Tingkatan 6 Guna Sistem Peperiksaan Modular
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan
pelajaran di tingkatan enam mempunyai peluang cerah menjejakkan kaki ke
institut pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana, tingkatan enam ibarat pra-universiti dan dengan keputusan
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), ia melayakkan mereka mengikuti
program ijazah.
Walaupun STPM bagaikan satu tiket ke IPT, kebanyakan pelajar lepasan
SPM kini tidak berminat melanjutkan pelajaran di tingkatan enam
sebaliknya memilih program pengajian Asasi, Matrikulasi, Diploma atau di
institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meneruskan pengajian.
Mana tidaknya, walaupun dikatakan pra-universiti, sistem
pembelajarannya tetap dilaksanakan seperti sistem persekolahan biasa di
sekolah menengah.
Selain itu, pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu
belajar mata pelajaran yang membebankan dan apabila mendapat keputusan
STPM, mereka tiada peluang ke IPT.
Justeru, bagi menarik minat lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke
tingkatan enam, sistem terminal yang dilaksanakan kini akan di gantikan
dengan sistem modular.
Sistem modular adalah sama dengan sistem di universiti yang membabitkan tiga semester.
Menerusi sistem modular, pelajar hanya menumpukan kepada modul
semester berkenaan berbanding sistem penggal, pelajar terpaksa mengulang
kaji pelajaran dari Tingkatan Enam Bawah hingga Tingkatan Enam Atas.
Kaedah taksiran modular akan mengambil kira empat komponen iaitu
penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek
sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan ‘open
book’.
Dalam sistem modular, 20 hingga 30 peratus keputusan STPM diperolehi
dari tugasan kursus atau projek dan penilaian lain selain kerja amali
manakala 70 hingga 80 peratus bergantung kepada peperiksaan akhir
pengajian.
Peperiksaan akhir tahun masih perlu dalam STPM untuk menentukan tahap keupayaan pelajar apabila memohon ke universiti. Artikel di bawah dipetik daripada BERNAMA, dari Akhbar Sinar Harian bertarikh 8 Julai 201.
Kementerian Pelajaran akan memperluas Sistem Modular iaitu peperiksaan mengikut semester di peringkat sekolah menengah atas ke seluruh negara mulai tahun ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

















