Dokumentari kisah darurat
|
|
TAHUN ini menyaksikan negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53. Sepanjang tempoh itu jugalah, sudah terlalu banyak transformasi yang kita lalui sehingga mencapai apa yang sedang kita nikmati hari ini.
Mungkin kepada generasi muda hari ini, mereka kurang mengambil tahu kepayahan dan kesukaran yang perlu ditempuhi oleh negarawan dan tokoh terbilang negara untuk membebaskan negara daripada penjajah.
Begitu juga dengan semangat perajurit terdahulu yang sanggup berkorban harta dan nyawa demi membela nusa dan bangsa daripada ancaman penjahat.
Kisah mereka berjuang demi negara juga sudah terlalu banyak dipaparkan di media massa khususnya setiap kali menjelangnya bulan kemerdekaan.
Tahun ini, saluran History, Astro tidak ketinggalan meraikan sambutan kemerdekaan ke-53 dengan menayangkan dua dokumentari istimewa khusus buat tatapan masyarakat.
Dengan tajuk The Malayan Emergency dan VAT 69: Malaysia's Very Able Troopers, saluran History cukup optimis mampu menarik perhatian penonton apabila ditayangkan sepanjang bulan Ogos ini.
Dua dokumentari ini dihasilkan dan diterbitkan oleh beberapa syarikat produksi terpilih dengan kerjasama saluran History dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Apatah lagi, kedua-dua tajuk itu belum pernah diterbitkan sebelum ini dan ia dilihat dapat membuka mata serta minda masyarakat terhadap kisah yang tidak diketahui mereka sebelum ini.
The Malayan Emergency selama dua jam itu memaparkan tentang kisah darurat yang berlaku di Tanah Melayu selama 12 tahun dari 1948 hingga 1960.
Barangkali, kisah darurat yang penuh tragis itu belum pernah lagi diceritakan secara terperinci di mana-mana saluran televisyen lalu mendorong saluran History untuk menerbitkannya.
Diarahkan dan diterbitkan oleh Harun Rahman dan Lara Ariffin, kedua-dua pembikin filem dokumentari itu mengakui cabaran memang cukup besar untuk menghasilkan The Malayan Emergency.
Seboleh-bolehnya mereka mengelak daripada menghasilkan dokumentari seperti kebiasaannya.
Kerana itu, Harun dan Lara berusaha untuk menjejaki bekas askar, polis serta pengaman ketika itu untuk menceritakan pengalaman mereka sendiri.
"Memang kami temui ramai veteran yang terlibat sepanjang darurat itu tetapi bukan semuanya dapat memberikan kerjasama yang baik.
"Maklumlah, ada sesetengah daripada mereka sudah uzur dan tidak berupaya untuk bercerita tentang apa yang berlaku ketika itu," kata Harun yang sudah 20 tahun melibatkan diri dalam dunia penerbitan filem dokumentari.
Dia berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pratonton dokumentari berkenaan di Kuala Lumpur.
Turut hadir, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim dan Pengurus Besar AETN All Asia Networks, Louis Boswell.
Bercerita lanjut mengenai dokumentari terbitan Novista Sdn. Bhd. itu, Harun mahu menjadikan The Malayan Emergency sebagai satu tontonan wajib khususnya kepada generasi muda hari ini.
"Anak-anak muda hari ini mungkin terlupa bahawa kemewahan dan kejayaan negara yang dimiliki hari ini semuanya daripada air mata dan darah daripada pejuang bangsa kita.
"Jadi, apabila dokumentari ini ditayangkan, saya berharap mereka akan meluangkan masa menontonnya dan mengambil sesuatu yang positif daripadanya," katanya penuh mengharap.
Bagi Lara pula, memang sesuatu yang mustahil untuk memasukkan rakaman 50 temuramah dalam sebuah dokumentari yang berdurasi dua jam.
Namun, setelah disunting hanya 31 temuramah sahaja yang dapat dimuatkan dalam The Malayan Emergency.
"Temuramah yang kami tampilkan adalah daripada dua pihak yang terlibat sepanjang darurat. Ini bermakna dokumentari ini tidak menyebelahi satu pihak sahaja," jelas Lara.
0 Comments:
Post a Comment