memutuskan perapatan emosi
dengan si mati dan bergerak maju ke hadapan.
Kadangkala, masa perkabungan bukan waktu terbaik untuk seseorang anak mengucapkan selamat jalan.
Sesetengah kanak-kanak boleh menulis surat, dan mengeposkannya. Yang lain pergi ke tempat upacara agama dan menyalakan lilin.
Malah ada pula yang lebih suka mengunjungi dan membersihkan kubur
sebelum mengucapkan selamat jalan. Umumnya, tiada satu kaedah yang betul
atau salah untuk mengucapkan selamat jalan.
Setiap cara membawa erti khusus yang tersendiri bagi anak yang sedang
kesedihan itu. Dengan membantu seseorang anak mengucapkan selamat jalan
secara peribadi, ibu atau bapa itu menggerakkan anaknya dengan lembut
ke arah peringkat kedewasaan yang seterusnya.
Sumber; Utusan Online, 23/4/ 2006
Menangani tekanan rakan sebaya di sekolah
Oleh Dr. Teoh Hsien-Jin
Siri kelapan
SURESH, umumnya seorang budak yang sungguh baik
tingkah laku sehinggalah dia memasuki Tahun 2. Dia mula mempamerkan
tingkah laku buruk daripada mencuri hinggalah mengejek kanak-kanak lain.
Pada suatu hari, dia pernah menarik kerusi daripada seorang budak
hingga menyebabkannya terjatuh dan cedera. Dia dimarahi oleh gurunya,
hampir dibuang sekolah oleh pengetua dan dipukul teruk oleh bapanya.
Akhirnya, ibu Suresh duduk dengannya dan mendapat tahu bahawa dia
melakukan kenakalan itu semua kerana disuruh oleh rakan-rakan. Ramai
kanak-kanak melakukan kenakalan kerana desakan rakan-rakan.
Sering kali, kanak-kanak yang tersinggung tidak mahu melakukan
kenakalan itu tetapi terpaksa berbuat demikian kerana takut kehilangan
rakan, ataupun kenakalan itu membuat mereka berasa bagus di hadapan
kumpulan rakan-rakan.
Mempunyai rakan adalah penting bagi kebanyakan kanak-kanak. Ia
membuat mereka berasa diperlukan dan istimewa, dan mereka suka menjadi
sebahagian daripada sebuah kumpulan yang besar.
Ia memberikan mereka satu identiti, dan di dalam proses itu rakan
memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku satu sama lain.
Sering kali ada tingkah laku tidak terucap yang penting bila menjadi
sebahagian daripada sebuah kumpulan, dan kanak-kanak cuba
bersungguh-sungguh untuk melakukan tingkah laku ini supaya dapat berada
di dalam kumpulan itu.
Ia lebih kurang sama seperti orang dewasa yang ingin menyertai
sesebuah kelab, persatuan atau parti politik, mereka bersetuju mematuhi
semua undang-undang dan peraturannya tanpa soal jawab.
Membantu kanak-kanak mengatasi tekanan rakan sebaya yang memaksa
tingkah laku negatif bermula dengan membantu mereka memahami erti
sebenar persahabatan.
Ramai ibu bapa terkejut apabila diminta membantu anak mereka memahami
konsep ini. Realitinya, tidak ramai kanak-kanak tahu apa sebenarnya
rakan sejati. Mereka fikir rakan adalah untuk bermain dan menjadi teman.
Oleh itu mereka berasa terhutang budi pada rakan.
Ibu bapa boleh mula menerangkan pada anak-anak apa sebenarnya
persahabatan. Sesetengah isu yang ibu bapa boleh sentuh melibatkan
bagaimana rakan harus menjaga hati dan bersedia mendengar dan menerima
perasaan hati anda.
Tambahan lagi, rakan cuba melihat kebaikan yang ada pada diri anda.
Ketika masa sekolah dan masa bermain, mereka berkongsi barang dan mahu
meluangkan masa dengan anda. Ketika anda memerlukan bantuan, anda boleh
meminta bantuan daripada mereka.
Positif
Biasanya, apa yang ibu bapa boleh lakukan ialah menerangkan perkara
yang di atas tadi satu per satu, dan menyuruh anak itu berfikir jika
budak-budak yang memberi tekanan padanya itu adalah rakan sejati atau
tidak.
Apa yang sering berlaku selepas latihan sebelum ini ialah kebanyakan
kanak-kanak akan mengatakan jika budak-budak yang memberi tekanan
padanya itu tidak menjadi rakannya, di mana pula dia hendak mencari
rakan lain?
Pada saat ini, ibu bapa boleh membantu anak memikirkan cara-caranya
iaitu sama ada menggantikan mereka yang memberi tekanan itu, atau
membantu anak mencari rakan baru.
Membantu anak mencari rakan baru bererti mengajar anak itu beberapa kemahiran yang akan membantunya membina persahabatan.
Sesetengah daripada kemahiran ini ditumpukan ke arah menggalakkan anak menjadi orang yang lebih positif serta empati.
Ibu bapa boleh mencadangkan bahawa bila berkomunikasi dengan rakan
baru, anak itu boleh belajar senyum, mengajukan soalan yang sopan,
menerima perasaan rakan baru, mendengar dan membiarkan rakan bercakap
tanpa gangguan, berkongsi barang, dan bercakap baik mengenai orang lain.
Sudah tentu, anak tidak boleh diharap untuk mengetahui cara menyebut
semua ini secara sendirian, oleh itu ibu bapa harus menunjuk dan
melakonkan tingkah laku ini bersama anak itu.
Untuk cuba mengubah budak-budak yang memberi tekanan, anak itu boleh
mula menggunakan kemahiran komunikasi yang diterangkan di atas.
Tambahan lagi, ada baiknya jika anak itu belajar beberapa kemahiran
yang boleh membantunya mengatakan tak nak terhadap tingkah laku buruk
dalam cara yang tidak agresif. Kemahiran ini dinamakan ketegasan.
Ketegasan adalah kemahiran mudah yang membabitkan memberitahu
seseorang bagaimana tindakan mereka memberi kesan pada anda, dan apa
yang anda akan lakukan jika keadaan adalah sebaliknya.
Ini adalah cara penyampaian hasrat seseorang pada orang lain dalam
cara yang tidak agresif. Di sini ada beberapa contoh yang ibu bapa perlu
cadangkan supaya anak itu lakukan.
Anak boleh mula dengan memberitahu budak-budak yang memberi tekanan
ke atasnya itu bagaimana perasaannya mengenai tindakan mereka.
Pernyataannya boleh dikatakan seperti ini, Setiap kali awak suruh
saya melakukan perkara jahat pada James, saya risau itu akan
mencederakan dia.
Kemudian, anak itu boleh menyatakan apa yang dia suka lakukan, dan
apa yang dia boleh lakukan untuk rakan-rakannya. Jika awak berhenti
menyuruh saya melakukan perkara jahat pada James, saya akan berkongsi
gula-gula dengan awak.
Kadangkala tindakan ini berhasil, dan kumpulan budak-budak itu sedar
bahawa adalah lebih baik untuk tidak menekan anak itu lagi dan membalas
dengan tingkah laku positif bagi mendapatkan ganjaran.
Bagaimanapun, ada ketikanya kumpulan budak-budak ini terus memberi
tekanan pada si anak. Pada ketika ini, anak perlu sedar bahawa ini
adalah apa yang dikatakan buli.
Dia jangan lagi pedulikan mereka dan terus melaporkannya pada guru
bahawa mereka cuba memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak diingininya.
Masalah
Tindakan akhir ini agak sukar untuk diikuti oleh anak itu, dan ibu
bapa bukan sahaja terpaksa melakonkan peranan dalam tindakan ini dengan
anaknya tetapi juga berbincang dengan guru kelas.
Bantuan guru itu boleh diminta untuk respons terhadap anak bila dia meminta bantuan ketika berhadapan dengan buli.
Kanak-kanak perlu diberitahu bahawa tekanan rakan sebaya akan
berterusan jika anak itu mengalah pada rakan. Anak itu mesti faham
bahawa jika dia melakukan kenakalan, dia yang akan dipersalahkan, bukan
rakannya.
Rakan-rakan hanya mempergunakan dia. Untuk sebab ini anak-anak perlu
memastikan bahawa rakan-rakan tidak mengambil kesempatan ke atasnya.
Menangani tekanan rakan sebaya adalah satu masalah yang ibu bapa
perlu bantu anak-anak mereka mengatasinya ketika mereka masih kecil.
Jika dibiarkan berterusan, masalah akan menjadi lebih teruk.
Suatu hari nanti, kanak-kanak yang telah biasa mengalah dengan
tekanan rakan sebaya mungkin terlibat dalam gangsterisme, dadah dan seks
remaja.
Kanak-kanak yang ibu bapa berjaya mengajar mereka menangani tekanan
rakan sebaya ini ketika mereka masih kecil adalah berada dalam kedudukan
yang baik untuk mengatasi ketegangan dalam jangka masa panjang.
Sumber; Utusan, 30/04/2006
Disclaimer
(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .