Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Pemuda hidup tunggang-langgang

Pemuda Gay hidup tunggang-langgang



Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya

 

APA yang bakal saya beritahu Dang Setia adalah dosa dan bebanan yang saya tanggung bertahun-tahun lamanya. Untuk lebih memudahkan, biar saya senaraikan perkara itu:

i. Ketika saya berumur 11 tahun, seorang saudara meliwat saya ketika saya tidur. Akibat peristiwa itu saya menjadi homoseksual atau gay. Sampai sekarang saudara saya yang kini berumur 32 tahun masih meliwat saya.


Jika saya menolak, dia mengugut akan memberitahu kawan saya bahawa saya gay. Keadaan ini membuatkan saya sungguh tertekan.

ii. Pada awal 2006, saya berkenalan dengan gadis bernama Y. Kami bercinta hampir dua tahun. Hubungan yang pada mulanya saya sangka panas hinggakan ke petang, rupa-rupanya tidak.

Kekasih saya memutuskan hubungan secara tiba-tiba tanpa usul periksa. Saya tidak pernah mengongkongnya, malah pernah membenarkannya keluar bersama abang angkatnya ke Kuala Lumpur. Dia tidak tahu saya gay.

Saya terpaksa menanggung kesedihan ini seorang diri. Saya sedar saya gay tapi saya ada naluri untuk berkahwin dan memiliki keluarga bahagia. Sampai sekarang saya masih mengingati bekas kekasih saya walaupun dia sudah ada pengganti dan akan berkahwin akhir tahun ini.

iii. Perkara ini mungkin membuatkan Dang Setia tergamam. Selama hidup, saya tidak pernah mengerjakan solat. Keadaan ini membuatkan diri saya berasa sungguh hina.

Saya tidak menyalahkan ibu bapa kerana mereka memberi tunjuk ajar hal agama, namun kelakuan saya yang suka memberontak menyebabkan saya mengambil sikap sambil lewa berkenaan solat. Mungkin sebab itu hidup saya tunggang-langgang dan segala kerja saya tidak menjadi.

Saya berharap sangat Dang Setia dapat membantu menyelesaikan masalah saya supaya saya lebih tabah mengharungi hari mendatang.



KHAI

Damansara Utama

Kuala Lumpur




Untuk lebih memudahkan juga, Dang Setia akan menjawab masalah saudara berdasarkan senarai yang diberi:

i. Kebanyakan homoseksual, tidak kira sama ada gay atau lesbian selalu berhujah, orang lain tidak faham masalah mereka. Hanya yang mengalami tahu kesukaran yang mereka hadapi.

Dang Setia tidak menafikan hujah itu dan bukan tidak bersimpati atau menghina. Namun apabila amalan seks sesama kaum sejenis dilarang Allah di dalam al-Quran, kita wajib mematuhinya.

Tiada kompromi dalam hal ini. Apabila Allah kata tak boleh, tak bolehlah jawabnya. Apabila Allah melarang, pasti ia untuk kebaikan. Jika kita mengingkarinya, pasti akan mengundang musibah.

Sekadar satu contoh, hari ini siapa mengamalkan homoseksual berisiko tinggi menghidap penyakit Aids yang sehingga kini masih tiada penawarnya.

Bayangkan juga, jika lelaki berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita, bagaimana zuriat boleh dilahirkan? Apabila tiada zuriat, pasti sesebuah masyarakat lemah kerana tiada yang muda untuk menggantikan yang tua dan tiada yang lahir untuk menggantikan yang mati.

Oleh itu, tiada alasan yang boleh saudara beri untuk menghalalkan apa yang diharamkan Allah, termasuk juga ugutan peliwat untuk mendedahkan aib saudara.

Masalah saudara memang rumit, namun itu tidak bermakna saudara perlu menyerah kalah dan terus-terusan melakukan perkara yang dilarang Allah.

Saudara perlu berani berjuang demi keredaan Allah. Katakan kepada si peliwat, jika dia berterusan meliwat dan mengugut, saudara akan melaporkan perkara itu kepada polis. Ini bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya saudara perlu benar-benar melakukannya.

Jangan malu membawa perkara ini ke tengah. Ya, mungkin ada pihak memandang serong kepada saudara, namun sematkan di dalam hati — biarlah manusia mencaci, asalkan Allah mengasihi kita.

Sentiasalah memotivasikan diri dengan menginsafi peringatan Allah di dalam al-Quran:

“Ingatlah betapa azabnya kaum Nabi Lut. Mereka tertarik kepada kaum sejenis iaitu lelaki, mengadakan hubungan seks dengan lelaki hinggalah Allah menterbalikkan bumi dan menghujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar.”

ii. Apabila saudara terbuka pintu hati untuk menjalin hubungan cinta dengan wanita, itu Dang Setia anggap satu hidayah Allah untuk menyedarkan saudara supaya tidak terus hidup dalam dunia homoseksual yang dilaknati Allah.

Seharusnya saudara juga melihatnya daripada perspektif sama kerana hanya dengan cara itu saudara lebih beriltizam untuk meninggalkan cara hidup songsang.

Apabila saudara berkeinginan untuk berkahwin dan memiliki keluarga bahagia, ia juga petanda kuat yang saudara mampu menjadi lelaki normal. Yang penting sekarang ialah usaha dan kesungguhan.

Mungkin berkahwin pendekatan terbaik untuk menutup ruang pembabitan saudara dalam gejala seks songsang. Justeru, berusahalah mencari calon isteri.

Jika sudah putus cinta dengan Y, tiada guna dikenang dan diratapi lagi kehilangannya, apatah lagi dia kini ada pengganti. Jadi, saudara juga perlu segera cari pengganti.

Sentiasa sematkan di dalam hati, apa yang saudara lakukan ini semata-mata untuk mencari keredaan Allah. Jangan mudah putus asa. Jika kita berusaha ke jalan Allah, Allah akan membantu dan mempermudahkan usaha kita.

iii. Ya, Dang Setia bersetuju, kegagalan menunaikan kewajipan bersolat menjadi punca segala permasalahan saudara sehingga menyebabkan kehidupan menjadi tunggang langgang.

Ini kerana Allah memberitahu kita, sesungguhnya solat mampu mencegah perbuatan keji dan mungkar. Jika kita tidak menunaikan solat atau jika solat kita tidak sempurna, mudahlah kita melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Jika kita ingin bina kubu atau benteng untuk mengelak melakukan perbuatan keji dan mungkar, kita wajib menunaikan solat. Solat juga dianggap tiang agama. Orang yang tidak menunaikan solat dianggap meruntuhkan agama.

Malah solat juga membezakan seorang muslim dengan kafir. Bagaimana kita boleh mengatakan diri kita muslim jika kita tidak menunaikan solat.

Oleh itu, segera bertaubat dan menunaikan solat. Jangan sekali-kali beri alasan tidak tahu. Jika tak tahu, saudara wajib belajar. Kalau tuntutan dunia membolehkan seseorang itu belajar sehingga menggenggam ijazah dan PhD, takkan kita tak boleh belajar cara bersolat yang betul.

Sesungguhnya terlalu banyak nikmat dan manfaat di sebalik amalan solat yang semuanya hanya akan diperoleh selepas kita menunaikannya.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .