Selepas perut membesar, teman lelaki terus menghilang
Entry ini dimuatkan di cikgubimbingan-kaunseling.blogspot.com sebagai rujukan dan medium pendidikan pemilik blog ini. Ia diambil dari Harian Metro, ruangan bersama Dang Setia .Semoga mendapat manfaatnya
SOALANSaya selalu baca kisah hidup orang lain di ruangan ini. Saya selalu bertanya, apalah bezanya hidup saya dengan mereka dan saya rasa penderitaan saya lebih teruk berbanding mereka. Dang Setia, bantulah saya.
Sebelum ini saya ada seorang kekasih bernama Z. Dia amat baik pada saya pada awal perkenalan kami. Satu hari dia ajak saya berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan di sinilah bermula detik kehancuran hidup saya.
Ketika kami makan di restoran, saya terus tidak sedarkan diri. Apabila sedar, saya dapati diri saya dalam keadaan berbogel di sebuah rumah dan di sisi saya ada sepucuk surat meminta maaf daripada Z. Saya amat tertekan dan benci sangat pada Z.
Perkara itu saya sembunyikan daripada pengetahuan keluarga kerana saya tahu ia berlaku disebabkan salah saya sendiri. Saya bodoh kerana mudah percaya pada lelaki. Dua minggu selepas itu, saya disahkan hamil selepas merujuk doktor di sebuah klinik berdekatan.
Saya bagaikan nak gila dibuatnya. Apa yang patut saya lakukan Dang Setia. Saya malu dengan keluarga. Saya malu! Z pula langsung tidak mahu bertanggungjawab. Dia memang syaitan!
PEREMPUAN MALANG
JAWAPAN
Kandungan surat saudari jelas memberi gambaran kecelaruan fikiran dan tekanan yang saudari alami. Dang Setia simpati pada saudari. Apapun, penyesalan tidak banyak mengubah keadaan.
Hidup perlu diteruskan dan melihat hari yang mendatang lebih penting daripada terus-terusan mengimbas memori silam.
Dang Setia amat berharap saudari tidak melakukan perbuatan bodoh dan bertentangan dengan ajaran agama berikutan masalah yang saudari alami kini. Maksudnya, jika saudari masih belum melahirkan anak, jangan menggugurkan kandungan dan jangan sekali-kali membuang bayi yang bakal dilahirkan.
Dang Setia juga menasihatkan saudari supaya berterus terang dengan ibu bapa dan keluarga. Ini kerana, beban yang saudari tanggung ini amat berat dan tidak mampu untuk saudari memikulnya sendirian.
Jika saudari gagal menyerap tekanan yang datang, ia memungkinkan saudari melakukan tindakan bertentangan agama.
Lagipun, bak kata bidalan bangkai gajah tak kan boleh ditutup hanya dengan sehelai daun. Jadi, sebelum rahsia saudari dibongkar orang lain dan sampai ke pengetahuan ibu bapa saudari, lebih baiklah saudari sendiri yang membuat pengakuan dan meminta maaf.
Takut dimarahi? Ia memang tidak boleh dielakkan. Bila kita buat salah, kita kena berani mengakuinya dan jangan sekali-kali lari daripada masalah yang kita timbulkan sendiri, sebaliknya hadapilah ia dengan penuh kematangan.
Selain itu, didik juga minda saudari untuk melihat perkara positif di sebalik musibah yang berlaku ini. Yakinlah, pasti ada hikmah tersembunyi yang tidak saudari sedari pada masa ini dan hanya dapat dilihat pada masa depan.
Sebagai contoh, mungkin musibah ini akan mengubah diri saudari secara total untuk insaf, bertaubat dan seterusnya menjadi insan yang lebih bertakwa, insya-Allah.
0 Comments:
Post a Comment