BERDASARKAN statistik dikeluarkan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), lebih 700,000 rakyat negara ini lebih senang menyumbang bakti dan berhijrah ke luar negara berbanding berkhidmat di tanah air sendiri.
Isu itu cuba diketengahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mempertaruhkan hasil karya mereka dalam Pertandingan Video Anugerah Merdeka (MAViC) 2010 bagi kategori video pendek.
Menerusi video pendek berdurasi lapan minit bertajuk 'Titis-Titis Kealpaan' itu, isu berkenaan dikupas melalui garapan menarik.
Bagi pengarahnya, Syafika Ghazi, 20, kebanyakan rakyat negara ini, terutama golongan muda, berebut-rebut untuk bekerja di luar negara yang jauh lebih menguntungkan dan menganggap ia sebagai lubuk emas.
Katanya, dalam keghairahan mengejar pendapatan lumayan, mereka lupa negara sentiasa menagih kepakaran dan khidmat mereka untuk berbakti di tanah air sendiri.
"Walaupun negara bakal menyambut ulang tahun ke-53 kemerdekaan, tahap pemikiran kita masih dijajah secara tidak langsung.
"Apalah erti kemerdekaan jika kita sebagai rakyat bumi bertuah ini tidak menabur bakti kepada ibu pertiwi," katanya.
Isu berkenaan diterjemahkan melalui hubungan antara ibu dan anak dengan jalan cerita yang meruntun perasaan dan pada masa sama menyampaikan mesej.
Katanya, idea untuk mengarah video ini tercetus apabila membaca di akhbar mengenai bilangan rakyat negara ini yang lebih selesa bekerja di luar negara.
"Jumlah didedahkan agak besar dan secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya di manakah semangat patriotik yang sepatutnya ada dalam hati mereka.
"Kami cuba menggunakan tema ini menerusi video pendek dengan harapan dapat memberi kesedaran di samping mencipta kelainan," katanya.
MAViC 2010 dianjurkan oleh Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Astro.
Mengangkat tema 'Aku dan Merdeka', MAViC menerima sebanyak 169 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) di mana hanya 82 penyertaan dipilih ke peringkat 'Super Pitch' iaitu saringan khas.
Pertandingan yang berlangsung sejak 29 Mei lalu itu menyaksikan hanya 10 penyertaan iaitu lima daripada kategori video pendek dan lima kategori pengumuman khidmat awam layak ke peringkat akhir dan diberi peruntukan untuk menjalankan penggambaran.
Setiap peserta diberi RM5,000 bagi kategori filem pendek dan RM3,000 bagi pengumuman khidmat awam dalam tempoh sebulan sebelum penjurian dilakukan pada 10 Ogos lalu.
Syafika berkata, mereka memilih Kuala Tahan, Pahang sebagai lokasi penggambaran bagi menghidupkan suasana kampung tambahan pula pemandangan kawasan itu cantik dan menarik.
"Tidak banyak cabaran dihadapi selama dua minggu penggambaran itu berlangsung kerana semua kru produksi memberi kerjasama sepenuhnya.
"Cuma kami berdepan masalah untuk mencari pelakon tambahan di kalangan penduduk kawasan itu kerana rata-rata mereka pemalu," katanya.
Ditanya mengenai harapannya, Syafika berkata, mana-mana kumpulan yang menyertai pertandingan itu pasti meletakkan harapan untuk muncul sebagai pemenang, namun dia tidak mahu terlalu mengharap.
"Semua peserta mempamerkan hasil memberangsangkan dan kami menerima saingan sengit daripada beberapa peserta lain.
"Soal menang atau tidak bukan keutamaannya kerana kami hanya mahu menyampaikan mesej di sebalik video ini, di samping menyemarakkan semangat Hari Kemerdekaan yang ke-53," katanya.
Sementara itu, Pengerusi MAViC 2010, Dr Megat Al-Imran Yasin berkata, MAViC menerima 169 penyertaan dari institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Selepas penilaian dilakukan, hanya 10 penyertaan layak ke peringkat akhir dan keputusannya akan diumumkan pada 25 September depan.
Katanya, objektif penganjurannya untuk memberi pengiktirafan terhadap hasil kerja pelajar jurusan komunikasi, penyiaran, perfileman dan multimedia menerusi video yang dipersembahkan.
"Selain itu ia bertujuan menggalakkan penghasilan kerja kreatif bermutu tinggi dalam kalangan pelajar terbabit.
"Malah ia dapat mencungkil bakat baru di kalangan pelajar, sekali gus mengenal pasti pelapis karyawan yang berilmu, berkemahiran dan berbakat," katanya selepas Majlis Tayangan Video dan Penjurian Karya finalis MAViC di UPM, baru-baru ini.
Barisan juri yang diberi kepercayaan untuk membuat penilaian akhir adalah Penerbit Astro Entertainment, Ben Nambiar; Pengarah Finas Production, Mustaza Mustapha; Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff dan Penyampai Radio Televisyen Malaysia, Sayed Munawar Sayed Mustar.
Megat berkata, juara dan naib juara setiap kategori akan menerima Anugerah Perdana dan wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.
Katanya, bagi Anugerah Cipta iaitu Pengarah Terbaik, Konsep/Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi/Kesan Khas Terbaik, Suntingan Terbaik dan dua Anugerah Khas Juri masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.
Menariknya, pihak stesen televisyen berbayar, Astro akan menyiarkan hasil karya yang terpilih menerusi saluran Astro Prima.
Maklumat lanjut, klik http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berikesedaranmelaluilakonan/myMA/myArticle
0 Comments:
Post a Comment