HULU SELANGOR: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas gagal mendarat ketika melakukan aktiviti luncur layar di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Mohamad Rosely Azli, 53, berasal dari Cheras, dilaporkan hilang selepas melakukan terjunan dari Bukit Batu Pahat di Kuala Kubu Baru jam 2.30 petang semalam.
Rosely yang juga ahli Kelab Luncur Udara Kuala Kubu Baru (KKB) melakukan aktiviti itu bersama tujuh rakan lain dari kelab itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata mangsa bersama rakan melakukan penerjunan dua kali dan selamat mendarat di Padang Millenium pada jam 2 petang.
Bagaimanapun, katanya, selepas itu mangsa bersama tujuh lagi rakannya melakukan terjunan kali ketiga di Bukit Batu Pahat, namun hanya tujuh daripada mereka berjaya mendarat.
Mengikut pengadu yang juga rakan mereka, ketika yang lain sudah mendarat, mangsa masih kelihatan berlegar-legar di udara dipercayai dibawa angin kuat.
"Mangsa semakin tinggi memasuki kepulan awan dan hilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamil berkata, rakan mangsa cuba menghubunginya melalui radio tetapi mangsa tidak menjawab panggilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baru, Superintendan R Supramaniam, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Mangsa dilaporkan gagal membuat pendaratan kerana tiba-tiba angin kencang membawanya naik ke ketinggian kira-kira 1,200 meter dan hilang," katanya.
Sehingga jam 8 malam tadi, pasukan pencari dan penyelamat (SAR) terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) masih gagal menemui mangsa.
Usaha mencari mangsa disambung jam 8 pagi ini.
Sumber: Berita Harian Online