By Cikgu Ma Thursday, May 16, 2013
Dunia Gadis, jiwa remaja, kaunseling individu, kecelaruan identiti, kecelaruan seksual, Kemahiran Hidup, Kembali Kepada Al Quran, LGBT, Pendidikan Perkembangan Remaja, pengurusan cinta
Zina sejenis Dilema ketagih seks sejenis
Entry ini saya petik daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr
Sapora Sipon. Ia dimuatnaik di sini sebagai kemudahan untuk membuat
rujukan dan renungan bersama.
Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro.
Saya pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota. Masalah saya ialah terbabit dengan hubungan sejenis.
Mula-mula hanya ringan-ringan dan suka-suka, akhirnya kini saya
terjebak lebih jauh. Saya boleh dikatakan sudah ketagih seks bersama
rakan wanita saya.
Saya dalam dilema kerana takut pelajaran terganggu kerana ketagihan
itu. Malah, saya sudah beberapa kali terlanjur dengan rakan serumah
apabila kesunyian.
Tolonglah saya Dr. Saya sudah tidak tahu apa yang harus saya
lakukan. Saya harap agar saya dapat mengubah kehidupan saya yang pahit
ini.
PENYESALAN SEORANG PEMBAWA HIV (TRUE STORY)
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Khusus untuk pelajar di sekolah, marilah sama-sama kita hindari diri kita dari terjebak ke kancah najis dadah dan pergaulan seks bebas.
Pada entry ini, saya sertakan pengakuan seorang Hamba Allah (kisah benar) dan telah mendapat keizinan tuan punya kisah dan tuan punya blog akuhivpositif untuk saya publishkan pengalaman beliau bagaimana akhirnya beliau disahkan pembawa HIV Positif. Kita ikuti pengalaman hidup sebagai satu iktibar dan pengajaran.
PENYESALAN SEORANG PEMBAWA HIV (TRUE STORY)
Catatan pengalaman beliau ini sebagai sempadan dan renungan bersama.
Aku sangat-sangat hargai perkongsian ini dan mengagumi keberanian beliau mengakui kesilapan lampau. Mengakui segala kesilapan dan dosa adalah antara asas kesempurnaan taubat nasuha.
Sama-samalah kita hadiahkan doa kepada beliau semoga sentiasa tabah, istiqamah, dianugerahkan umur dan kesihatan yang berpanjangan, dipelihara segala aib dan maruah serta memperolehi nikmat khusnul khatimah.
Mari baca…
Salam buat Saudara AHP dan semua.
Ribuan maaf dari saya buat saudara AHP kerana lewat untuk kongsikan kisah Bagaimana saya menjadi seorang PEMBAWA HIV POSITIF.
Pertama sekali aku kongsikan kisah aku bukan untuk menagih simpati atau berbangga diri. Bukan juga untuk mengaibkan diri dan keluarga serta membuka ruang untuk dicemuh oleh orang lain.
Tapi aku hanya ingin berkongsi kisah suka dan duka menjadi PEMBAWA HIV POSITIF sebagai pedoman dan hidayah buat orang lain supaya tidak dijangkiti HIV.
Terperangkap dalam tubuh lelaki
TERPERANGKAP dalam tubuh yang salah - setidak-tidaknya itulah tanggapan golongan 'mak nyah' yang rata-rata percaya mereka adalah wanita tetapi terperangkap dalam tubuh lelaki.
Keadaan ini menjerumuskan golongan ini dalam dilema untuk meletakkan kedudukan diri mereka dalam masyarakat kerana secara fizikal mereka lahir sebagai lelaki tetapi memiliki keinginan, nafsu dan naluri wanita.
Kegagalan menempatkan diri dalam masyarakat membuatkan golongan ini berasa terasing atau mengasingkan diri lalu membentuk kelompok sendiri
Lebih malang apabila golongan ini rata-ratanya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan sebagainya sehingga melekat sebagai stigma yang sukar untuk dikikis dalam masyarakat.
Malah, ada sesetengah golongan ini bertindak keterlaluan apabila mengambil keputusan untuk menukar jantina dengan melakukan pembedahan.
Sudahlah berperwatakan menyerupai wanita hukumnya haram dan dikutuk oleh agama, inikan pula mengubah kejadian Allah tanpa ada sebarang alasan yang dibenarkan oleh Islam.
Berpeluang mendekati golongan ini baru-baru ini ternyata mereka mempunyai cara kehidupan tersendiri selain mempunyai kerjaya tetap untuk meneruskan kehidupan.
Yang pasti, walaupun selesa dengan cara masing-masing, mereka sebenarnya perlu dibantu untuk keluar daripada kepompong seterusnya menjalani kehidupan seperti insan-insan lain di dunia ini iaitu sebagai seorang lelaki sejati.
Apa yang menarik hendak dipaparkan kali ini ialah dilema mereka sebagai seorang mak nyah dan apakah faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian.
Tidak pernah terfikir apatah lagi merancang untuk melakukan pembedahan menukar jantina, tetapi segala-galanya berlaku dengan tiba-tiba.
Itulah yang terjadi kepada Amy (bukan nama sebenar) di mana dia tidak pernah menyangka satu hari nanti dia bukan sahaja merupakan seorang mak nyah yang berperwatakan seperti seorang wanita tetapi turut mempunyai alat kelamin perempuan.
Malah, katanya, walaupun (alat kelamin) tidak boleh berfungsi sepenuhnya seperti mengandung dan melahirkan anak, dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku malah amat berbangga dengan keadaan dirinya hari ini.
"Pembedahan pertukaran jantina telah dilakukan 15 tahun lalu dan ketika itu saya berumur sekitar awal 30-an.
"Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merancang apatah lagi terfikir untuk menukar jantina waktu itu.
"Tetapi segala-galanya berlaku dalam sekelip mata di mana satu hari tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran 'saya nak mati sebagai seorang perempuan' dan tidak sampai seminggu segala-galanya berubah,'' ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pembedahan yang dilakukan, Amy menerangkan bahawa ia hanya mengambil masa beberapa jam dan tidak sakit seperti yang diuar-uarkan.
Ini kerana, katanya, keesokan hari dia sudah disuruh berjalan oleh doktor dan hari keempat selepas pembedahan dia dibenarkan pulang.
Dia hanya kelihatan pucat dan letih mungkin disebabkan kehilangan banyak darah ketika melakukan pembedahan.
Beberapa bulan selepas pembedahan dilakukan, Amy turut memberitahu bahawa dia juga tidak mengalami sebarang jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan sembuh seperti orang lain yang menjalani apa jua pembedahan.
"Di sini saya hendak memberitahu bahawa mereka (mak nyah) yang melakukan pembedahan dan memberitahu bahawa ia sakit macam nak mati adalah bohong semata-mata.
"Saya rasa orang itu tak buat pembedahan sebab saya tidak pula mengalami sakit sedemikian. Malah saya dibenarkan pulang selepas empat hari tinggal di hospital,'' katanya lagi.
Mengimbas kembali detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah, Amy memberitahu segala-galanya bermula sewaktu di alam kanak-kanak.
Menegaskan bahawa dia tidak dipengaruhi oleh adik beradik perempuannya yang lain mahupun keadaan sekeliling, sebaliknya berpunca daripada diri sendiri.
Ini kerana dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita termasuk bermain dengan permainan wanita seperti anak patung dan masak-masak.
Bagaimanapun, jelas Amy, pernah terdetik di hatinya sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian.
Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.
Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.
Akhirnya, dia meneruskan kata hati sehinggalah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.
Hari ini, Amy bukan sahaja merupakan seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.
Amy sememangnya merupakan seorang individu yang amat bertuah kerana walaupun di awal perubahan dirinya ia ditentang hebat oleh keluarga tetapi hari ini dia sudah boleh diterima malah dia juga sudah 'berkahwin'.
Statistik Pesakit HIV/ AIDS Semakin Bertambah
SETAKAT ini seramai 13,000 orang rakyat Malaysia mati lantaran virus rentan penyakit atau lebih dikenali HIV. Akibat sindrom kurang daya tahan penyakit itu jugalah 91,000 rakyat Malaysia dilemparkan dengan stigma negatif lantaran hidup dengan HIV.
Namun, dalam memastikan stigma itu dikikis selain menyebarkan sebanyak mungkin kesedaran mengenai kaedah menjauhi HIV, ramai yang sanggup ke depan untuk bergelar pejuang HIV/AIDS.
Sebagai mengenangkan pemergian insan-insan yang telah pergi meninggalkan fana dunia untuk menghadap Ilahi, Sambutan Hari Memperingati Pejuang HIV diadakan di 115 buah negara seluruh dunia pada tanggal tarikh 15 Mei saban tahun sejak 1983.
Touching Lives mengambil tempat sebagai tema sambutan tahun ini, selari dengan mesej yang hendak dihubungkan kepada orang ramai bahawa HIV sebenarnya telah dan boleh menyentuh kehidupan kita sama ada sedar mahu pun tidak.
Sebaran AIDS nelayan
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nor pula pada masa yang sama menyeru wanita mengambil inisiatif sendiri untuk melengkapi pengetahuan mengenai cara perebakan virus HIV.
“Wanita sendiri perlu sedar dan diberi kesedaran supaya berhati-hati serta bersedia untuk berdepan dengan cabaran penyakit ini yang kadangkala merebak tanpa disedari,” tegasnya dengan memberikan contoh kawasan perkampungan nelayan negeri Pantai Timur yang kini diancam HIV berpandukan kajian terbaru.
Katanya, ada antara golongan nelayan lelaki di pesisir pantai yang berkongsi-kongsi pasangan tanpa perlindungan seks yang akhirnya menjarahkan virus HIV kepada isteri dan keluarga sendiri.
Berlandaskan fakta terkini itu juga, Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian telah menggandakan usaha mengekang bahana itu.
“Kita telah menempatkan pegawai khas di kawasan-kawasan pedalaman untuk mendidik masyarakat bukan sahaja golongan wanita bahkan, lelaki yang juga menjadi punca menularnya HIV menerusi hubungan kelamin tanpa perlindungan,” hurainya mengenai inisiatif holistik yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Harapannya, tiada lagi stigma yang masih melekat dalam sanubari orang ramai berkenaan isu HIV dan AIDS.
Seks penyebab utama
Menurut Presiden Yayasan Pink Triangle (PT) Malaysia, Hisham Hussein, sambutan itu memberi peluang kepada seluruh komuniti memperingati 13,000 orang rakyat Malaysia yang telah mati akibat HIV.
Ujarnya, seks adalah penyebab utama epidemik HIV di Malaysia kini berikutan sikap sambil lewa segelintir individu yang tidak melindungi diri ketika melakukan hubungan seks.
“Sepatutnya, kita semua perlu bertanggungjawab ke atas diri kita sendiri. Kita tidak tahu sama ada kita punyai virus itu atau pasangan kita yang milikinya. Oleh itu langkah perlindungan seperti pemakaian kondom dengan betul perlu diamalkan,” getusnya.
Kaedah jangkitan melalui seks ceritanya kini mencatatkan kadar setinggi 48.5 peratus berbanding penularan melalui perkongsian jarum suntikan atau penagihan dadah iaitu 47.6 peratus.
“Anda adalah siapa diri anda dan apa yang anda lakukan itu sebenarnya lebih utama, pasang nawaitu dengan betul supaya boleh membantu diri sendiri dan orang sekeliling,” pesan Hisham menyeru komuniti yang dijangkiti agar bekerjasama menghalang daripada merebaknya HIV.
Yayasan PT antara lainnya turut membekalkan ujian pengesanan HIV percuma yang menekankan aspek kerahsiaan dalam setiap sesi rawatan.
“Jika pesakit positif kuman HIV, khidmat kaunseling secara percuma akan diberikan tiga kali seminggu di dua pusat berasingan iaitu di Sungai Buloh dan di Jalan Tunku Abdul Rahman,” bicaranya yang bimbang akan penularan wabak HIV melalui kegiatan seksual golongan biseksual.
Ujarnya, jangkitan menerusi kecenderungan hubungan kelamin antara kedua-dua jantina yang berbeza lebih tinggi risikonya berbanding pasangan gay, mak nyah dan pekerja seks.
“Kita sebenarnya tidak sedar golongan biseksual lebih ramai bilangannya berbanding homoseksual atau heteroseksual maka, dengan jumlah ini juga kadar jangkitan HIV lebih tinggi dan cepat menular,” ulasnya ketika ditemui penulis di Majlis Sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia baru-baru ini.
SUMBER: KOSMO.
By Cikgu Ma Monday, August 16, 2010
Isu Gender, kaunseling individu, kecelaruan emosi, kecelaruan identiti, kecelaruan seksual, kemahiran asertif diri, Kemahiran Membuat Keputusan, LGBT, psikososial
LELAKI GAY MAHU BERUBAH
Entry ini saya petik daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr Sapora Sipon. Ia dimuatnaik di sini sebagai kemudahan untuk membuat rujukan dan renungan bersama.
Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro, klik sini.
SAYA lelaki yang berperwatakan lembut dan mempunyai kekasih gelap. Naluri songsang itu bermula sewaktu berumur 12 tahun.
Abang saudara saya mengajar bagaimana melakukan hubungan sejenis. Pada mulanya saya agak takut tetapi lama kelamaan perbuatan itu saya lakukan hampir setiap hari. Pelbagai cara dan aksi saya lakukan.
Lama kelamaan, saya sedar apa yang dilakukan dan cuba mengelak perhubungan songsang itu tetapi gagal. Tolonglah saya.
Ingin berubah
Petaling Jaya
DR tidak pasti apa yang adik inginkan sama ada mahu meneruskan kehidupan sebagai seorang gay atau menghentikan hubungan seksual songsang itu. Adik hanya menjelaskan pelbagai cara sudah dilakukan untuk menghentikan perbuatan hubungan seks sesama jenis, namun tetap gagal.
Adik juga menceritakan ciri perwatakan yang agak lembut dan sejarah terbabit dengan hubungan sesama jenis. Adik sendiri mengatakan hati tetap tidak berubah untuk terus melakukan hubungan sejenis. Ini membuatkan saya tertanya-tanya apa sebenarnya persoalan diri adik. Namun, Dr andaikan adik mempunyai keinginan untuk berubah dengan menceritakan kisah hidup adik. Faktor persekitaran membuatkan adik terjebak sebagai seorang lelaki yang menyukai lelaki. Dr faham bukan mudah meninggalkan tabiat seks luar tabii ini kerana sudah terlalu lama mendapat keseronokannya. Dr melihat permasalahan adik dari beberapa sudut. Pertama, jika adik ingin keluar daripada kehidupan seorang homoseksual, ia memerlukan perubahan dari segi pemikiran, gaya hidup, sikap dan keinginan seksual. Keinginan dan semangat yang kuat juga amat penting untuk berubah.
Pelbagai cara dan usaha adik lakukan tidak akan berhasil jika ruang lingkup hidup terus dikelilingi perkara yang boleh meneruskan perkara terkutuk ini. Jika bertekad untuk mengubah diri, adik perlu mendapat rawatan, mendekatkan diri dengan Allah di samping mendapatkan khidmat kaunselor. Ada rawatan yang boleh mengurangkan ketagihan seks. Isunya ialah sama ada adik ingin berubah dan mendapatkan rawatan berkenaan atau tidak.
Dari sudut agama, adik sendiri sedar dan tahu perbuatan itu tidak diterima mana-mana agama pun. Perbuatan ini bertentangan dengan sifat tabii manusia. Dalam Islam, banyak ayat al-Quran yang mengharamkan perbuatan seks sesama jenis.
Dari sudut kesihatan, hubungan seks sesama lelaki mempunyai risikonya. Contohnya, sindrom kurang daya tahan melawan penyakit atau Aids ( Acquired Immune Deficiency Syndrome). Jika adik meneruskan aktiviti seks sejenis, kemungkinan adik untuk tidak berkahwin adalah tinggi kerana minat terhadap wanita sudah tiada. Adalah sukar untuk membahagiakan pasangan dalam perkahwinan tanpa diiringi hubungan seks yang memuaskan.
Banyak kesan negatif jika adik meneruskan kehidupan gelap itu. Walaupun diselubungi keseronokan seksual, kesan buruk lebih banyak. Adik perlu memikirkan perkara ini dan tidak hanya memikirkan elemen keseronokan. Dr harap adik dapat memilih kehidupan yang terbaik dan memilih jalan diredai.
Pemuda Gay hidup tunggang-langgang
Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya
APA yang bakal saya beritahu Dang Setia adalah dosa dan bebanan yang saya tanggung bertahun-tahun lamanya. Untuk lebih memudahkan, biar saya senaraikan perkara itu:
i. Ketika saya berumur 11 tahun, seorang saudara meliwat saya ketika saya tidur. Akibat peristiwa itu saya menjadi homoseksual atau gay. Sampai sekarang saudara saya yang kini berumur 32 tahun masih meliwat saya.
Jika saya menolak, dia mengugut akan memberitahu kawan saya bahawa saya gay. Keadaan ini membuatkan saya sungguh tertekan.
ii. Pada awal 2006, saya berkenalan dengan gadis bernama Y. Kami bercinta hampir dua tahun. Hubungan yang pada mulanya saya sangka panas hinggakan ke petang, rupa-rupanya tidak.
Kekasih saya memutuskan hubungan secara tiba-tiba tanpa usul periksa. Saya tidak pernah mengongkongnya, malah pernah membenarkannya keluar bersama abang angkatnya ke Kuala Lumpur. Dia tidak tahu saya gay.
Saya terpaksa menanggung kesedihan ini seorang diri. Saya sedar saya gay tapi saya ada naluri untuk berkahwin dan memiliki keluarga bahagia. Sampai sekarang saya masih mengingati bekas kekasih saya walaupun dia sudah ada pengganti dan akan berkahwin akhir tahun ini.
iii. Perkara ini mungkin membuatkan Dang Setia tergamam. Selama hidup, saya tidak pernah mengerjakan solat. Keadaan ini membuatkan diri saya berasa sungguh hina.
Saya tidak menyalahkan ibu bapa kerana mereka memberi tunjuk ajar hal agama, namun kelakuan saya yang suka memberontak menyebabkan saya mengambil sikap sambil lewa berkenaan solat. Mungkin sebab itu hidup saya tunggang-langgang dan segala kerja saya tidak menjadi.
Saya berharap sangat Dang Setia dapat membantu menyelesaikan masalah saya supaya saya lebih tabah mengharungi hari mendatang.
KHAI
Damansara Utama
Kuala Lumpur
Untuk lebih memudahkan juga, Dang Setia akan menjawab masalah saudara berdasarkan senarai yang diberi:
i. Kebanyakan homoseksual, tidak kira sama ada gay atau lesbian selalu berhujah, orang lain tidak faham masalah mereka. Hanya yang mengalami tahu kesukaran yang mereka hadapi.
Dang Setia tidak menafikan hujah itu dan bukan tidak bersimpati atau menghina. Namun apabila amalan seks sesama kaum sejenis dilarang Allah di dalam al-Quran, kita wajib mematuhinya.
Tiada kompromi dalam hal ini. Apabila Allah kata tak boleh, tak bolehlah jawabnya. Apabila Allah melarang, pasti ia untuk kebaikan. Jika kita mengingkarinya, pasti akan mengundang musibah.
Sekadar satu contoh, hari ini siapa mengamalkan homoseksual berisiko tinggi menghidap penyakit Aids yang sehingga kini masih tiada penawarnya.
Bayangkan juga, jika lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita, bagaimana zuriat boleh dilahirkan? Apabila tiada zuriat, pasti sesebuah masyarakat lemah kerana tiada yang muda untuk menggantikan yang tua dan tiada yang lahir untuk menggantikan yang mati.
Oleh itu, tiada alasan yang boleh saudara beri untuk menghalalkan apa yang diharamkan Allah, termasuk juga ugutan peliwat untuk mendedahkan aib saudara.
Masalah saudara memang rumit, namun itu tidak bermakna saudara perlu menyerah kalah dan terus-terusan melakukan perkara yang dilarang Allah.
Saudara perlu berani berjuang demi keredaan Allah. Katakan kepada si peliwat, jika dia berterusan meliwat dan mengugut, saudara akan melaporkan perkara itu kepada polis. Ini bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya saudara perlu benar-benar melakukannya.
Jangan malu membawa perkara ini ke tengah. Ya, mungkin ada pihak memandang serong kepada saudara, namun sematkan di dalam hati — biarlah manusia mencaci, asalkan Allah mengasihi kita.
Sentiasalah memotivasikan diri dengan menginsafi peringatan Allah di dalam al-Quran:
“Ingatlah betapa azabnya kaum Nabi Lut. Mereka tertarik kepada kaum sejenis iaitu lelaki, mengadakan hubungan seks dengan lelaki hinggalah Allah menterbalikkan bumi dan menghujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar.”
ii. Apabila saudara terbuka pintu hati untuk menjalin hubungan cinta dengan wanita, itu Dang Setia anggap satu hidayah Allah untuk menyedarkan saudara supaya tidak terus hidup dalam dunia homoseksual yang dilaknati Allah.
Seharusnya saudara juga melihatnya daripada perspektif sama kerana hanya dengan cara itu saudara lebih beriltizam untuk meninggalkan cara hidup songsang.
Apabila saudara berkeinginan untuk berkahwin dan memiliki keluarga bahagia, ia juga petanda kuat yang saudara mampu menjadi lelaki normal. Yang penting sekarang ialah usaha dan kesungguhan.
Mungkin berkahwin pendekatan terbaik untuk menutup ruang pembabitan saudara dalam gejala seks songsang. Justeru, berusahalah mencari calon isteri.
Jika sudah putus cinta dengan Y, tiada guna dikenang dan diratapi lagi kehilangannya, apatah lagi dia kini ada pengganti. Jadi, saudara juga perlu segera cari pengganti.
Sentiasa sematkan di dalam hati, apa yang saudara lakukan ini semata-mata untuk mencari keredaan Allah. Jangan mudah putus asa. Jika kita berusaha ke jalan Allah, Allah akan membantu dan mempermudahkan usaha kita.
iii. Ya, Dang Setia bersetuju, kegagalan menunaikan kewajipan bersolat menjadi punca segala permasalahan saudara sehingga menyebabkan kehidupan menjadi tunggang langgang.
Ini kerana Allah memberitahu kita, sesungguhnya solat mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Jika kita tidak menunaikan solat atau jika solat kita tidak sempurna, mudahlah kita melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Jika kita ingin bina kubu atau benteng untuk mengelak melakukan perbuatan keji dan mungkar, kita wajib menunaikan solat. Solat juga dianggap tiang agama. Orang yang tidak menunaikan solat dianggap meruntuhkan agama.
Malah solat juga membezakan seorang muslim dengan kafir. Bagaimana kita boleh mengatakan diri kita muslim jika kita tidak menunaikan solat.
Oleh itu, segera bertaubat dan menunaikan solat. Jangan sekali-kali beri alasan tidak tahu. Jika tak tahu, saudara wajib belajar. Kalau tuntutan dunia membolehkan seseorang itu belajar sehingga menggenggam ijazah dan PhD, takkan kita tak boleh belajar cara bersolat yang betul.
Sesungguhnya terlalu banyak nikmat dan manfaat di sebalik amalan solat yang semuanya hanya akan diperoleh selepas kita menunaikannya.
Disclaimer
(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .