Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Nasional KPI capai sasaran pelan pendidikan


KPI capai sasaran pelan pendidikan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Artikel ini dimuatnaik dari Berita Harian Online sebagai kemudahan pemilik blog membuat rujukan. Terima kasih.

KPI capai sasaran pelan pendidikan

 12/09/2012 - 06:37:36 AM

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran akan menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya bagi mencapai sasaran dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

KPI itu pula akan diperturunkan ke peringkat bawah, dari kementerian sehingga sekolah, bagi memastikan matlamat yang ingin dicapai adalah tekal dan selari.

Langkah ini bagi memastikan matlamat pelan pendidikan berkenaan benar-benar memberi impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata berikutan itu, kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.


Hasil rundingan awam


“Inilah julung kali dalam sejarah, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Lebih 90 peratus pandangan dikemukakan orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara.

“Selepas ini, kementerian akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti kandungan pelan ini, mendapat penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan, khususnya kementerian.
“Saya percaya apabila dibentangkan kepada Kabinet dan dimuktamadkan pada Disember nanti, ia adalah pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat, insya-Allah,” kata beliau berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal PPPM 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, PPPM adalah dokumen komprehensif, malah satu referendum bersejarah, yang mengenal pasti bidang keutamaan, meletakkan sasaran, menyenarai inisiatif penting, melakar pelan tindakan jelas dan menetapkan jangka masa untuk mencapai setiap sasaran.

Ambil langkah berani

Beliau berkata, tiada jalan pintas atau tongkat ajaib untuk mengatasi kelemahan pencapaian murid dalam pentaksiran peringkat antarabangsa, antaranya berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains daripada 74 negara menyertai ujian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009.

“Sebaliknya kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil langkah berani melonjakkan prestasi pendidikan negara,” katanya.


0 Comments:

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .