Remaja terlepas peluang lanjut pelajaran
Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya
SOALAN
SAYA remaja berumur belasan tahun dan baru mendapat keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun lalu. Di sini saya ingin menceritakan mengenai kehidupan diri saya yang tertekan dan tak tentu arah.
Saya tidak pandai bergaul dan terlalu bergantung hidup kepada emak saya. Saya langsung tidak pandai berdikari. Perkara ini berlarutan sejak saya di sekolah rendah hinggalah sekarang.
Selepas mendapat keputusan SPM, saya membuat banyak permohonan untuk melanjutkan pelajaran dan kemudian menerima tawaran daripada beberapa institusi pendidikan.
Namun, saya keliru untuk membuat pilihan dan tidak berani untuk menempuh kehidupan baru yang semestinya memerlukan saya berjauhan daripada keluarga serta berdikari.
Akhirnya, semua tawaran itu terlepas begitu saja kerana saya tidak berbuat apa-apa.
Akibatnya, sehingga sekarang saya hanya duduk terperuk di rumah.
Saya berminat nak bekerja tapi tidak tahu apa kerja yang sesuai untuk saya dan tidak tahu di mana nak cari kerja.
Sekadar ada di rumah tanpa membuat apa-apa aktiviti membuatkan saya berasa bosan dan sunyi. Saya tahu, ini semua salah saya kerana tidak tahu berdikari dan malu tidak bertempat.
Saya berusaha membuat perangai itu tapi tidak tahu macam mana. Saya ingin merantau jauh untuk bekerja, mencari ketenangan dan menjadikan hidup lebih bermakna, tapi saya tak tahu adakah saya mampu melakukannya. Tolonglah saya Dang Setia.
REMAJA TAK TENTU ARAH
Terengganu
JAWAPAN
Pastinya adik pernah mendengar firman Allah yang bermaksud “Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri mengubahnya.” (Ar-Ra’d: 11)
Namun, mendengar saja tetapi tidak mengambil iktibar daripada apa yang Allah peringatkan kepada kita, ia bukanlah tindakan yang betul.
Jadi, pelajari, hayati dan beramallah dengan ayat Allah itu. Adik tahu, kelemahan adik ialah tidak pandai bergaul dan tidak berani berdikari, namun persoalannya apakah usaha adik untuk mengatasi kelemahan itu?
Pakar motivasi mengatakan, untuk berjaya dalam hidup, seseorang itu perlu tahu apa kelebihannya dan memanfaatkan ia sepenuhnya serta tahu apa kelemahannya, lalu segera mengatasinya.
Oleh itu, segera berusaha dan bertindak untuk mengatasi masalah adik itu dan seterusnya menjadikan kehidupan adik lebih bermakna.
Sedarilah, hidup ini adalah satu perjalanan dan perjuangan. Jadi, sudah tentu orang yang ingin hidup perlu bergerak (berusaha) dan berani. Tanpa dua sifat ini, kita tidak akan berjaya.
Dang Setia yakin adik mampu melakukannya kerana adik berjaya dalam peperiksaan SPM dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian. Ini bermakna, ternyata adik ada kepandaian dan kebolehan.
Justeru, manfaatkan ia. Seterusnya, atasi pula kelemahan adik dengan mula bergaul dengan rakan dan jiran adik secara berperingkat-peringkat.
Ingat, setiap sesuatu perkara harus ada permulaannya, jadi segeralah bermula sebelum adik mampu mencapai penamat yang adik kehendaki.
http://www.hmetro.com.my/dangsetia
0 Comments:
Post a Comment