Pendidikan vokasional strategi elak keciciran
Oleh Zakaria Mohd. Yusof
KENYATAAN oleh Menteri Pelajaran untuk
merombak semula sistem pendidikan vokasional seperti yang dilaporkan di
akhbar Utusan Malaysia (21 Mei 2008) menarik untuk dibincangkan. Me-
nurut kenyataan tersebut, inisiatif ini bagi memberi peluang kedua
kepada pelajar- pelajar yang tidak berminat dalam akademik tetapi
mempunyai potensi dalam bidang vokasional serta kemahiran, seterusnya
mengurangkan keciciran di kalangan pelajar.
Turut disebut ialah
inisiatif ini yang akan digembleng dengan Kementerian Belia dan Sukan,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta
Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai institut kemahiran ma-
sing-masing.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Men- teri turut
melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar daripada sekolah
rendah hingga tingkatan lima didapati mengalami keciciran daripada
sistem persekolahan negara, ia tentu sekali suatu perkara yang tidak
seharusnya di- pandang remeh.
Angka ini amatlah besar bilangannya dan
jika dikira keciciran ini berlaku se- panjang 11 tahun tempoh
persekolahan iaitu di sekolah rendah dan menengah, bermakna setiap tahun
seramai 7,545 pelajar didapati tercicir daripada arus pendidikan.
Walaupun
nampak kecil peratusannya, yang pasti ia tidak seharusnya berlaku
sekiranya semua pihak mengambil langkah-langkah pemulihan awal yang
sewajarnya setiap tahun. Malangnya, ti- ada usaha yang serius untuk
menanganinya dan menganggap ia sebagai suatu fenomena yang biasa dalam
pendidikan.
Justeru cadangan kerajaan untuk mem- buat rombakan ke
atas sistem pendidikan vokasional tersebut amatlah bertepatan dengan
keperluan semasa. Adalah suatu yang mendukacitakan sekiranya kita masih
beranggapan bahawa, ha- nya pencapaian cemerlang dalam akademik sahaja
sebagai penentu kepada kecemerlangan dalam kehidupan.
Begitu juga,
adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang
cemerlang dalam akademik sahaja yang mampu menjadi warga yang berguna.
Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan
pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan
tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran seperti yang dilaporkan itu
tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.
Pendidikan vokasional yang
menitik beratkan latihan untuk pekerjaan mampu membentuk individu agar
mampu berdikari dan lebih berkeyakinan dalam menempuh kehidupan tanpa
mengambil kira kecemerlangan akademik sebagai ukuran.
Ini menjadikan
ia sebagai pilihan terbaik untuk mereka yang telah dikenal pasti tidak
berkemampuan untuk meneruskan sistem pendidikan berasaskan akademik
semata-mata.
Justeru, berikut merupakan beberapa cadangan untuk
difikirkan oleh pihak pe- laksana dasar dalam merangka strategi terbaik
ke arah mana rombakan ke atas sistem pendidikan vokasional itu perlu di
halakan.
Apa yang penting ialah rombakan tersebut mestilah mampu
memastikan setiap insan akan mendapat pembelaan se- wajarnya untuk
kepentingan negara di masa depan, tanpa
l Pendidikan vokasional, jika
dimulakan di peringkat sekolah rendah seperti yang di sebut oleh
Timbalan Perdana Menteri, perlulah menjurus kepada eksplorasi minat
pelajar-pelajar. Guru-gu- ru, di samping memberi tumpuan kepada
kecemerlangan akademik, harus juga berusaha untuk mengenal pasti
kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu 'kad minat pelajar' perlu
diwujudkan untuk setiap pelajar.
l Setiap pelajar hendaklah
dipastikan tidak harus merasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan
oleh pencapaian akademik yang tidak memuaskan. Oleh itu, anugerah
penghargaan juga harus diberikan setiap tahun di hari penyampaian hadiah
kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan
kreativiti dalam bidang-bidang yang telah dikenal pasti.
l Mata
pelajaran 'Kerjaya' harus diperkenalkan seawal di tingkatan satu de-
ngan memperkenalkan bentuk-bentuk pekerjaan dan kepentingannya
berdasarkan keperluan negara. Bentuk pekerjaan tersebut meliputi tenaga
kerja am, tenaga kerja mahir, tenaga kerja semi profesional dan tenaga
kerja profesional. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan
tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian
akademik yang cemerlang.
l Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari
tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga, pihak sekolah harus mengenal
pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik.
Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan
bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga
kerja negara pa- da masa depan mengikut sektor.
l Laluan kerjaya
bagi setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan lebih jelas
dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan
satu hingga tingkatan tiga. Ini bertujuan untuk memberi harapan kepada
pelajar-pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana
masih terdapat peluang yang luas untuk mereka meningkatkan tahap kerjaya
masing-masing dari semasa ke semasa.
Bagi menarik minat pelajar,
seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan
vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha untuk memperkasakan dan
memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya
perlu memastikan pendidikan vokasional tidak menjadi bentuk pendidikan
kelas dua.
Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan
disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya 'keciciran
kemahiran' pula selepas itu.
Utusan Malaysia Online: 24 Mei 2008