BILANGAN MATA PELAJARAN
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
FORMULA 10 + 2
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel Pekeliling Tahun 2009 ini dimuat naik di sini sebagai kemudahan pemilik blog hendak membuat rujukan. Sekian terima kasih.
FORMULA 10 + 2 BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
FORMULA 10 + 2
BILANGAN MATA PELAJARAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
1.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Jun 2009 telah membuat keputusan
bahawa mulai tahun 2010 calon yang menduduki peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dihadkan untuk mengambil maksimum 10 mata
pelajaran kecuali murid-murid aliran agama sains yang boleh mengambil 11
mata pelajaran sehingga tahun 2010 sahaja.
2.
Kerajaan telah menerima pandangan pelbagai pihak yang mendakwa
keputusan itu menyebabkan murid Cina dan murid India terhalang daripada
mengambil mata pelajaran Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Kesusasteraan
Cina atau Kesusasteraan Tamil.
3.
Sukacita saya maklumkan bahawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4
Disember 2009, kerajaan telah bersetuju menerima rayuan pelbagai pihak
agar murid dibenarkan mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan
dalam peperiksaan SPM mulai tahun peperiksaan 2010. Dua mata pelajaran
tambahan tersebut adalah Bahasa Cina atau Bahasa Tamil DAN
Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil. Sehubungan dengan keputusan
ini, murid juga dibenarkan mengambil Bahasa Arab sebagai salah satu
mata pelajaran tambahan.
4.
Formula 10 + 2 ini bermaksud dasar mengehadkan 10 mata pelajaran dalam
peperiksaan SPM yang diputuskan terdahulu, adalah kekal tetapi
kelonggaran diberi kepada murid untuk mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan seperti dinyatakan di atas sahaja. Kelonggaran ini boleh diguna pakai untuk semua murid di semua aliran. Syarat-syarat
lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat
mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.
5.
Selain maksud yang dinyatakan dalam perenggan 4 di atas, Formula 10 + 2
diterima oleh kerajaan dengan syarat-syarat berikut:
(i) mata
pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira
dalam penganugerahan Biasiswa Nasional Tajaan Kerajaan sekiranya ianya
termasuk dalam 10 matapelajaran maksimum yang diambil oleh murid.
(ii) mata
pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira
dalam pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian
Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus
berkaitan di IPTA.
(iii) kedua-dua
mata pelajaran tambahan itu boleh digunakan bagi menyertai latihan
perguruan untuk menjadi guru bahasa Cina atau bahasa Tamil atau bahasa
Arab.
(iv) keputusan dalam peperiksaan SPM bagi kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatatkan di atas sijil SPM yang sama.
6.
Dengan formula 10 + 2 ini, tidak timbul lagi masalah murid yang tidak
dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil,
Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil. Mereka boleh mengambil
mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada
syarat-syarat yang ditetapkan di atas.
7.
Murid aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata
pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab (lihat
lampiran) walaupun selepas 2010. Kumpulan yang mewakili sekolah agama
dalam beberapa pertemuan dengan KPM menyatakan 11 mata pelajaran telah
mencukupi.
8.
Keputusan kerajaan membenarkan dua mata pelajaran tambahan dalam
peperiksaan SPM ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Pendidikan
1996 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
7 Disember 2009
Lampiran
Contoh pilihan mata pelajaran murid aliran sains dan murid aliran agama sains
Aliran Sains
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sejarah
5. Pendidikan Moral
6. Fizik
7. Kimia
8. Biologi
9. Matematik Tambahan
10. Prinsip Akaun
Mata pelajaran tambahan
1. Bahasa Tamil
2. Kesusasteraan Tamil
|
Aliran Agama Sains
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sejarah
5. Fizik
6. Kimia
7. Biologi
8. Matematik Tambahan
9. Pendidikan Quran dan Sunnah
10. Pendidikan Syariah Islamiah
Mata pelajaran tambahan
1. Bahasa Arab
|
Nota: Mata pelajaran tambahan TIDAK boleh diganti dengan mata pelajaran lain selain Bahasa Cina/BahasaTamil/Bahasa Arab dan Kesusasteraan Cina/Kesusasteraan Tamil
SUMBER; WEBSITE KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA di sini
1 Comments:
Assalamualaikum , saya nak tanya sedikit. Saya mengambil aliran sains tulen tapi saya mahu ambil 8 subjek sahaja , Bolehkah saya berbuat begitu sebab pelajar SPM boleh minimum ambil 6 subjek dan saya mahu buang subjek Biologi.Bolehkah saya berbuat begitu ? Dan pendaftaran subjek SPM dibuat oleh guru atau pelajar itu sendiri ? terima kasih :3
Post a Comment