Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Adik Hamil Luar Nikah Dilema Abang

Sesi Kaunseling Akhbar: Adik Hamil Luar Nikah


Entry ini saya ambil daripada Sesi Kaunseling Remaja bersama Dr Sapora Sipon. Ruangan ini merupakan sesi kaunseling bertulis antara remaja dan Kaunselor Dr Sapora Sipon akhbar Harian Metro, klik sini.


SAYA masih belum berkahwin dan kakak berusia 26 tahun. Kehidupan keluarga saya sempurna dari segi didikan serta kerjaya membanggakan.

Baru-baru ini, saya dikejutkan dengan berita adik mengandung anak luar nikah. Ia memberikan tamparan hebat kerana tidak menyangka perkara itu boleh berlaku. Sebagai kakak, tentunya saya rasa bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Saya bersama dua lagi kakak bercadang merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan emak dan ayah kerana mereka sangat beremosi. Kami khuatir berlaku perkara buruk jika mereka tahu.

Kami juga bertindak demikian kerana bimbang saudara-mara serta jiran mengetahui perkara itu, selain mengelakkan aib pada emak dan ayah.

Buat masa ini, adik saya tinggal bersama kakak kedua bagi memudahkan proses bersalin. Saya sebenarnya tidak mampu melelapkan mata serta melakukan kerja dengan sempurna kerana risau ibu bapa pasti mengetahui perkara itu. Apakah yang kami lakukan ini wajar atau sepatutnya dilakukan? Bagaimana saya boleh membimbing adik supaya berubah serta menjadi insan berguna?
Han,
Pahang

HAN, hidup ini memang banyak dugaan. Daripada sebuah keluarga sempurna serta mempunyai kerjaya sempurna, tiba-tiba hidup diduga dengan berita mengejutkan iaitu kehamilan luar nikah adik kandung. Peristiwa itu tentu sekali mengganggu perjalanan kehidupan keluarga Han yang selama ini selesa.

Apa yang berlaku dalam keluarga Han boleh berlaku juga kepada keluarga lain. Masalah sosial tidak terbatas kepada keluarga yang bermasalah saja. Ia boleh berlaku kepada keluarga yang berantakan, berkonflik atau bahagia. Kebanyakan ibu bapa berusaha sedaya upaya mendidik anak menjadi insan berguna. Namun, hasilnya tidak seperti diinginkan kerana masih lagi terbabit dengan gejala sosial. Mengandung anak luar nikah berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya terbabit dengan seks bebas, tertipu dan tanpa kerelaan hati. Bagaimanapun, masalah mengandung anak luar nikah perlu ditangani dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu kejadian membuang bayi tiada kesudahannya. Apabila anak menimbulkan masalah, keluarga tidak boleh berputus asa. Oleh itu, Dr amat berterima kasih kerana Han mempunyai sifat tanggungjawab dan pada masa sama, memahami ingin merahsiakan kehamilan daripada pengetahuan emak serta ayah kerana tidak mahu melukakan hati mereka.


Saat-saat sukar itu perlu dilalui dengan penuh kesabaran. Setiap ahli keluarga harus saling menyokong dan mencari jalan penyelesaian.


Memang sukar untuk berhadapan dengan situasi yang menimbulkan aib kepada keluarga. Perasaan malu kerana takut pelbagai persepsi negatif daripada jiran dan kawan-kawan. Perasaan berkenaan adalah lumrah. Bagi mengelakkannya, jangan mengabai dan mengetepikan masalah utama. Bantu menangani masalah adik mengenai kehamilan anak luar nikahnya dengan rasional.


Keputusan tidak mahu memberitahu emak dan ayah mengenai kehamilan itu wajar atau tidak bergantung kepada keutamaan penyelesaian masalah. Apakah isu yang lebih penting perlu diselesaikan terlebih dulu? Adakah Han lebih memikirkan malu atau aib kepada jiran atau lebih kepada ingin menjaga perasaan ibu bapa? Bagaimana pula dengan usaha untuk membantu adik yang hamil?. Dalam konteks mencari jalan penyelesaian utama, berbincanglah dengan adik dan kakak yang lain. Cari penyelesaian yang tidak merugikan kerana adik yang sedang hamil mengalami saat traumatik hidup. Ketika ini, dia amat memerlukan bantuan dan sokongan, terutama sekali ahli keluarga. Seeloknya setiap ahli keluarga hadir menghulurkan simpati dan bantuan serta menunjuk jalan supaya tidak terus sesat.


Justeru, Han perlu membimbing adik untuk menjadi seorang insan yang berguna. Jika disisih dan dihukum, hidup adik pasti terus terumbang-ambing. Menyisihkan tentunya lebih melukakan.


Bincang dengan kakak cara terbaik untuk memberitahu orang tua anda supaya tidak menjadi terlalu emosional apabila menerima berita kehamilan luar nikah itu. Pada masa sama, buat perancangan teliti untuk membantu adik. Cari jalan supaya kejadian itu tidak menjadi berita sensasi jiran. Jangan menafikan hak adik untuk dibantu. Perancangan teliti penting kerana masalah itu turut membabitkan kehadiran seorang anak yang tidak berdosa (anak adik).


Merahsiakan perkara itu mungkin menyelesaikan masalah pada waktu sekarang. Namun, ia bukan penyelesaian sebenar. Lantaran ia realiti sebuah keluarga yang benar-benar wujud. Tanpa mengira keluarga bahagia atau sebaliknya. Memang tidak ada jalan mudah kepada penyelesaian masalah yang Han hadapi.

Mungkin berlaku insiden saling salah-menyalahkan dan menimbulkan perasaan marah daripada setiap individu yang terbabit. Ia perkara normal. Bersedialah untuk menghadapi perkara itu selain mencari jalan keluar terbaik kepada penyelesaian masalah. Ia antara jawapan kepada jalan keluar kepada konflik yang Han dan adik alami. Dr doakan yang terbaik untuk Han, adik dan keluarga.

0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .