Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

UiTM Tawar syarat paling minimum














Tawar syarat paling minimum


APABILA Universiti Teknologi Mara ( UiTM) tegas mempertahankan hak institusi itu hanya untuk Bumiputera, ramai pihak kurang senang dan menganggap ia prejudis kepada kaum lain.

Namun, yang nyata, walaupun pelbagai cabaran dihadapi, UiTM tetap teguh dengan nawaitu membantu membela nasib Bumiputera mendapat pendidikan tinggi terbaik di negara ini.


Sejak ditubuhkan pada 1956, dengan nama Dewan Latihan Rida, produk kelahiran UiTM ada di mana-mana sahaja, sama ada sektor kerajaan atau swasta malah ramai yang menerajui dunia korporat hasil produk universiti itu.


Pada usia UiTM menjangkau 54 tahun, angka yang dianggap dalam golongan warga emas, tetapi ia terus melakar pelbagai kejayaan dalam matlamat memartabatkan pendidikan anak bangsa.


Kini, UiTM melangkah setapak lagi dengan program membantu Bumiputera miskin dan gagal mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan untuk meneruskan pengajian.


Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pengenalan program itu antara tanggungjawab terbaru institusi itu membantu Bumiputera mendapat pendidikan tinggi dan peluang kedua kepada golongan sasaran.








Beliau berkata, skim itu membabitkan mereka yang dikategorikan miskin, sama ada di bandar atau luar bandar serta gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tapi berminat menyambung pengajian.


"Atas rasa tanggungjawab itu, kami membuka pintu seluas-luasnya kepada golongan berkenaan dengan syarat dan kelayakan paling minimum.


"Syaratnya mudah, miskin dan mahu belajar. Ia bukan mahu mencari publisiti murah, tetapi memikul amanah membangunkan anak bangsa.

"Tidak salah memberi peluang kedua kepada golongan yang gagal itu kerana universiti bukan medium menyalurkan ilmu akademik semata-mata malah membentuk peribadi," katanya.


Dikenali dengan nama Mengubah Destini Anak Desa, program itu umpama mengembalikan tunjang asas UiTM membantu golongan miskin membina masa depan.


Katanya, dua peluang itu untuk pengajian di peringkat pra atau kursus keusahawanan selama enam bulan bagi yang bekerja.


Menurutnya, jika lulus pengajian pra, mereka berpeluang mengikuti pengajian diploma dan ijazah manakala program keusahawanan mendedahkan mereka ilmu keusahawanan.

"Pilihannya mudah, jika berminat belajar, sambung pengajian dan jika bekerja tapi masih belajar, ambil program kedua. Ia fleksibel dan disesuaikan dengan kehendak masing-masing.


"Untuk melaksanakan usaha ini, kami akan menghantar tenaga kerja UiTM termasuk pensyarah ke luar bandar bagi mengenal pasti golongan sasaran.


"Hasilnya ramai yang mahu (belajar) dan membuktikan mereka ingin membaiki diri," katanya.


Dr Sahol Hamid yakin program itu akan mencapai matlamatnya kerana gagal sekali tidak semestinya gagal untuk selama-lamanya.


"Ada manusia yang bijak gagal masuk universiti, mungkin keluarga miskin atau masalah lain, tetapi mereka tetap tidak berputus asa bekerja dan mengambil kursus luar kampus.


"Ada pula gagal sebab malas belajar tapi kemudiannya timbul kesedaran untuk membaiki diri.


"Justeru, jangan mudah menghukum dan lebih baik memberi mereka peluang kedua," katanya.


Sejak ditubuhkan, UiTM mengeluarkan lebih 400,000 graduan, satu rekod bagi sebuah universiti Bumiputera terbesar di negara ini.


Katanya, walaupun berbangga dengan pelbagai pencapaian di peringkat tempatan dan antarabangsa, UiTM tetap tidak lupa peranannya sebagai institusi pendidikan unggul dengan meneroka bidang baru.


"Semua institusi mempunyai cabarannya sendiri, yang pasti, UiTM berdiri gagah memperkasakan pendidikan kepada anak bangsa.


"Jika bukan UiTM membela nasib mereka, siapa yang boleh membantu?" katanya.

sumber, klik sini,mymetro

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .