Subscribe Us

Followers, sila tinggalkan link blog saudara saudari ya. Terima kasih sudi mengikuti blog biasa ini

Disiplin Diri Penentu Kecemerlangan

Disiplin Diri Penentu Kecemerlangan


 Artikel "Disipilin Diri Penentu Kecemerlangan" ini dipetik oleh cikgubimbingan-kaunseling.blogspot dari Akhbar Dalam Pembelajaran, sisipan Utusan Malaysia di ruangan Santapan Minda Oleh DR ISMAIL ZAIN.

UNTUK berjaya, tiada petua yang paling baik dan berkesan selain mempunyai tahap disiplin yang tinggi.

Sebelum membincangkan secara lanjut mengenai disiplin diri, kita perlu tahu, bagaimana seseorang yang mempunyai tahap disiplin tinggi boleh membantu seseorang untuk berjaya dalam apa yang dilakukan.

Sebenarnya, mereka yang mempunyai disiplin diri tinggi boleh melakukan apa sahaja dengan berkesan dalam hidupnya.

Anda boleh mencapai matlamat dan cita-cita yang selama ini dirasakan mustahil.

Ini kerana seseorang yang mempunyai sikap yang betul menerusi disiplin diri yang tinggi akan dijelmakan menerusi rasa yakin pada diri yang sangat tinggi.

Menurut pakar-pakar psikologi, mereka yang berdisiplin tinggi juga sebenarnya mampu meningkatkan kemampuan untuk menjadi kreatif.

Jika anda mempunyai disiplin tinggi, anda akan lebih bersikap terbuka dan sentiasa mencabar minda anda untuk sentiasa berfikir dengan pantas.

Malah, mereka yang mempunyai disiplin tinggi juga akan menjadi seseorang yang lebih fokus kepada tugasan dan tanggungjawab.

Kita semua tahu, hampir semua mereka yang berjaya di dunia ini adalah mereka yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri dan sentiasa berfikiran positif.

Bagi mencapai tahap disiplin diri yang tinggi, satu perkara penting yang perlu ada pada pemikiran seseorang ialah kekuatan dalaman diri terutamanya untuk melawan segala macam dugaan yang mendatang.

Tanamkan kekuatan diri apabila kita melakukan sesuatu. Teruskan sehingga ke penghujung dan bukan sekadar `hangat-hangat tahi ayam'.

Berhadapan dengan dugaan, mereka yang berdisiplin tinggi, selalu mengingatkan diri betapa mereka sudah berjanji dan membuat komitmen kepada diri sendiri untuk berjaya.

Orang yang berjaya adalah mereka yang menghormati janji dan komitmen yang dibuat pada diri sendiri kerana mereka sangat menghormati diri sendiri.

Dalam erti kata lain, anda perlu bertegas dengan diri anda dan jangan beri muka kepada perkara-perkara remeh yang akan boleh menggagalkan usaha anda.

Bagaimanapun, adakah ini bermakna untuk menjadi seorang yang berdisiplin, anda perlu menjadi seorang yang serius dan tidak boleh lagi berseronok seperti orang lain?

Jawapannya tentulah tidak. Anda masih boleh hidup gembira dan menikmati keseronokan bersama rakan-rakan anda.

Cuma, anda perlu bijak menguruskan masa dan tidak hanya mementingkan keseronokan.

Hidup ini perlu sederhana.

Menjadi seorang yang berdisiplin juga tidak bermakna anda perlu mengikuti secara rigid jadual yang anda telah tetapkan.

Malah, anda sebenarnya tidak memerlukan jadual apa yang perlu dilakukan untuk menjadi manusia yang berdisiplin.

Yang penting ialah anda mencapai apa yang perlu anda lakukan.

Ada juga yang bimbang, seseorang yang terlalu berdisiplin tidak mempunyai masa untuk berehat dan tidak tidak menjadi anda yang sebenar.

Sebenarnya, apa yang berlaku ialah di sebaliknya. Menjadi seorang yang berdisiplin akan menjadi anda seorang yang boleh menguruskan masa dengan bijak.

Seperti mana yang kita tahu, pengurusan masa yang bijak menjadikan seseorang itu mampu melakukan banyak perkara dalam sesuatu masa.

Mereka bukan sahaja mampu melakukan kerja dengan baik, tetapi juga mempunyai masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti bersenam, bersosial dan pelbagai aktiviti lain yang mahu dilakukan dalam hidupnya.

Jangan salah faham, menjadi seorang yang berdisiplin bukan bermakna kerja, kerja dan kerja semata-mata.

Ia lebih kepada bagaimana anda mendisiplinkan diri untuk melakukan apa yang anda gemari dan melihat hidup secara positif.

Selain itu, jangan lupa untuk menghargai diri anda atas kejayaan yang dicapai hasil daripada sikap anda yang berdisiplin tinggi.

Tidak kira sebesar mana kejayaan yang dicapai, anda perlu meraikan kejayaan peribadi.

Ini akan memberikan semangat kepada anda untuk terus menjadi insan yang berdisiplin.

Jangan lupa juga untuk meletakkan sasaran baru setelah anda berjaya mencapai sesuatu kejayaan.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati, jangan terlalu merasa tertekan untuk mencapai matlamat dan sasaran baru yang anda tetapkan.

Jangan hilang fokus.

Cuba untuk bersikap lebih tenang terutamanya apabila anda mula merasa tertekan.

Ingat, kejayaan adalah sesuatu yang menyeronokkan, tetapi kadang kala, ia membawa tekanan kepada anda.

Bagaimana sebenarnya mengatur strategi untuk menjadi seorang yang berdisiplin tinggi?

Antara cadangan yang boleh diguna pakai ialah kenal pasti dan tulis sebab kepada sasaran dan cita-cita anda, bila anda mahu capai dan bagaimana.

Kemudian, berjanji pada diri anda bagaimana untuk tidak memungkiri diri anda.

Seterusnya, anda perlu memantau perkembangan secara harian, mingguan atau bulanan dan buat ubah suai sekiranya dirasakan perlu.

Akhir sekali, penuhi sasaran dengan penuh gembira dan jangan lupa raikan kejayaan anda.

1 Comments:

sonata anak kancil said...

betul - diri berdisiplin insyaAllah akan cemerlang - dalam apa jua aspek

nak tanam disiplin ni @ nak ajar budak2 berdisiplin perlu gesaan & tolakan yang amat kuat!

Disclaimer

(c) Blog ini bukanlah pandangan rasmi pemilik blog atau majikan pemilik blog. Pemilik blog adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini .